Friday, November 20, 2009

Lagi Projek Mega Negara ?

Kerajaan kenal pasti tapak seluas 480 hektar untuk dimajukan di Sungkai
Malaysia jadi hab industri pertahanan

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Malaysia bakal menjadi pusat atau hab industri pertahanan bagi pasaran tempatan serta rantau ASEAN apabila kerajaan mengenal pasti tapak seluas 480 hektar di Sungkai, Perak untuk dimajukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, bagi tujuan itu syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi tinggi telah diminta mengorak langkah untuk mengadakan kerjasama dengan negara luar khususnya dari negara ASEAN.

Beliau berkata, antara produk-produk pertahanan yang berpotensi dikeluarkan di hab tersebut adalah peralatan berkaitan komunikasi, automotif, maritim, persenjataan serta barangan guna sama.

''Sudah sampai masanya kerjasama di kalangan negara ASEAN untuk kita keluarkan barangan dan peralatan di rantau ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembelian dari luar negara.

''Kerjasama ini akan dapat menguntungkan negara ASEAN dan pada masa sama pemain industri pertahanan negara dapat mempelajari teknologi luar dan dapat mengeluarkan produk barangan untuk kegunaan tempatan dan negara anggota," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) yang menyelar tindakan kerajaan kerana tidak menggunakan jaket kalis peluru yang dihasilkan oleh syarikat tempatan sebaliknya menggunakan jaket kalis peluru buatan China.

Ahmad Zahid ketika menjelas isu itu berkata, semua anggota tentera negara ini menggunakan jaket kalis peluru hasil buatan syarikat tempatan.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Saifuddin mengenai langkah diambil kerajaan untuk menjadikan negara sebagai hab pengeluaran kelengkapan pertahanan di rantau ini, Ahmad Zahid berkata, negara berkecimpung dalam industri pertahanan negara sejak 1970-an.

''Dari semasa ke semasa, kita berjaya meningkatkan keupayaan untuk terbabit dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan, penyelenggaraan, baik pulih, fabrikasi dan pemasangan komponen," katanya lagi.

Katanya, selaras dengan hasrat meningkatkan potensi industri pertahanan tempatan ke peringkat global, kementerian juga sentiasa membantu mempromosi dan menggalakkan perkembangan serta pembangunan keupayaan syarikat industri pertahanan negara.

Antara syarikat tempatan yang berpotensi menjayakan matlamat berkenaan termasuklah Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. dalam pembuatan komponen komposit, Airod Sdn. Bhd. (penyelenggaraan pesawat), SME Ordnance Sdn. Bhd. (pembuatan senjata dan bahan letupan) dan DRB Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. (pembuatan kenderaan tentera).

No comments: