Thursday, February 25, 2010

Media yang berkesan

Dalam dunia moden media cukup berperanan dan amat besar impaknya. Bagi negara peranan media boleh menaikkan imej negara dan boleh menenggelamkan imej negara.

Sebagai contoh pendedahan skandal, korupsi, wang negara yang diselerakkan akan tersebar dengan cepat dan menjalan ke seluruh denyut nadi rakyat. Dan ia menjadi gelombang besar bila disensasikan dan dimainkan sehingga ia menjadi laku dan dibeli oleh masyarakat.

Pengakuan terbuka oleh baginda al Sultan Selangor, mengingatkan kita semua bahawa peranan media boleh menjatuhkan serta menghuru harakan sesebuah negara atau kerajaan.

Sultan Selangor: Kuasa Media Boleh Bangunkan Atau Menghuru-Harakan Negara

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, media mempunyai kuasa membangunkan atau menghuru-harakan sesebuah negara kerana ia memainkan peranan dalam mempengaruhi individu dan masyarakat ke arah kebaikan atau keburukan.

Baginda menegaskan, kesemua itu bergantung kepada tujuan asal penerbitan sesebuah akhbar dan peranannya dalam masyarakat.

"Bak kata pepatah menyatakan bahawa mata pena itu adalah lebih tajam daripada mata pedang," titah baginda pada majlis pelancaran Mingguan mStar, akhbar bahasa Melayu pertama terbitan Kumpulan Media Star di sini hari ini.

Mingguan mStar akan diedarkan mulai Ahad ini sebagai sisipan akhbar berbahasa Inggeris The Sunday Star di Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu surat khabar di Malaysia menjadi satu sumber informasi yang boleh membangunkan pemikiran rakyat dan dapat mengetengahkan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

"Artikel dan rencana yang disiarkan perlulah mendapat pengesahan sewajarnya serta hendaklan ditulis secara mendalam dan menyeluruh yang boleh memberi pengetahuan dengan tepat dan sempurna," titah baginda.

Titah baginda lagi, pengamal media perlu adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak ketika membuat laporan kerana ia boleh mengundang situasi saman menyaman antara satu sama lain.

"Beta juga ingin menasihatkan kepada media massa khususnya media cetak supaya bertanggungjawab dalam memberikan maklumat dan berita serta tidak memutar-belitkan fakta yang boleh menyebabkan kekeliruan masyarakat.

"Di samping itu, surat khabar juga hendaklah menyiarkan berita yang boleh memberikan maklumat dan bukannya berita-berita gosip yang disensasikan serta kurang memberi pendidikan," titah baginda.

Baginda mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Media Star berikutan kelahiran akhbar Bahasa Melayu pertamanya dan berharap ia dapat menyemarakkan lagi industri persuratkhabaran di Malaysia di samping membuka peluang pekerjaan baru.

"Beta percaya, langkah yang diambil oleh Kumpulan Media Star ini bukanlah atas pertimbangan perniagaan semata-mata tetapi juga atas rasa keprihatinan dan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penerbitan akhbar mingguan berbahasa Melayu," titah baginda.

No comments: