Sunday, October 18, 2009

Perpaduan BN tidak tergugat ?

Perpaduan BN tidak tergugat



NAJIB, Rosmah bersama Muhyiddin dan Norainee serta beberapa menteri Kabinet dan pemimpin parti komponen memotong kek pada Rumah Terbuka Sambutan Deepavali di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR: Keadaan politik semasa dan masalah dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak mempengaruhi perpaduan yang wujud dalam BN, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, segala-galanya berjalan dengan baik dan perpaduan antara parti komponen BN sangat bagus ketika ini.

"Semuanya baik... cuma ada masalah dalaman sikit-sikit, ia (parti komponen terbabit) kena selesaikan dengan cepat," katanya selepas mengunjungi Rumah Terbuka Sambutan Deepavali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.


Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, menteri Kabinet dan pemimpin beberapa parti komponen BN.

Sementara itu, Muhyiddin yang ditemui selepas majlis itu berkata, semangat Umno selepas Perhimpunan Agungnya kelmarin diharapkan dapat diterjemahkan parti komponen lain dalam parti masing-masing.

Beliau berkata, apa yang Presiden Umno sebutkan dalam Perhimpunan Agung itu jelas dan nyata supaya ia terus disemarakkan di kalangan komponen parti.

"Tentunya dalam hal ini semua parti mewakili semua kaum, baik MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti lain dalam BN perlu laksanakan. Ia penting untuk memupuk perasaan menyegerakan sesuatu perkara atau 'sense of urgency' bagi meningkatkan lagi sokongan dan kepercayaan rakyat kepada BN," katanya.

Beliau berkata, semangat yang dizahirkan dalam perhimpunan itu bukan saja dapat dirasakan, tetapi perlu dihayati parti komponen lain.

Katanya, dengan cara itu, semua parti komponen dapat bekerja keras bagi mengukuhkan semula BN serta mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti.

"Dengan cara itu, insya-Allah, rakyat terus dapat memahami dan mendukung perjuangan BN dan mengembalikan kuasa semula kepada parti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata beliau gembira melihat semangat ditunjukkan Umno selepas perhimpunan itu kelmarin.

Katanya, ucapan disampaikan sangat bersemangat dan menyentuh hati rakyat, malah ucapan Perdana Menteri sangat mengagumkan serta memberi inspirasi kepada bukan saja ahli Umno, tetapi parti komponen lain.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata semangat yang ada dalam Umno selepas perhimpunan agungnya semalam akan dihayati parti berkenaan.


No comments: