Tuesday, October 27, 2009

Lima resolusi bakal diserah kepada sultan

KUANTAN: Sekretariat Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Pahang, yang terdiri daripada 14 pertubuhan akan menyerahkan lima resolusi ‘Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang’ kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan berkata, lima resolusi itu dipersetujui 14 NGO terbabit pada Seminar Perundangan Syariah, sebagai tanda sokongan kepada Sultan Pahang, selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

Resolusi pertama y:ang dicapai ialah, penguat kuasa Agama Islam dan Mahkamah Syariah perlu diberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mencegah dan menjatuhkan hukuman ke atas sebarang kesalahan jenayah Syariah yang dilakukan sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Syariah Negeri tanpa sebarang pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak.

Kedua, ahli politik Islam perlu memainkan peranan proaktif dalam menjamin dan memperjuangkan kedaulatan agama Islam dan Mahkamah Syariah, seterusnya memperjuangkan supaya bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat diperluaskan daripada aspek bentuk kesalahan jenayah Syariah yang dilakukan dan jumlah hukuman yang dikenakan.

Ketiga, pihak berkuasa negeri dan kerajaan perlu memberi tekanan kepada pihak media untuk menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam keseluruhannya.

Keempat, institusi Kehakiman Syariah dinaikkan taraf supaya setanding dan seiring dengan Institusi Kehakiman Mahkamah Sivil supaya ia tidak dilihat sebagai mahkamah kelas dua daripada sudut kepakaran dalam bidang pendakwaan, perjawatan dan jumlah kakitangan.

Sementara resolusi terakhir, pihak kerajaan perlu mewujudkan satu badan pemantau atau undang-undang yang mempunyai kuasa mengawasi pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan perjuangan pertubuhan berkenaan selari dengan prinsip Islam dan bukan bertujuan untuk mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi yang nyata bertentangan dengan Islam.

Menurut Amidi, NGO-NGO terbabit kini cuma menunggu perkenan Sultan Pahang untuk mereka menghadap dan menyerahkan resolusi berkenaan.

“Kami NGO-NGO Islam di negeri ini akan menyerahkan lima resolusi perundangan Syariah kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai mewakili rakyat Islam di negeri ini untuk menyatakan sokongan kami terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Seminar Perlaksanaan Perundangan Jenayah Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), di sini semalam.

Seminar satu hari itu dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan turut dihadiri kira-kira 300 peserta.

Beliau berkata, NGO-NGO Islam di seluruh negara ini akan meneruskan seminar seumpama ini bagi membolehkan orang ramai terutamanya orang bukan Islam faham perbezaan antara perlaksanaan hukuman Syariah dan Sivil.

Menurutnya, beberapa lokasi lain akan turut diadakan seminar sedemikian pada minggu depan iaitu di Shah Alam, Selangor, Kelantan dan Perak yang dianjurkan oleh NGO-NGO Islam di negeri-negeri itu.

No comments: