Monday, March 08, 2010

Pandangan yang subjudis terhadap kerajaan PR

Tiada pengalaman memerintah adalah ukuran seorang ahli akademik dalam menilai PR tiada bersepakatan dalam memerintah negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Ahli akademik yang kuat mengampu ini, langsung tidak memberi kredit terhadap usaha yang dibuat oleh kerajaan Pakatan. Jahat , dangkal, tidak mampu dan puluhan tohmahan dibuat, biarpun duit rakyat gagal diselewengkan oleh puak-puak ini dalam pentadbiran kerajaan Pakatan.

Inilah nilaian orang yang pendek akal, tidak melihat sesuatu yang orang lain buat secara parktis, dan analatikal dalam soal ini. Ahli akademik 'raga' ini akan kaut ibarat seperti tong sampah.


Pakatan tiada kesepakatan-Hari ini genaplah dua tahun, tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 berada dalam genggaman pakatan pembangkang.

Kedah diketuai oleh Pas, Pulau Pinang pula DAP dan Selangor oleh PKR. Jika genap setahun memerintah sebelum ini, mereka menganggap tidak wajar kepimpinan dinilai kerana dianggap masih baru tetapi bagaimana pula setelah dua tahun?

Apakah segala yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu sudah ditunaikan? Atau ia sekadar janji kosong bagi meraih undi dan kekuasaan?


Laporan Khas kali ini yang disediakan oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI, NOR SEDEK ISMAIL, ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN, NAZARUDDIN SHAHARI, ABDUL YAZID ALIAS, NURUL HUDA HASSAN, MOHD. RAFIE AZIMI dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA meninjau mengenai perkembangan pemerintahan di ketiga-tiga negeri.

KUALA LUMPUR 7 Mac – Gabungan parti pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah dilihat tiada kesepakatan sehingga menyebabkan berlakunya kepincangan yang meruncing dalam pentadbiran di ketiga-tiga negeri itu.

Menurut beberapa penganalisis politik, situasi ini berlaku kerana DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung semata-mata untuk ‘menjatuhkan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya berpakat untuk memerintah.

Sehubungan itu pada penilaian mereka, setelah dua tahun berpeluang berkuasa, pakatan pembangkang kini goyah hingga gagal menjalankan sebarang bentuk pembangunan berkesan di negeri yang ditadbir mereka.

Malah lebih parah, kata para penganalisis, bibit perbalahan di kalangan mereka semakin ketara sehingga seorang demi seorang mula mengangkat kaki keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran rakan gabungan.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, punca tiada kesepakatan di kalangan pakatan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah disebabkan tiadanya pengalaman memerintah.

Menurutnya, pengalaman untuk memerintah dan mentadbir sesebuah negeri adalah amat penting bukan sahaja melibatkan Menteri Besar atau Ketua Menteri malah keseluruhan pemimpin parti yang menerajui dan mewakili rakyat di sesebuah negeri itu.

“Jika tidak, ia akan berlaku seperti apa yang terjadi di negeri-negeri yang kini diterajui pakatan pembangkang seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

“Mereka beranggapan apabila menang pilihan raya, ia merupakan kejayaan besar bagi mereka. Tapi ternyata mereka salah kerana gagal untuk mentadbir akibat ketiadaan pengalaman dan kesepakatan antara gabungan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Faiz berkata, apa yang penting bagi mereka adalah ‘mendapatkan kuasa’ dan kedudukan sehingga mengabaikan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat.

Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula berkata, di Pulau Pinang pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai oleh Lim Guan Eng nyata tidak matang dan berjuang hanya untuk mencapai kepentingan parti itu semata-mata.

Menurutnya, matlamat DAP hanyalah untuk merampas kuasa dan kedudukan daripada parti Gerakan dan BN.

“Kini, matlamat itu yang juga merupakan matlamat utama Penasihat DAP, Lim Kit Siang - ayah kepada Guan Eng tercapai. Soal pentadbiran, pembangunan dan kebajikan tidak akan diberi keutamaan kerana apa yang penting Pulau Pinang di bawah takluk mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Azeem Fazwan berkata, situasi yang sama juga berlaku di negeri lain yang diperintah oleh pakatan pembangkang seperti di Selangor dan Kedah.

“Gabungan mereka dilihat goyah dan menimbulkan pelbagai masalah ekoran parti seperti DAP dan PKR yang mahu jadi dominan di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula, beliau melihat pakatan pembangkang kini menghadapi krisis dalam pentadbiran ekoran tidak mampu mewujudkan kerjasama yang berkesan.

Sambil merujuk kepada situasi di Selangor, beliau berkata, kini telah wujud keladak dan gelojak dalam pentadbiran di negeri itu dan ini seharusnya disedari oleh rakyat.

Menurutnya, walaupun luarannya nampak seperti tiada masalah, namun apabila dilihat secara dalaman banyak masalah yang timbul terutamanya melibatkan pemimpin di kalangan parti-parti komponen dalam pakatan pembangkang.

“Melihat kepada pembangunan di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak membawa sebarang pembangunan dan hanya meneruskan kesinambungan pembangunan yang dibuat kerajaan sebelum ini.

“Daripada apa yang berlaku di Selangor seperti krisis antara Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, kemelut pemerintahan PKR sehingga bubarnya PKR Cabang Kuala Selangor jelas menunjukkan pakatan pembangkang di negeri itu begitu rapuh dan kini ibarat retak menanti belah,” katanya.

Begitu juga Kedah, katanya, walaupun seperti tiada masalah di negeri itu, namun kerajaan Pas di Kedah dilihat hanya seronok sendiri dan mengambil kesempatan dengan mendakwa semua projek pembangunan yang telah pun dirancang adalah usaha mereka.

“Hakikatnya di Kedah banyak isu yang belum terjawab dalam bentuk tindakan proaktif oleh kerajaan Pas misalnya isu kebajikan dan kemiskinan rakyat,” katanya.

No comments: