Wednesday, August 04, 2010

Nizar diimejkan buat kacau

Nizar digantung, dihalau Ganesan

IPOH – Keingkaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mematuhi arahan Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk R Ganesan menyebabkan bekas Menteri Besar itu dihalau dan digantung sehingga sidang sehari itu tamat, semalam.

Penggantungan itu diputuskan Ganesan sebaik sahaja menolak rayuan Mohammad Nizar untuk meneruskan perbahasannya selepas semua 32 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Bebas bersetuju dengan usul dibawa Datuk Ramly Zahari (BN-Manong).

Kehangatan perbahasan memuncak apabila mikrofon yang digunakan ADUN PR terputus-putus seperti ditutup dan kegagalan Mohamad Nizar menyebut jawatan Yang Dipertua Dewan atau Speaker menyebabkan Ganesan memberi amaran.

“Saya memberi amaran kepada Yang Berhormat Pasir Panjang supaya menyebut jawatan saya,“ kata Ganesan.

Bagaimanapun, setelah beberapa kali diberi peringatan, Ganesan akhirnya mengeluarkan arahan supaya Mohammad Nizar keluar dari Dewan.

Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) kemudian bangun mencadangkan supaya Perintah Tetap 44(3) digunakan untuk menggantung Mohamad Nizar daripada mesyuarat itu.

Dengan menyebut Perintah Tetap 44(2) serta kuasa Speaker yang ada kepadanya, beliau arahkan Mohammad Nizar keluar kerana mencetuskan suasana haru-biru.

ADUN Pasir Panjang itu akhirnya akur dan keluar dari Dewan pada jam 1.29 tengah hari diikuti 27 ADUN PR yang lain, manakala 28 ADUN BN bersama empat Bebas masih kekal di tempat masing-masing.

Sementara itu Ganesan berkata, beliau mempunyai alasan kukuh bertindak terhadap ADUN Pasir Panjang itu.

“Saya terpaksa keluarkan dia kerana tidak mengikut arahan Speaker. Jawatan Speaker tidak disebutnya. Meskipun kes Speaker sudah dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh, tetapi injunksi ditolak. Saya perlu menjalankan tugas yang diamanahkan sebagai Speaker,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ditangguhkan semalam.

Katanya, jika usul Perintah Tetap 44(3) itu dipersetujui, undian tidak perlu dilakukan dan Mohamad Nizar boleh digantung selama mesyuarat berlangsung.

Beliau berkata, Mohammad Nizar cuba merayu setelah usul penggantungan itu dikemukakan, namun ditolak kerana peluang sudah diberikan kepadanya berucap, tetapi enggan menggunakan masa itu sebaiknya.

"Saya cuba jalankan persidangan dengan adil dan saksama, tetapi kesabaran saya dengan sikap ADUN PR sudah sampai kemuncak dan saya terpaksa bertindak tegas," katanya.

Suasana yang pada awalnya lancar bertukar menjadi kecoh ketika ADUN Pangkor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjawab Rang Undang-undang Pembekalan Tambahan 2010.

Pada masa sama, isu pemberian peruntukan sebanyak RM50,000 kepada setiap MCA Bahagian di Perak menjadi topik perdebatan sehingga ADUN BN dan PR saling mengejek.

No comments: