Tuesday, January 26, 2010

Pukul anak salah ?

Contoh dan mencontohi adalah dibolehkan, samada contoh tersebut dari dalam atau luar, contoh berkenaan soal pendidikan anak-anak. Lihat artikel di bawah seorang penulis bebas media kita, terlalu mengagung-agungkan pendidikan luar dan Barat, sehingga kan pendidikan dan budaya timur dan nilai ketimuran kita dalam pendidikan diabaikan.

Kita jangan terlalu agungkan dan bandingkan dengan apa yang ada dalam negara kita. Nanti kerosakan dalam negara akan lebih besar daripadanya.


Walaupun artikel di bawah tidaklah menyetujui tentang apa yang berlaku.Tetapi itulah kemalangan yang akan berlaku dan di akhir cerita anak-anak akan mengabaikan ibubapanya nanti.


Di Australia, Nak Pukul Anak Pun Tak Boleh...

ISU TENTANG tuntutan hak asasi dan kebebasan sering kali diperdebatkan. Ramai yang merasakan diri mereka ditindas dan tidak berpuas hati dengan orang atasan.

Rakyat menyalahkan penguasa, pekerja menunding jari kepada majikan, anak marahkan ibu-bapa, namum hakikatnya sejauh manakah kebebasan boleh diberikan pada setiap individu?

Wujudkah kebebasan mutlak dalam dunia ini?

Baru-baru ini berlaku kekalutan yang agak dahsyat di Australia gara-gara tindakan mogok secara besar-besaran yang diterajui oleh pekerja-pekerja pos.

Surat-surat dan bungkusan terbengkalai, pembayaran pencen tidak dapat dibuat, bayangkan bertapa goyahnya negara ini disebabkan tindakan di luar jangka para pekerja pos ini.

Hakikatnya, mogok bukanlah sesuatu yang asing di Australia. Ia seolah-olah seperti satu budaya yang diterima pakai. Para tenaga pengajar di universiti juga sudah berkali-kali mogok dari mengajar.

Sebagai contoh, tahun ini sahaja sudah tiga kali para akademia University of Melbourne mendaulatkan tindakan yang dianggap satu hak ini.

Setiap kali mogok diadakan, para pensyarah meminta sokongan dari kesemua pelajar mereka, dengan tidak menghadiri sebarang kelas. Adakah ini satu tindakan yang adil?

Para pelajar telah membayar yuran, datang dari pelbagai pelusuk dunia, mengharapkan setitis ilmu dari cendekiawan, tetapi malangnya, mereka pula menjadi mangsa rasa ketidak puasan hati tenaga pengajar terhadap pihak pengurusan universiti.

Pada bulan Disember lalu, keseluruhan bandar di Brisbane lumpuh seharian, gara-gara tindakan mogok yang dilakukan oleh pemandu-pemandu bas.

Mogok ini dilakukan akibat dari sifat setiakawan rakan-rakan pemandu menyokong seorang pemandu yang tidak disambung perkhidmatannya.

Hanya disebabkan seorang, beribu orang mengalami kesulitan dan penderitaan.

Dua bulan lepas, pekerja perbandaran di sebuah bandar di luar Melbourne, juga melakukan tindakan yang sama, gara-gara sandwich. Pelik bukan? Mereka menggunakan mogok sebagai senjata untuk mempertahankan dua rakan mereka yang di buang kerja gara-gara menerima rasuah sandwich untuk menyegerakan menyelesaikan masalah lopakan jalan yang sudah lama berlarutan.

Bagaimana pula jika pihak berkuasa, seperti polis, mengambil pendekatan yang sama, mogok kerana menuntut kenaikan gaji, misalnya. Mungkinkah babak drama tikus akan bermahajarela apabila kucing diulit mimpi akan berlaku?

Keadaan tuntutan melampau pendokong hak asasi ini melarat pada musim panas yang sedang melanda Australia, di mana mereka menuntut dibuka sebuah lagi pantai bebas untuk tanpa pakaian (free naked beach).

Saya tidak dapat bayangkan di Victoria sahaja sudah ada tiga buah pantai berkonsep begini, berapa banyak yang mereka mahu?

Perlukah kerajaan tunduk kepada desakan yang sebegini? Kadang-kadang golongan yang lantang bersuara bukan semestinya golongan majoriti.

Jangan kerana desakan mereka, batas sosial diketepikan, agama diabaikan dan kebudayaan dikuburkan.

Bagi saya, kadang-kadang kebebasan yang diberikan agak melampau di sini, sehinggakan untuk memukul anak pun tidak dibenarkan apatah lagi jika menghalang apa jua kemahuan mereka selagi ia tidak memudaratkan mengikut Children Right Act.

Malah tidak cukup dengan itu, Kerajaan Australia memperuntukkan elaun khas yang diberikan setiap dua minggu untuk para remaja dan ibu-bapa tidak mempunyai hak langsung ke atas duit tersebut.

Bayangkanlah sendiri apa yang akan mereka belanjakan dari duit tersebut. Berapa ramai di antara mereka yang akan membelanjakan wang tersebut untuk membeli buku ataupun digunakan untuk yuran tuisyen?

Jika ada sekalipun mungkin hanya segelintir sahaja.

Maka tidak hairanlah peningkatan mendadak kes penglibatan remaja dalam alkohol, perjudian, dadah dan rokok.

Sewajarnya hak asasi bukanlah bermakna kebebasan mutlak, ada ketikanya ia perlu dihalang ataupun dikawal agar keharmonian boleh dijaga.

Konsep pembendungan perlu diterapkan dari mengubati kemusnahan yang pasti akan memakan masa dan belanja yang lebih banyak.

Janganlah atas nama kebebasan kita lupa hidup ini perlukan kepada peraturan.

Biarlah kita dianggap kolot, namum kehidupan kita bukanlah atas desakan melampau pihak-pihak tertentu, yang akan menjuruskan bangsa dan negara ke alam kehancuran.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI adalah Honorary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au

No comments: