Agama bukan jadikan manusia ganas
SESETENGAH pihak menuduh bahawa tindakan menyekat perhimpunan haram adalah sebagai sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan berhimpun.
Bagi sesetengah kelompok mereka mempersoalkan bahawa sekatan itu sebagai suatu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan kerana bertentangan dengan prinsip Islam, walhal mereka inilah yang sebenarnya berusaha membelah ketenangan dalam masyarakat.
Islam merupakan agama yang meletakkan prinsip keamanan dan ketenangan masyarakat manakala sebarang usaha memecahkan suasana itu adalah satu tindakan bersifat zalim. Hal ini merupakan satu tindakan yang haram kerana ia boleh mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada orang ramai.
Hukumnya cukup jelas kerana Allah mengingatkan hamba-Nya untuk tidak mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud, ‘dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan’ (Maksud Surah Al-Baqarah ayat 195)
Lebih malang lagi apabila ada pihak melengkapkan pandangan umum bahawa perhimpunan jalanan bagi melancarkan protes itu sebagai suatu tindakan yang mempunyai nilai perjuangan yang bersifat jihad. Ia dilihat sebagai jihad kerana tujuannya adalah untuk menuntut keadilan dan jaminan oleh pemerintah yang zalim, kerana mempertahankan undang-undang yang bersifat penjajah.
Inilah dikatakan golongan pelampau iaitu orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Ia merupakan satu tindakan yang terkeluar daripada jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam. Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (Riwayat Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al- Hakim).
Sejarah telah membuktikan, dalam sebarang bentuk perhimpunan besar yang berasaskan protes tertentu telah mencetuskan pelbagai insiden buruk, termasuk memusnahkan kemudahan awam dan menghalang urusan seharian masyarakat awam.
Tidak kurang juga berlakunya pertembungan antara dua pihak yang bertentangan. Daripada pertembungan itu akan mencetuskan lebih banyak perbalahan dan konflik, yang pada mula dalam bentuk cabar mencabar.
Protes yang melanda negara-negara Arab misalnya telah memakan korban besar sama ada di pihak awam yang memperjuangkan kebebasan dan menuntut perubahan ataupun pihak yang mempertahankannya. Ini menimbulkan satu bentuk bencana dan menjadi bertambah runcing apabila antara dua puak yang berkonflik saling membuat tuntutan di atas anggota yang terkorban.
Konflik itu berlangsung dalam masa lama. Tradisi pertentangan dalam sejarah Islam turut memberikan kita bahawa pembelaan yang berlebihan itu turut membawa kepada dendam yang tidak kunjung padam. Pembunuhan ke atas khalifah terakhir misalnya, masih dituntut oleh sekelompok penganut Islam yang berpegang kepada pandangan bahawa merekalah yang paling berhak meneruskan kepimpinan politik Islam.
Setiap tahun pengikut mereka akan berkumpul memperingati tragedi pembunuhan tersebut dalam bentuk ritual yang tidak selaras dengan prinsip Islam sendiri. Kelompok tersebut meraikan ulang tahun tragedi itu dengan memukul-mukul badan mereka sebagai simbol perjuangan sehingga berdarah dan ini bertentangan dengan kehendak Islam. Islam mengharamkan penganutnya untuk menyiksa diri sendiri dan orang lain, kerana Islam ditegakkan atas dasar kasih sayang.
Setiap umat Islam diwajibkan menjaga kesejahteraan diri dan dalam memenuhi tanggungjawab tersebut ia tidak pula membenarkan tindakan melanggar kesejahteraan diri orang lain. Meskipun ada konflik di antaranya, konflik tersebut perlulah diselesaikan melalui perundingan, perbincangan yang komunikatif dan dilaksanakan dalam semangat kasih sayang.
Dalam pada itu juga banyak ayat al-Quran yang menyeru umat manusia agar mempunyai sifat timbang rasa dan mementingkan kedamaian. Bahkan ia adalah ciri khusus yang terdapat dalam al-Quran. Allah menghendaki supaya semua hamba-Nya hidup di dunia ini dengan aman dan stabil serta taat kepada-Nya dalam keadaan menjauhi kekejaman, perbalahan dan permusuhan.
Al-Quran telah menetapkan tempat-tempat aman. Ia juga telah menentukan masa- masa aman serta keadaan yang tidak dibenarkan padanya permusuhan, melakukan dosa, benci-membenci dan pertumpahan darah. Wahyu Ilahi ini menyeru ke arah kebaikan dan kebajikan dalam semua perkara. Ia juga menggalakkan persaudaraan, kesamarataan, kerjasama, berlembut, berbudi pekerti yang tinggi, merendah diri dan mempunyai sifat pemaaf.
Agama bertujuan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan tidak pernah bertujuan membangkitkan massa untuk melakukan suatu kekerasan atau penyerangan. Ajaran di dalam al-Quran juga mengharamkan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.
Perpaduan kemanusiaan ini diterima pakai oleh Islam bagi kehidupan bersama antara manusia termasuk seruan persaudaraan dengan mengenali antara satu sama lain, berurusan secara betul dengan membuang permusuhan dan perbezaan pendapat yang boleh membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah. Kitab suci al-Quran meletakkan kemuliaan manusia lebih daripada makhluk lain.
Kemuliaan ini adalah umum kepada semua manusia, tidak kira keadaan etnik, bangsa, warna atau status sosial atau harta benda.
DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
No comments:
Post a Comment