Thursday, September 15, 2011

PRU 13: Nyahkan Umno bermakna Nyahkan Jentera Jengkaut Harta Negara

Silang alihatur posisi kedudukan kerusi Bn cuba diterapkan dalam PRU 13 akan datang. Ini memandangkan prestasi buruk rakan-rakan Umno dalam Bn. Kini Utusan dijadikan 'cubaan' melobi kerusi-kerusi btertentu agar Umno mendapat kerusi berkedudukan bukan majoriti pengundi adalah Melayu sahaja.

Kerusi selamat Umno adalah kerusi yang berkedudukan majoriti pengundi adalah Melayu. Rata-rata kawasan berkedudukan sedemikian memberi advantage kepada Umno. tambahan pula dengan memainkan isu-isu 'kuasa adalah kuasa Melayu, Melayu kekal berkuasa di negara ini, jangan jatuh ke tangan Cina . Ini adalah momokan sejak bertahun-tahun selepas merdeka yang dimainkan dan dipasak dalam minda para pengundi Umno.

Sementelahan pula, para pengundi yang lahir sebelum merdeka tahu dan melalui sendiri pengalaman keperitan sebelum negara merdeka. Dengan ditambahi pengalaman berpemerinatahan Jepun dan Bintang tiga. Di mana pengalaman ini juga berharga dan fakta terpenting Umno mempertahankan kekauasaan mereka. Dengan kekejaman Jepun, pengalaman pahit kehidupan kezaliman, diseksa perasaan emosi serta fizikal yang sukar digambarkan dengan kata-kata oleh generasi zaman itu.

Justeru Umno kekal berbangga dengan undi kosisten generasi ini, dan lemas serta cemas dengan para pengundi pasca merdeka yang lebih banyak kepada meminta. Berbanding pengundi zaman sebelum merdeka mereka banyak memberi daripa meminta.

Pengundi zaman ini, lebih kritis. Begitu juga pemimpin zaman selepas merdeka lebih banyak mengaut dari memberikan khidmat.

Berakhirkah kerusi tradisi komponen BN?

KETIKA berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor tidak berapa lama dahulu, pelbagai desakan dibuat kepada UMNO agar parti itu bertanding di kawasan berkenaan dan bukannya meneruskan tradisi menyerahkannya kepada MIC.

Walaupun ketika itu ada ancaman bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan mendapat undi orang Melayu namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tegas dengan pendirian beliau bahawa calon MIC tetap bertanding di situ.

Hujah Najib pada masa tersebut ialah kalau hendak mengharapkan ada kerusi yang majoriti pengundinya adalah kaum India maka sampai kiamat pun ia tidak berlaku.

Ternyata percaturan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN tepat, keharmonian dalam BN berjaya dipelihara dan kejayaan diraih melalui kemenangan calonnya, P.Kamalanathan.

Kini isu kerusi tradisi bergema lagi tetapi dalam perspektif lebih terbuka apabila MCA dan MIC sanggup bertukar kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

Ia dengan jelas membuktikan bahawa dilema mempertahankan sesebuah kawasan pilihan raya itu sebagai kerusi tradisi sesebuah parti sudah sampai ke penghujungnya.

Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti BN akan mampu mencapai kemenangan cemerlang tanpa mengira siapa juga calon dan daripada komponen mana ia wakili.

Seperti mana kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal apa yang penting ialah ahli parti harus berpegang kepada prinsip bahawa BN perlu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dengan meletakkan calon yang benar-benar berkaliber.

"Kita perlu pastikan BN ada calon yang boleh menang dan itu tidak perlu datang dari parti mana-mana, kita tidak harus berpaut bahawa ia mesti dari parti kita, kita mesti pergi melangkaui semua, kerana suasana sudah berubah.

"Kita tidak harus mendesak bahawa ini kerusi kita, tradisi kita, kalau kita tidak berubah tidak mungkin kita akan dapat kejayaan," tegas Mohd.Shafie.

Sudah pastilah dengan sikap terbuka yang ditunjukkan oleh MCA dan MIC maka ia akan memudahkan Najib membuat pertimbangan dan perhitungan bagi memastikan BN meletakkan calon-calon yang benar-benar berwibawa bagi membela nasib rakyat.

Semangat yang ditunjukkan oleh MCA dan MIC ini sepatutnya dicontohi oleh semua anggota komponen BN yang lain kerana matlamat utama parti itu dalam pilihan raya umum nanti ialah terus memerintah.

Adalah sesuatu yang malang jika sesebuah parti komponen itu mahu mempertahankan sesuatu kawasan yang ditandinginya biar pun sudah kalah beberapa kali dengan alasan ia kerusi tradisi mereka.

Kekalahan yang dialami kadang kala bukan kerana calon pembangkang itu kuat tetapi disebabkan rakyat merasakan mereka mahu anggota komponen BN lain yang bertanding di situ.

Atas sebab itu, dalam membuat pemilihan bagi meletakkan calon, perkara pokok yang paling utama untuk dipertimbangkan ialah sejauh manakah calon itu boleh mendapat sokongan rakyat dan sekali gus memastikan kemenangan BN.

Dalam soal ini juga, sementara UMNO perlu menghormati anggota-anggota komponen BN lain, parti itu juga harus tegas mengambil semula mana-mana kerusi yang sebelum ini sudah diserahkan kepada orang lain.

Tidak perlu lagi ada sentimen menjaga hati kerana apa yang lebih utama ialah memastikan kemenangan BN. Sejarah sudah membuktikan bagaimana ada kawasan tertentu yang sepatutnya dimenangi oleh BN tetapi akhirnya tewas kerana UMNO menyerahkan kepada orang lain untuk bertanding.

Dalam masa yang sama, UMNO juga perlu ada keterbukaan untuk menyerahkan kerusi miliknya jika sesuatu kawasan itu lebih membuka peluang cerah kepada komponen lain seperti MCA atau MIC untuk memenanginya.

Perkiraan itu perlu dilakukan tanpa menghakis penguasaan UMNO dalam BN kerana ada sesetengah kawasan biar pun majoriti pengundinya adalah Melayu tetapi sokongan kepada UMNO tidak padu.

Kesudahannya apabila undi orang Melayu berpecah, maka ia memberi kelebihan kepada calon bukan Melayu daripada parti pembangkang yang bertanding di kawasan berkenaan mencapai kemenangan.

Oleh itu sentimen kerusi tradisi yang tidak memberi manfaat kepada BN harus diletakkan noktahnya. Apa yang lebih mustahak sekarang ialah untuk memastikan BN tidak terus mengalami nasib malang seperti mana berlaku pada pilihan raya umum 2008.

Begitu juga dalam soal pemilihan calon, sama ada UMNO mahupun komponen BN lain mereka perlu akur dengan kriteria yang ditetapkan oleh Perdana Menteri iaitu calon boleh menang.

Tiada gunanya jika komponen BN meletakkan seseorang calon hanya disebabkan dia mempunyai jawatan di peringkat bahagian atau dalam parti tetapi kesudahannya tewas.

Biarlah seseorang calon itu tidak popular di dalam parti atau tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat bahagian asalkan ia mampu membawa kemenangan kepada BN.

Kriteria utama yang harus diambil kira bukannya soal popular di kalangan ahli parti tetapi sejauh manakah individu itu diterima oleh rakyat kerana yang akan membuat perhitungan penentu ialah rakyat terutamanya pengundi atas pagar.

Namun begitu ia bukan bermakna semua individu yang ada jawatan di peringkat bahagian atau parti perlu digugurkan, jika individu itu sememangnya popular di kalangan rakyat di kawasannya maka inidvidu itu perlu diberi peluang untuk bertanding.

Lebih penting daripada itu harus ada keberanian di kalangan pemimpin-pemimpin komponen BN terutamanya pengerusi perhubungan negeri untuk menggugurkan mana- mana calon yang sudah ditolak oleh rakyat.

Tetapi penilaian yang dibuat mestilah berasaskan kepada kehendak dan nurani rakyat, bukannya kerana perselisihan politik dalaman.

Ia kerana jika penilaian dibuat melalui cara sedemikian ia sudah pasti akan membangkitkan permusuhan yang boleh mengakibatkan berlaku sabotaj sesama sendiri.

Namun begitu seandainya pemilihan calon itu dilakukan berasaskan kepada populariti dan kemahuan rakyat maka tiada apa yang harus dibimbangkan kerana sejauh mana pun usaha sabotaj hendak dilakukan akhirnya keputusan adalah di tangan rakyat.

Kesimpulannya, Pilihan Raya Umum Ke-13 bukanlah masa untuk bernostalgia dengan kerusi tradisi atau mempertahankan mana- mana individu, sebaliknya ia adalah penentu kepada survival politik BN.

Berdasarkan kepada keadaan itulah pujian harus diberikan kepada MCA dan MIC yang sanggup bersikap terbuka dalam soal ini kerana mereka memahami siapa pun menang, selagi dia adalah calon daripada komponen BN maka tidak akan ada mana-mana kaum dipinggirkan.




No comments: