Tuesday, September 06, 2011

Utusan: masih belum sedar diri lagi

Jika pemimpin pembangkang berkhayal ingin berkuasa. Bagi pemimpin Umno Bn pula berangan-angan mat jenin mahu kekal berkuasa sehingga kiamat.

Kini Putrajaya semakin hampir bertukar tangan. Umno dan kerajaan Umno tidak mampu lagi bertahan ke titisan garis penamat yang dilaungkan. Boimetrik, dakwat, 8 Tuntutan Bersih, penganugerahan warganegara antara warna warni kejatuhan Umno apco.

Antara khayal dan berangan-angan kedua-duanya teruk. Namun begitulah cita-cita dalam politik. Politik adalah seni. Orang media terutama penulis pojok Utusan ini kena ambil insuran dan juga memikirkan masa depannya.

Jika Umno berkubur, Utusan akan menjadi akhbar picisan dan akhbar pembangkang. Keluarannya akan dihadkan, edarannya untuk ahli-ahli Umno yang semakin pupus. Maka editornya mungkin Presiden Umno waktu itu.

Justeru, dikala itu khayalan Utusan mahu menjadi akhbar perdana pemutar belit dan auta rakyat Malaysia. Maka Utusan kena memikirkan 'pusingan' itu. jangan berkhayal kekal menjadi akhbar perdana ?

Khayalan pembangkang yang melelahkan

SEJAK kebelakangan ini, khayalan parti-parti pembangkang untuk berkuasa semakin terserlah seperti tiada sempadan yang boleh mengawalnya. Atas nama pentas politik yang tidak ada hentiannya, pemimpin mereka dihalalkan bercakap dan menghamburkan apa sahaja kata nista.

Dalam keadaan rakyat sudah lelah dengan pertengkaran politik yang terus berpanjangan ini, tiada tanda bila ia boleh berakhir. Hinggakan kadang kala rakyat terkeliru dan tidak jelas siapa berkhayal serta siapa pula yang hidup di alam nyata.

Siapa pula yang berhalunisasi, sama ada mereka yang menuduh atau dituduh semuanya mahu dilihat sama jujurnya. Inilah permainan dan asyik masyuknya propaganda pembangkang yang berkhayal mahu ke Putrajaya setelah menempa kejayaan pada pilihan raya umum 2008.

Dalam usaha mengumpulkan sebanyak mungkin penyokong dan meraih undi, tiada langsung rasa hormat ditunjukkan kepada kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat yang memerintah sekarang.

Semua yang salah adalah daripada Barisan Nasional (BN). Semua yang betul adalah daripada mereka – PKR, Pas dan DAP walaupun banyak kelemahan kepimpinan dan pengurusan sedang berlaku di negeri yang mereka kuasai.

Di Kelantan, negeri yang telah mereka kuasai selama lebih 20 tahun pun banyak kemudahan asas gagal diselesaikan termasuk bekalan air bersih, rumah rakyat miskin dan jalan raya. Anehnya, mereka tidak melihat ia sebagai kelemahan diri tetapi terus berkhayal mencari-cari salah Kerajaan Pusat.

Dulu, sebahagian besar khususnya pengundi atas pagar berharap pembangkang yang kuat akan menguntungkan rakyat. Tapi rupa-rupanya di alam nyata di Malaysia ini, pembangkang yang kuat hanya pandai mencetuskan polemik, kontroversi dan isu selain merumitkan penyelesaian masalah.

Setelah lebih tiga tahun tempoh pencapaian terbaik pembangkang (sejak 2008), semakin sukar mencari pemimpin jujur dalam kalangan mereka. Yang terlihat semakin tinggi kedudukan, kebanyakan mereka lebih gemar berpolitik dan suka pula menegakkan benang yang basah.

Rupa-rupanya kekuasaan yang diberikan, sedikit demi sedikit telah menghakis kejujuran mereka untuk berkhidmat kepada rakyat seperti mana dijanjikan dalam kempen pilihan raya dulu.

Yang terlihat ketaksuban kepada parti atau tokoh tertentu dalam kelompok mereka semakin menebal. Rakyat hanya dipergunakan untuk mengukuhkan kedudukan mereka semata-mata.

Jika tidak, mana mungkin kenyataan menghina pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong oleh Mohamad Sabu (Mat Sabu), jentera baru penyerang kerajaan itu boleh dipertahankan oleh pembangkang dengan pelbagai alasan dan hujah dangkal.

Bagi majoriti rakyat Malaysia yang rasional, kenyataan Timbalan Presiden Pas itu adalah tidak perlu, malah tidak masuk akal. Untuk apa mengagung-agungkan pengganas komunis yang diketahui umum kejam dan tidak berperikemanusiaan khususnya dalam tragedi pada 1950 itu? Apa manfaatnya mengangkat mereka sebagai wira? Mengapa sampai hati memperlekeh pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang berkorban mempertahankan balai polis Bukit Kepong sebagai alat penjajah.

Jawapan yang ada ialah kerana kebencian kepada sebuah pihak iaitu UMNO. Begitu sekali kebencian yang cuba ditanam oleh Mat Sabu dan pembangkang kepada penyokong mereka sehingga sanggup mempertikai sejarah dan menghiris perasaan ramai orang.

Pembangkang terutama Pas yang kini dikuasai oleh kumpulan Anwarinas sanggup melakukan apa sahaja demi khayalan mereka untuk menggantikan peranan UMNO, tercapai. Kerana impian untuk menjadi seperti UMNO dalam kerajaan khayalan mereka kelak, pembangkang cuba mengubah sejarah yang telah diterima dan termaktub.

Mungkin sahaja pemimpin seperti Penasihat DAP, Karpal Singh hanya mampu menyalak bersendirian. Permintaan beliau dan juga sebahagian penyokong pembangkang lain agar Mat Sabu memberi penjelasan dan menarik balik kenyataan pada ceramah umum 21 Ogos itu setakat ini tidak dilayan.

Malah Mat Sabu yang mulanya tidak ingat apa yang dinyatakannya serta tidak mahu melayan isu akhbar arus perdana, menyongsang arus dengan tetap mempertahankan kenyataannya itu. Tiada tanda beliau akan menarik balik kenyataannya, apatah lagi meminta maaf.

Sebaliknya kini arus menyokong ‘penghinaan’ oleh Mat Sabu itu cuba digerakkan oleh Pas sendiri dan rakan dalam pakatan mereka. Mereka seperti tidak merelakan untuk Mat Sabu bertindak jujur untuk meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas keterlanjurannya itu.

Begitulah sikap mereka. Mat Sabu yang tentu sekali mewakili pembangkang tidak boleh terlihat telah tersasul dan tersilap fakta. Tidak tahulah jika Karpal akhirnya nanti akan juga menari mengikut rentak Mat Sabu ini yang mahu mengubah sejarah dan memadamkan peranan UMNO dan pemimpinnya.

Begitu juga jika pembangkang tidak berkhayal, tidak mungkin projek nadir bumi Lynas di Kuantan terus dijadikan isu kontroversi dan polemik untuk memburuk-burukkan kerajaan BN sedangkan jaminan dan siri penerangan mengenainya telah diberikan.

Adalah sukar difahami apabila pakar nuklear, Dr. Che Rosli Che Mat yang kebetulan pula Ahli Parlimen Pas cuba memperbetulkan kekeliruan yang dicetuskan pembangkang itu, dibidas dan dilarang bersuara.

Kerana kebenaran berlandaskan fakta dan ilmu, Che Rosli yang menempelak tindakan Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh yang beria-ia memburuk-burukkan projek itu, rela dikenakan tindakan.

Begitu juga nasib Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang dibiar bersendirian apabila menentang arus rakan-rakannya dalam pembangkang berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula nasibnya seperti habis madu sepah dibuang apabila ada usaha menyingkirkannya oleh rakan-rakannya sendiri atas alasan kesihatan.

Sebab itu, tidak berlebihan untuk dinyatakan bahawa pembangkang kini sedang dilanda khayalan dan halunisasi untuk memegang kekuasaan dan menduduki Putrajaya. Mereka terlalu berharap waktu itu akan datang secepat mungkin.

Dan, khalayan itu pula sehingga mengorbankan integriti dan kejujuran yang mereka ada sebelum ini. Selang waktu berlalu, khayalan itu menjadikan mereka bertambah asyik berbohong, bersikap hipokrit dan memanipulasikan setiap isu berbangkit.



No comments: