Monday, April 23, 2012

SPR dsn RUU: Inilah kerja-kerja kotor terakhir untuk dihalalkan -


Pindaan RUU Kesalahan Pilihan Raya untungkan BN?

Aslani M,22 Apr 2012
KOTA BHARU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 dianggap pengamal undang-undang lebih menguntungkan Barisan Nasional (BN).


Antara lain Peraturan 19(7), Peraturan-Peraturan Penjalanan Pilihan Raya yang mana sebelum ini memperuntukkan hanya “saudara” pengundi yang uzur boleh mengungi bagi pihaknya telah dipinda kepada seseorang yang “dipercayai”.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham), Pemuda PAS Kelantan, Mohd Abd Rashid Yah berkata, peraturan baru itu membuka ruang luas dimanipulasi kerana sesiapa sahaja boleh mengundi bagi pihak orang yang tidak berupaya.

Manakala Seksyen 26 (1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya pula menetapkan jarak 50 meter semasa hari pengundian telah dipinda kepada jarak 100 meter boleh membuka ruang berlakunya kecurangan dalam proses pilihan raya.

“Apatah lagi sekarang ketelusan SPR dalam mengendalikan proses pilihan raya diragui serta dipertikai rakyat. Menjadi pertanyaan rakyat mengenai asas-asas atau alasan pindaan itu dibuat,” katanya pada satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini kerajaan melalui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Vui Keong mengemukakan bacaan Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 untuk kali pertama.

Mohd Abd Rashid berkata, Seksyen 26A(2) Akta yang sama sebelum ini membenarkan calon bertanding melantik tidak lebih empat pemerhati barung yang diselenggara SPR, namun dipinda dengan menghapuskan peruntukan tersebut.

Katanya ia bermaksud tiada lagi pemerhati barung yang dilantik calon bertanding.

“Jadi siapakah yang akan memastikan bagi pihak calon urusan di barung SPR tersebut adalah telus dan mengikut lunas undang-undang.

“Pindaan tersebut jelas menunjukkan ketidakadilan SPR dalam mengendalikan perjalanan pilihan raya,” katanya.

Seksyen 24B(3) Akta yang sama juga sebelum ini membenarkan sebarang ceramah atau mesyuarat diadakan di mana-mana tempat awam, namun dipinta dan hanya membenarkan calon berbuat demikian di pejabat parti sahaja.

Kata beliau apakah rasional seksyen itu dipinda kerana pejabat parti yang bertanding kebiasaannya hanya terdapat sebuah sahaja di kawasan parlimen.

Katanya, pindaan baru tersebut menyebabkan calon Pakatan Rakyat sukar untuk berkempen bagi menyampaikan maklumat kepada penyokong dan orang ramai.

“Sebaliknya ia memberikan kelebihan kepada BN kerana mempunyai pelbagai saluran kempen termasuk tv, radio dan akhbar. Jelas sekali berlaku ketidakseimbangan serta ketidakadilan,” tambahnya.

Manakala Seksyen 11(1)(c) akta serupa sebelum ini mewajibkan setiap bahan bercetak parti dicatatkan nama, alamat pencetak dan penerbitnya, namun telah dipinda yang mana ia bukan lagi sesuatu mandatori.

Seksyen 14 (1A) Akta Kesalahan Pilihan Raya sebelum ini menetapkan agen tempat mengundi atau agen mengira undi hendaklah bertugas sekurang-kurangnya dua jam tidak boleh diganti orang lain sebelum tamatnya tempoh tersebut.

Namun seksyen tersebut dipinda dan memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR menentukan tempoh masa minimum seseorang agen tempat mengundi atau agen mengira undi bertugas.

No comments: