50 kontraktor mungkin bankrap
SHAH ALAM 6 Jun – Kira-kira 50 kontraktor bumiputera mungkin menghadapi risiko bankrap apabila kontrak untuk mengutip sisa pepejal di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang diperoleh mereka ditangguhkan sejak tiga bulan lalu.
Kesemua kontraktor terbabit merupakan sebahagian daripada 61 kontraktor yang memperoleh kontrak bagi 2011 hingga 2013 secara tender terbuka dan sepatutnya memulakan kerja-kerja mengutip sisa pepejal di kawasan MPSJ mulai 1 Mac lalu.
Kontrak tersebut didakwa ditangguhkan tanpa sebab munasabah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 17 Februari lalu.
Menurut salah seorang kontraktor, Zamri Zakaria, 45, tender untuk memperolehi kontrak mengutip sisa pepejal tersebut dibuka pada 12 Disember 2010 dan ribuan kontraktor telah membida.
Bagaimanapun dakwa beliau, hanya 61 kontraktor dipilih dan mereka dimaklumkan mengenai keputusan itu melalui panggilan telefon daripada kakitangan Bahagian Perkhidmatan Bandar MPSJ pada Februari lalu dan dijadual diberi surat lantikan pada malam 17 Februari lalu.
“Sebagai persiapan, saya dan sebahagian besar kontraktor yang mendapat kontrak telah membeli lori yang berharga kira-kira RM300,000 dengan meminjam daripada bank serta menggaji pekerja. Kami berbuat demikian agar kerja-kerja mengutip sisa pepejal dapat dimulakan pada hari yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, kami terkejut kerana pada hari surat lantikan sepatutnya diserahkan, Menteri Besar dalam mesyuarat MTES mengarahkan agar kontrak kami ditangguhkan tanpa memberi alasan yang munasabah,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Zamri mendakwa, beliau dan kontraktor lain pada mulanya berharap agar penangguhan itu hanya sementara tetapi kecewa kerana sampai hari ini tiada sebarang keputusan dibuat oleh Abdul Khalid tanpa memberi penjelasan kepada pihaknya.
Katanya, apa yang merunsingkan, beliau dan kontraktor lain yang membuat pinjaman terpaksa membayar ansuran bank antara RM5,000 dan RM7,000 sebulan kerana telah membeli lori tetapi tidak mampu membayar pinjaman jika kontrak masih terus ditangguhkan.
“Jika Menteri Besar terus ‘menggantung’ kontrak, kami mungkin akan bankrap kerana tiada wang hendak menjelaskan pinjaman bank. Lori pula kalau jual sudah separuh harga dan kerugiannya kami yang tanggung,” kata Zamri.
Sehubungan itu, beliau mewakili kontraktor yang senasib dengannya meminta Abdul Khalid agar memberi penjelasan secara terbuka mengapa kontrak mereka ditangguhkan.
Ujarnya, Abdul Khalid juga diminta agar menarik balik penangguhan tersebut agar para kontraktor yang terlibat tidak terus teraniaya.
No comments:
Post a Comment