Phahrolrazi-Mohd-Zawawi.
$entry.content.caption.value
ALOR SETAR - Pas Kedah meragui kajian persepsi pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dikendalikan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, yang menunjukkan 49 peratus pengundi memilih Barisan Nasional (BN), 21 peratus (Pakatan Rakyat) dan 30 peratus pengundi atas pagar.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya meragui hasil kajian­ itu kerana ia dikendalikan sebuah universiti awam milik kerajaan.

“Kajian itu sepatutnya dikendalikan badan bebas yang tiada kaitan kerajaan. Jika badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ia lebih kredibiliti.” katanya.

Katanya, kajian itu mudah dimanipulasi dari aspek pemilihan­ responden, kaedah kajian digunakan termasuk jenis soalan yang lebih memihak kepada kerajaan sedia ada.

Phahrolrazi yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, undian 49 peratus milik BN juga tidak berasas kerana ini menunjukkan parti itu hanya memerlukan sekitar lima peratus undi atas pagar untuk kekalkan kuasa.

“Hakikatnya ia tidak tepat. Jumlah itu tidak logik, terlalu tinggi. Berdasarkan PRU lalu, parti itu hanya perlu capai 55 peratus undi untuk dapatkan majoriti 2/3 Parlimen. Pada PRU12, BN dapat kekalkan kuasa dengan mendapat undi lebih 50 peratus. Walaupun yang penting adalah bilangan kerusi dimenangi, undian juga penting,” katanya.

Phahrolrazi bersetuju dengan peratusan membabitkan pengundi atas pagar, yang disifatkannya semakin meningkat.

“Berdasarkan penilaian PR, pengundi atas pagar dari 20 ke 30 peratus. Mereka masih penting dalam menentukan kemenangan. Walaupun setiap parti ada pengundi setia, ia masih tidak mencukupi untuk menang,” katanya.

Katanya, dipercayai pengundi atas pagar lebih banyak melibatkan penduduk dalam bandar, dari golongan muda, terpelajar dan profesional.