| KOTA BHARU, 18 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz  Nik Mat berkata tindakan mempolemikkan penggunaan dinnar emas dan dirham  perak di Kelantan adalah disebabkan sifat hasad dengki dan pihak  tertentu.
 Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak  melihat penentangan penggunaan dinar dan dirham tersebut mempunyai asas  yang kuat selain dendam politik Umno terhadap kerajaan PAS negeri itu.
 
 
  “Tetapi  kerana hasad dengki menyebabkan mereka menentang walaupun yakin  perlaksanaan itu betul. 
 “Mereka pertikai atas dasar politik  semata-mata walaupun dengan hujah yang kabur,” ujarnya yang juga  Mursyidul Am PAS.
 
 Jelasnya, sepatutnya perkara itu tidak menjadi  isu apatah lagi kepada orang Islam kerana dinnar emas dan dirham perak  sudah diguna sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.
 
 Beliau berkata  demikian ketika ditemui di JKR 10, di sini semalam.
 
 Mengulas  lanjut beliau berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyokong usaha yang  dilakukan oleh kerajaan Kelantan yang berhasrat untuk mengembalikan  semula kegemilangan Islam.
 
 Namun menurutnya, mungkin kerana sikap  anti Islam dan hasad dengki yang mendalam, mereka terpaksa melawan dan  menentang pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.
 
 “Mereka  terus melatah kerana berasa sengal dengan usaha kerajaan Kelantan  berusaha melaksanakan syariat Islam termasuk sistem kewangan,” ujarnya.
 
 Usaha  Kelantan mengeluarkan dinnar emas dan dirham perak jelasnya adalah bagi  menjaga sistem kewangan agar tidak berterusan dimonopoli barat.
 
 Negara  Islam katanya perlu membuktikan kepada barat bahawa Islam mempunyai  mata wangnya sendiri.
 
 Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan  mengeluarkan sebuah buku mengumpulkan pandangan-pandangan alim ulama  berhubung penggunaan dinnar emas dan dirham perak.
 
 Buku yang  bakal disusun oleh kerajaan negeri itu juga akan mengumpulkan hasil  tulisan dari kitab-kitab jawi dan Arab yang telah mendedahkan masaalah  kewangan dalam Islam.
 
 Masyarakat Kelantan antara yang gemar  membeli dinnar dan dirham untuk simpanan terutama golongan wanita.
 
 Dalam  usaha menggalakkan penggunaannya, Tuan Guru memberitahu akan membayar  zakat fitrahnya tahun ini dan masa akan datang menggunakan dinnar.
 
 | 
 | 
No comments:
Post a Comment