Wednesday, August 04, 2010

Nasionalisme : Kupasan A Aziz Deraman

Ke mana nasionalisme?

- A. AZIZ DERAMAN

Setiap kali tiba bulan Ogos, kita warga Malaysia akan menyambutnya dengan megah bahawa inilah bulan kemerdekaan bangsa dan kebebasan negara kita. Bangsa kita merdeka mengatur langkah ke mercu martabat. Negara kita bebas untuk memacu kemakmuran sendiri. Kemerdekaan memberikan kita kebebasan mencipta apa jua dasar di peringkat nasional dan sejagat, lokal dan global. Tetapi kenapakah kita kian terasa akan kehilangan semangat nasionalisme dan kelunturan patriotisme Malaysia? Ke mana perginya nasionalisme jika kita gagal menghayati Gagasan 1Malaysia dan di mana pula aspirasi Wawasan 2020 dalam konteks kita berbangsa dan bernegara jika kita tidak padukannya dengan kemajuan dan perpaduan? 1Malaysia akan diisi dengan suatu transformasi besar negara dan rancangan pembangunan ke arah mencapai kemajuan sepenuhnya. Soalnya dapatkah kita capai tanpa minda nasionalisme yang kukuh dan sanubari patriotisme yang mendalam?


Wawasan 2020 itu adalah tahun matlamat negara. Kadang-kadang perjalanan ke situ menjadi kritikal disebabkan suasana politik yang sukar dibaca, adanya gerakan pembangkang yang ekstrem dan terjadinya perombakan sesuatu dasar tanpa alasan yang padu. Keadaan ini menjadi lebih ruwet sekiranya berlaku kegagalan membangunkan modal insan sehingga membawa kepada konflik dan perubahan persepsi rakyat. Apakah kehilangan nasionalisme itu kerana sifat kepelbagaian kita. Patriotisme pula ikut terhakis. Apakah hal-hal sedemikian terjadi kerana kita terdiri dari pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, amalan budaya dan adat resam yang tidak sama? Padahal jika usaha-usaha berterusan dilakukan untuk menyatukan minda, sikap, pandangan, keyakinan, pemikiran dan mendorongkan perkongsian nilai-nilai bersama, tentunya rasa kesatuan dan kebangsaan Malaysia akan bertambah kukuh. Sebaliknya jika nilai-nilai budaya perkauman, ‘laissez faire’, ‘multi-culturalisme’ ‘pluralisme’ didorongkan tanpa batas, bagaimana mungkin sifat-sifat kenegaraan atau kebangsaan Malaysia itu boleh segera dilahirkan?


Di sana sini orang-orang politik pula menggunakan istilah semahu-mahunya tanpa jelas, tepat dan mendukungi makna falsafah atau kebenaran maknawiahnya. Misalnya kata ‘bangsa’ yang merujuk kepada ‘negara’ atau kita sebagai satu bangsa Malaysia disamakan dengan erti kaum. Kaum Cina atau India warga Malaysia, adalah sebahagian daripada bangsa Malaysia bukannya warga atau bangsa China atau kaum India itu sebagai warga atau bangsa India yang merujuk kepada negara India. Kebangsaan (nationality) mereka adalah Malaysia. Jadi penulis kurang arif kenapa mesti dilahirkan sebuah ‘Little India’ atau mungkin ‘Little China’ di Malaysia. Rancangan ini hanya benar jika kaum India atau Cina masih menganggap mereka sebagai pendatang. Hal itu bukan demikian lagi. Segelintir orang Melayu yang buta sejarah dan tiada ilmu sains sosial pula akan mencadangkan kenapa tidak diwujudkan juga 'Little Malay‘ misalnya untuk menamakan pembangunan semula Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kedangkalan ilmu sejarah dan persuratan lambat laun akan meruntuhkan status peradaban sendiri.


Dari tahun 2010, kita akan menempuhi tempoh satu dekad lagi menjelang 2020. Konsep asal negara maju adalah berlandaskan negara perindustrian. Tetapi bagi penulis keutamaan kemajuan pertanian juga akan membawa kita ke hadapan. Kita mesti ada perimbangan yakni kita bukan sahaja mesti maju dalam ekonomi sama ada bidangnya perdagangan, perniagaan, perindustrian, kewangan, perbankan tetapi mesti maju dalam politik yakni kematangan berpolitik, tiada lagi perjuangan perkauman dan rakyat menjiwai kesatuan bangsa Malaysia. Kita juga maju di bidang sosial dengan kebajikan, kesejahteraan dan ketinggian nilai moral dan akhlak. Kata orang, sekarang sudah ada haiwan di kalangan manusia, kerana manusia haiwan sanggup membunuh, merogol, seks songsang, merompak, membuang bayi, bersekedudukan haram, pelaku jenayah, bertindak ganas, tetapi tidak ada manusia di kalangan haiwan. Nasionalisme itu untuk manusia dan patriotisme itu pun untuk manusia dan negara manusia.


Nasionalisme di negara-negara maju dicerminkan kekuatan kebudayaan dengan pembinaan kerohanian dan kejiwaan yang kental. Rakyatnya berkongsi nilai-nilai dan norma kehidupan yang positif. Di Malaysia mungkin sahaja diambil dari tradisi rakyat asal dan Islam sebagai agama rasmi negara. Jadi kesayangan dan kecintaan terhadap negara sebenarnya menjadi kayu pengukur akan nasionalisme bangsa Malaysia itu. Selagi orang Cina merasa diri mereka seperti bangsa Cina di China atau orang India merasakan diri mereka seperti bangsa India di India, kaki di sini akal di sana, bagaimanakah akan terbina kesatuan dan perpaduan satu bangsa dalam konteks 1Malaysia itu? Tepuk dada dan tanya selera anda. Sudah berkali-kali ditegaskan bahawa 1Malaysia itu, terasnya Perlembagaan dan Rukun Negara. Cuba baca, fahami, hayati Perlembagaan Negara. Kita hanya ada satu Malaysia. Itulah satu-satunya negara bangsa kita. Kemusnahan negara ini mengakibatkan kemusnahan kita. Waspadailah orang politik, jangan anda terlalu banyak bermain api, bermainlah dengan ilmuwan, ulama hikmah dan cerdik pandai agar impaknya lebih membijaksanakan kita.


Suatu waktu kita pernah mendengar bagaimana rakyat Malaysia memperlekeh, memperleceh dan memperkecilkan negara sendiri. Ada tokoh-tokoh politik kerana kepentingan diri dan mahu menjulang nama bertindak memburuk-burukkan negara sendiri di bumi asing. Mereka sanggup bersekongkol dengan pemimpin asing atau menggunakan media asing. Mereka bukan tidak tahu, ‘menepuk air di dulang akan terpercik ke muka sendiri’. Rakyat negara maju seperti Korea dan Jepun tidak pun menghina negara sendiri. Orang Singapura pun tidak begitu. Mereka sentiasa mempertahankan negara sendiri. Kalau istilah ‘kiasu’ dikaitkan dengan sikap tidak mahu mengalah, amalan orang Jepun dengan budaya Jepunnya. Melayu ada konsep jihad, antaranya dengan ‘biar berputih tulang jangan berputih mata’, lalu Melayu tidak sepatutnya menganut budaya lalang, mudah meliuk-lintuk ke sana ke mari. ‘Kiasu’ menjadikan semangat Singapura, rakyat sedia memperbaiki kelemahan negara, tetapi tidak memburukkannya.


Konsep negara maju yang mahu kita bina itu mengikut acuan kita sendiri. Maka di manakah acuan itu? Apakah acuan barat atau acuan asing caca-merba dari segala ceruk rantau dunia yang mahu kita pakai? Kemajuan penuh itu untuk apa dan untuk siapa? Tanyakan diri bagaimana sifat-sifat perpaduan negara yang kita maksudkan, integrasi sosial yang bagaimana, perkongsian kek ekonomi secara mana? Rupa bentuk keadilan sosial yang mahu kita bina sedang dihuraikan, termasuk usaha-usaha menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Jika Melayu dan bumiputera diberikan keutamaan dan keistimewaan kerana kemunduran dan kedaifan mereka, kenapa hakikat ini sukar diterima? Itulah juga tuntutan Perlembagaan. Sepatutnya tidak ada kedengkian dan kecumburuan seandainya Model Baru Ekonomi (MBE) memasukkan satu bahagian khusus tentang mekanisme menyelesaikan isu ini.


Kenapa semangat nasionalisme dan patriotisme kita masih rendah bahkan kian merosot? Sebagaimana disebutkan tadi, ada orang mengatakan amalan ‘kiasu’ Jepun patut diambil. Selain Singapura, mungkin Thailand dan Indonesia ada ramuannya. Jika nasionalisme kita merosot dan boleh hilang, apakah ada jaminan bahawa kita akan dapat mencapai tahap sebuah negara maju? Penulis pernah beberapa kali bayangkan bahawa antara salah satu faktor pemodenan dan kemajuan Korea adalah hasil gerakan Samuel Undong, yakni konsep kerjasama yang kebetulannya dicontohi dari Malaysia. Jadi tidak cukupkah jika kita angkatkan tradisi sendiri seperti kerjasama, muafakat dan gotong royong itu sebagai penghayatan jiwa kemajuan rakyat. Kita boleh menambahnya lagi dengan pelbagai unsur-unsur yang serasi dari barat atau timur. Malahan penerapan nilai-nilai Islam yang ternyata banyak membawa kemajuan boleh diterapkan, misalnya sistem perbankan Islam yang diakui dunia akan kejayaannya itu. Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura adalah contoh negara-negara yang mencapai kekuatan kerana nasionalisme dan patriotismenya yang tinggi.


Tahap keyakinan asing kepada negara kita terletak kepada tahap keyakinan kita. Kita kehilangan jiwa kebangsaan kerana kita melebihkan jiwa perkauman. Kita dipandang rendah kerana kita sendiri tidak memandang tinggi akan diri dan negara bangsa kita. Menjelang tahun 2020, kita mahu melihat sistem pemerintahan yang mantap sesuai dengan keyakinan baru yang dipupuk sekarang. Kita mahu taraf dan kualiti kehidupan kota dan desa terus meningkat. Rakyat Malaysia kekal mengamalkan nilai-nilai positif sosiobudaya, jiwa rohani yang penuh kebanggaan kepada bangsa sendiri. Insya Allah, dengan peningkatan daya saing, kekukuhan nasionalisme dan patriotismenya, Malaysia akan berada di salah satu tangga teratas dalam saingan global.


No comments: