Tuesday, November 02, 2010

Minyak Oh Minyak : Kerana mu oh pasaran !

Apa punya kerajaan, langsung tidak bertanggungjawab serta lepas tangan. Bagaimana kenaikan harga petrol bukan tanggungjawabnya tetapi 'tanggungjawab pasaran'. Senang dan mudahlah menjadi menteri kalu macam tu. Alasan kerajaan tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenaikan harga minyak petrol Ron 97 sebanyak 5 sen mulai hari ini.

Baguslah sebelum menjelang hari pembuangan undi di PRK Galasa dan Batu Sapi Sabah esok. Setidak-tidak rakyat perlu disedarkan. Justeru tindakan rakyat yang sedar, dalam usaha mereka ini serta ikhtiar terakhir rakyat sila kuburkan Bn Umno di Galas dan Batu Sapi.

Semakin hari kerajaan kita semakin bertindak keterlaluan. Bangunan 100 tingkat mahu didirikan juga, walaupun 2 pelantar rumah air di Batu Sapi roboh.



Pasaran Yang Tentukan Kenaikan Harga Minyak Petrol RON97

Tetapi Kerajaan Beri Jaminan RON 95 Tak Akan Naik Dalam Tempoh Terdekat - Ismail Sabri

PETALING JAYA: Kerajaan tidak betanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka. Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak.

"Turun naik harga minyak petrol RON97 dikawal sepenuhnya oleh pasaran kerana ia merupakan barangan yang diapungkan di pasaran terbuka. Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kenaikan harga RON97.

"Kami hanya memantau kenaikan harga minyak petrol bersubsidi, RON95 dan diesel sahaja,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 5 sen mulai hari ini.

Harga bahan mentah tersebut kini RM2.15 seliter. Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah. Tidak seperti sebelumnya, tidak ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, orang ramai tidak perlu risau mengenaikan kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana ia hanya digunakan oleh pelancong asing dari Singapura dan Thailand serta pengguna kereta mewah seperti Mercedez dan Ferrari.

"Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya mengapa kenaikan harga bahan mentah tersebut tidak diumumkan oleh kerajaan, Ismail Sabri berkata: "Keputusan menaikan harga RON97 ditentukan oleh pasaran dengan persetujuan syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak campurtangan dalam soal penentuan harga."

Mengenai tindakan mewajibkan papan tanda bagi memaparkan harga semasa petrol di semua stesen minyak di negara ini, beliau berkata tindakan tersebut terpulang kepada pengusaha stesen minyak dan kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mewajibkannya ketika ini.

"Perkara itu terpulang kepada pengusaha stesen minyak. Setakat ini kita lihat belum ada keperluan untuk kerajaan mewajibkan papan tanda harga dipaparkan di setiap stesen minyak," katanya.

Khabar angin mengenai kenaikan harga RON 97 itu tersebar sejak tengahari Isnin dan kenyataan tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe ketika dihubungi oleh beberapa akhbar pada Isnin.

Ini adalah kenaikan pertama harga minyak selepas kenaikan pada 15 Julai tahun ini, yang bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan.

No comments: