Tuesday, June 07, 2011

PRU13: Road To Putrajaya semakin jelas

Serangan Utusan bertali arus terhadap PAS, alasan mereka apa peduli dengan pasukan yang dilabelkankan sebagai puak Anwarias dalam PAS. Semua kepimpinan Umno bercakap dan memberi ulasan. Semua menunjukkan sikap cakna terhadap PAS. Semua mahu ambil kesempatan mempamerkan siapakah yang 'lantang' dan bernas dari segi hujah melawan PAS untuk dinilai oleh ketuanya.

Nazri Aziz, Ronah, Roslan Kasim, Ibrahim Perkasa, Idris Haron, Noh Omar termasuklah Najib yang duduk di Khazastan turut menyumbangkan serangan terhadap PAS. Bersatu nampak mereka untuk membelasah PAS.

Serangan ini diumpamakan seperti NATO menyerang Iraq satu ketika dahulu, alasannya terjumpa kumpulan Anwarias (kami tidak takut dengannya) yang bimbang adalah golongan Ulama kerana masyarakat lebih mempercayai kumpulan ini dan yakin dengan perjuangan negara Islam. Hujah Nazri Aziz.

Jika tidak terkesan situasi ini, kenapa bertindak begitu. Kita harapkan Road To Putrajaya dapat dirintis dengan lebih cepat. Pengundi bandar dan Melayu bandar diyakini dapat memberikan kepercayaan kepada PR pada PRU 13 nanti.

Cuma kebimbangan penganalisa adalah undi Melayu kampung yang jauh daripada akeses maklumat serta 'fixed deposit' Umno iaitu undi FELDA dan Undi POS yang kini digerakkan secara 'gila-gila' oleh Umno.





Pas diminta henti tuding jari

KUALA LUMPUR 6 Jun – Pas diminta berhenti menuding jari menyalahkan kerajaan atas segala permasalahan yang berlaku sebaliknya mengakui kesalahan diri sendiri yang gagal memerintah negeri dengan baik.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perpecahan dalam masyarakat ketika ini adalah disebabkan parti pembangkang yang gemar bermain dengan sentimen politik, keagamaan dan isu perkauman.

‘‘Tindakan itu bercanggah dengan usaha kerajaan yang mahu memupuk perpaduan di kalangan rakyat

‘‘Mereka tidak sepatutnya bercakap semberono tanpa mengeluarkan bukti menyokong dakwaan itu dan jika gagal berbuat demikian ternyata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama seperti pemimpin pembangkang yang lain iaitu cakap tak serupa bikin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Abdul Hadi pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 yang menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai punca permasalahan kepada rakyat.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron berkata, BN sehingga kini konsisten membawa pembangunan kepada rakyat.

“Prinsip membela rakyat tidak pernah berubah kecuali perjuangan Pas yang kini goyah untuk menubuhkan negara berkebajikan bagi mendapatkan kepercayaan DAP.

“Pas tak konsisten, berubah ikut kepentingan politik dan kita tolak sekeras-kerasnya parti politik seperti ini. Pas perlu muhasabah diri kerana telah jauh menyimpang daripada hasratnya untuk menubuhkan negara Islam,’’ ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Pas sememangnya tidak boleh menerima sebarang pembaharuan yang dibawa oleh BN sejak dulu lagi.

“Dulu mereka katakan pembangunan adalah satu pembaziran yang hanya akan merugikan negara. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya kerana pembangunan telah banyak membantu kesejateraan rakyat,” katanya.


UMNO tak bimbang golongan Anwarinas

KUALA LUMPUR 6 Jun - UMNO tidak bimbang dengan penguasaan kumpulan Anwarinas atau golongan profesional dalam Pas malah, yakin tugas untuk menewaskan parti itu pada pilihan raya umum akan datang semakin mudah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau lebih bimbang sekiranya golongan ulama menerajui parti itu kerana golongan tersebut mendapat sokongan rakyat berbanding profesional.

"Kami tidak bimbang malah, ia memudahkan tugas kita pada pilihan raya umum nanti. Kami lebih bimbangkan kepimpinan ulama kerana sedar masih wujud elemen dalam masyarakat Melayu bahawa perjuangan Pas untuk negara Islam adalah betul.

"Sekiranya mereka masih mengekalkan kepimpinan ulama, kami akan menghadapi perlawanan yang sukar dan sengit tetapi apabila pucuk pimpinan beralih kepada golongan profesional, kami yakin tugas akan menjadi semakin mudah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pemberian biasiswa 1Malaysia Development Bhd., di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kepemimpinan baru Pas yang kini dikuasai oleh golongan profesional atau kumpulan Anwarinas pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Menurut Mohamed Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Pas akhirnya mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh UMNO dalam membangunkan negara selama ini adalah tepat.

Katanya, kini Pas mengalihkan perhatian mereka untuk membina sebuah negara berkebajikan walaupun sebenarnya konsep tersebut telah dilaksanakan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lalu.

"Kita sudah laksanakan konsep negara yang menjaga kebajikan rakyat 60 tahun lalu sedangkan mereka mula sedar mengenai perkara tersebut pada muktamar parti itu yang ke-57," jelasnya.

Menurut Mohamed Nazri, tujuan utama Pas mengubah konsep perjuangannya daripada pembentukan sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan adalah kerana parti itu yakin akan memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Ahli-ahli parti itu kini begitu dahagakan kuasa dan yakin akan memenangi pilihan raya akan datang. Oleh itu, mereka berusaha mengubah pendekatan perjuangan dengan cuba memberi keutamaan kepada rakyat seperti yang telah lama dilaksanakan oleh UMNO," ujarnya.

No comments: