DAP adakan pilihan raya masjid
BUTTERWORTH 5 Jun – Kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan pemilihan jawatan kuasa masjid di seluruh negeri mulai tahun ini akan dijalankan melalui proses ‘pilihan raya’ - perkembangan yang dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.
Jika dilaksanakan sepenuhnya, ‘pilihan raya masjid’ itu yang dijangka bermula pertengahan bulan ini akan menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri yang pernah melaksanakan kaedah pemilihan seumpama itu.
Difahamkan, ketetapan baru itu dibuat dalam satu mesyuarat khas Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang dihadiri Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim baru-baru ini.
Bagaimanapun, persoalan timbul sama ada keputusan penting itu mendapat perkenan Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini atau sebaliknya.
Perkembangan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan banyak pihak yang melihat kaedah itu akan menyebabkan institusi masjid diresapi unsur-unsur kepartian sehingga mengundang perpecahan serius dalam kalangan kariah masjid.
Kaedah pemilihan itu terkandung dalam notis Tatacara Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 yang diedarkan kepada kira-kira 4,000 jawatankuasa masjid seluruh negeri ini, baru-baru ini.
Mengikut tatacara tersebut, jawatan kuasa masjid diarah menjalankan mesyuarat agung khas antara 1 hingga 7 Jun 2011 dan mengedarkan borang-borang pencalonan termasuk bagi jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Bendahari, Setiausaha serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita.
Bagaimanapun, setiap nama calon yang dikemukakan akan ditapis terlebih dahulu oleh sebuah Jawatan kuasa Khas MAIPP yang berhak menerima atau menolak mana-mana pencalonan yang dianggap tidak layak.
Setiap calon yang bertanding kemudiannya diberi tempoh seminggu untuk ‘berkempen’ iaitu antara 10 hingga 17 Jun sebelum hari pengundian bermula 18 Jun yang akan dihadiri wakil MAIPP.
Sumber MAIPP memberitahu, cadangan pelaksanaan kaedah baru itu yang dibangkitkan dalam mesyuarat sebelum ini mencetuskan percanggahan pendapat dalam MAIPP sendiri yang mahu ia dikaji kerana tidak mahu institusi masjid dicemar unsur kepartian.
Bagaimanapun, katanya, wujud tekanan daripada pihak tertentu yang mahu supaya kaedah baru dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.
“Kaedah sedia ada mungkin boleh diperbaiki, tetapi pemilihan baru ini sebenarnya mengundang lebih banyak masalah malah akan menjadikan kariah lebih berpecah-belah. Lagi pula, kenapa mahu ia dibuat secara tergesa-gesa?
“Secara prinsipnya, memanglah ini adalah keputusan MAIPP, tetapi cadangan itu datang dari atas iaitu kerajaan negeri yang mahu ia dilaksanakan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria (gambar) yang dihubungi mengesahkan keputusan melaksanakan kaedah pemilihan baru tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
“Di peringkat ini, tidak perlulah saya komen. Lebih baik anda hubungi Yang Berhormat Exco Abdul Malik untuk mendapat butiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment