Saturday, August 27, 2011

Cacamarba Merdeka; Antara fakta atau auta

Siapa dan celaru dalam mencari kerasionalan. Tatapi tulisan orang tercerdik di bawah keluh kesah dengan 54 tahun merdeka dengan kecacamerbaan kecapaian negara serta ke mana hala tuju negara ini mahu di bawa dalam semua aspek disiplin kehidupan.

Dalam menghuraikan erti dan pengertian kemerdekaan sebenar, orang sebijak penulis artikel di bawah gagal dimengertikan. Makna nya dia sendiri berkecelaruan dalam hidupnya.

Sebagai seorang islam kehidupan Islam yang sesempurna itulah yang wajar dikejar dan dipertimbangkan dalam kehidupan diri dan bernegara. Keyakinan kita kepercayaan kita kerja dan matlamat yang kita cari adalah dalam Islam. Ilmu dan keilmuan Islam daripada galian sejarah sendiri membuktikan kegemilangan dalam politik, bernegara, berkebajikan, kecemeralangan, pengkajian, penyelidikan semua adalah dalam islam.

Beliau nampak faham kepada islam dan keislaman. Justru beliaulah yang sebijak itu menggariskan tatacara penyampian berkenaan




Aneka kecelaruan lepas 54 tahun – mengapa?

Oleh Kassim Ahmad

KALAU saya kata kemerdekaan kita belum penuh, ini kata-kata basi. Memang kemerdekaan kita belum penuh – semua orang tahu. Dalam masa 54 tahun ini, banyak yang sudah kita capai: dalam bidang-bidang politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan prasarana jalan raya.

Pencapaian kita nyata lebih baik daripada banyak negara di Dunia Ketiga. Ini semua berkat kepimpinan negara kita yang boleh dikatakan baik, pada keseluruhannya, dengan mengingati bahawa ia masih banyak boleh dibaiki.

Setelah kita menyatakan ini, kita harus sedar bahawa sistem hidup kita masih ada banyak cacatnya.

Pertama sekali, kita harus sedar bahawa selama ini kita hidup dalam sistem yang ditaja oleh Eropah Kristian, apa yang dipanggil sistem liberal pasaran bebas.

“Liberal” bermakna garis antara baik dan jahat itu kabur. “Pasaran bebas”, anehnya, bukan bermakna pasaran yang bebas, tetapi yang dimanipulasi dan didominasi oleh kuasa kewangan yang kuat, yang tidak berkhidmat kepada orang ramai tetapi kepada satu golongan elit! Sebab itu yang kaya menjadi lebih kaya; yang miskin menjadi lebih miskin!

Kedua, sebagai orang Islam, kita patut tahu bahawa cara hidup (perkataan Arab, deen) Islamlah yang paling baik. Dalam Islam, manusia itu khalifah Tuhan di Bumi. Ia bebas menentukan destininya. Ini amat penting. Manusia itu bebas. Tiada autoriti yang harus mengongkongnya.

Malangnya, orang Islam sendiri tidak mengikut cara hidup ini, kerana terpengaruh dengan cara hidup Kristian Barat.

Kita juga sebenarnya tidak tahu lagi – apa itu cara hidup Islam dalam zaman moden ini. Saya sebut dalam zaman moden, kerana nyatalah kita tidak boleh bawa balik cara hidup yang dipraktikkan pada zaman kegemilangan Islam dalam abad-abad ke-8 hingga ke-15. Prinsip-prinsip cara hidup Islam mesti dilaksanakan secara kreatif di negara masing-masing.

Ketiga, terdapat banyak kecelaruan dalam negara kita sekarang. Kecelaruan yang bersifat bangsa, kerana kita gagal menyelaraskan cita-cita dan tuntutan pelbagai suku bangsa yang wujud di negara kita.

Kecelaruan yang bersifat agama. Soal azan yang kuat. Soal bacaan Quran yang kuat. Soal orang Islam, konon hendak dipesongkan akidahnya oleh gereja Kristian.

Soal perbezaan fahaman Islam di antara UMNO dan Pas. Soal fitnah yang disibarkan oleh seorang petualang besar yang sepatutnya diheret ke mahkamah dan dihukum sebagai pengkhianat negara.

Terdapat kecelaruan juga dalam sistem politik kita. Tidak ada harmoni dan kerjasama yang tulen antara Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional dan beberapa Kerajaan Negeri yang dipegang oleh Pakatan Rakyat.

Jamak parti itu satu hakikat. Mengapa kita tidak mengadakan satu sistem yang membolehkan kita mengadakan kerjasama itu? Bukankah tugas utama kerajaan memberi keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat?

Ini semua dalam bidang-bidang politik dan ekonomi. Bagaimana dalam bidang-bidang mental, moral dan spiritual?

Setelah 54 tahun, ramai rakyat kita termasuk kaum bumiputera telah mencapai pendidikan tinggi, hatta mendapat ijazah Ph.D. Ini baik sekali.

Tetapi bagaimana dengan moral mereka, menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan, yang diperintahkan oleh Islam dan yang perlu untuk kesejahteraan negara kita?

Data yang dikeluarkan oleh kerajaan menyatakan bahawa jenayah telah berkurang, tetapi kita baca dalam akhbar – tiap-tiap hari pembunuhan, rogol dan penipuan kerap berlaku, membuktikan moral rakyat kita rendah.

Jadi, di samping “kestabilan politik” dan ‘kemantapan ekonomi’ kita, yang selalu ditekankan oleh kerajaan, ada banyak kecelaruan dalam masyarakat kita sekarang. Kecelaruan-kecelaruan ini mestilah diatasi segera dengan kita mengenali kembali dan melaksanakan sistem hidup Islam yang sebenar.

Galakkan perbincangan-perbincangan yang jujur tentang sistem Islam yang sebenar ini (Firman Tuhan, “Dengar semua pendapat, dan ikut yang paling baik.”) supaya kita boleh melaksanakannya serta supaya kemerdekan kita kemerdekaan dari semua dimensi. Hanya ini yang boleh mewujudkan keamanan, keadilan dan ksejahteraan yang sebenar bagi rakyat kita yang berbilang bangsa dan agama.

KASSIM AHMAD ialah penulis bebas.

Laman web beliau:

www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: