Friday, October 30, 2009

Ajakan buai lagu lama

Pemikiran lama yang menyempitkan daya intelek dan dungukan minda umat adalah sebahagian doktrin UMNO. Saban hari pemikiran kita diasak, bentuk pemikiran itu juga melalui bentuk tulisan-tulisan khasnya bermediumkan media-media berbahasa Melayu. Antaranya dengan ajakan-ajakan memundurkan pemikiran orang Melayu pembaca Melayu. Sementelahan di kalangan orang Melayu yang berfikiran terbuai lama dengan pemikiran sehala dan hidupnya yang juga sehala dan tidak kritis memberi ruang kepada orang untuk memanipulasi menindasnya samada secara sedar atau tidak sedar.

Halangan berkenaan diasak dari semua sudut, dan khasnya bagi orang yang berkuasa demi mengekalkan kekuasaan mereka akan mempergunakan apa saja cara bagi mengekalkan kedudukan dan keberadaannya, walaupun bangsa yang disendaldan disendatkan fikiran dan pemikiran itu adalah bangsanya sendiri.

Sikap jangan berfikiran jauh, fikir untuk masa ini sahaja dilatih sokmo-sokmo. Halangan itu termasuklah daripada sekecil ruang hingga sebesar ruang. Malah halangan itu, sampai ke dalam institusi -instusi keagamaan sekalipun samada namanya masjid, surau, madrasah jua. Pihak yang mempunyai kuasa juga mahu menyempitkan pemikiran rakyat dan menghalakan pemikiran biarlah hanya satu hala sahaja dan jangan berfikiran kritis. Dalam banyak perkara dan hal.

Seruan supaya jangan bercakap soal politik dalam masjid adalah lagu lama. Institusi masjid yang digambarkan suci itu, jangan dicemarkan dengan percakapan politik, walahal soal yang dicakap itu sendiri melibatkan hal ehwal mendaulatkan soal tuhan dan ketuhanan, bab agama yang dilembagakan.

Oleh itu sampai bila kita mahu dijumudkan dengan membiarkan itu boleh dan itu tidak boleh bagi diri kita. Yang sepatutnya kitalah yang membuat keputusan bagi diri kita. Maka zaman ini sepatutnya kitalah yang perlu mengatakan itu dan ini, janganlah kita diseret sokmo, hatta terbelenggu dan terbuai dengan ajakan sedemikian rupa.





Bebaskan masjid daripada unsur politik

SEBAGAI sebuah negara Islam membangun yang moden, Malaysia cukup dikenali dengan pembinaan masjid-masjid besar dari segi saiz, reka bentuk yang cantik dan unik serta kelengkapan dan peralatannya yang canggih.

Selain berfungsi sebagai tempat umat Islam tanpa mengira bangsa dan budaya mengerjakan ibadah terutamanya menunaikan sembahyang berjemaah, masjid juga menjadi tempat umat Islam menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan seperti ceramah, musyawarah, kelas pendidikan dan juga aktiviti keagamaan yang lain.

Namun begitu, kepelbagaian fahaman politik di kalangan umat Islam yang secara majoritinya berbangsa Melayu di negara ini dilihat telah mula membenihkan golongan yang fanatik, yang tanpa mengira tempat dan keadaan cuba melebarkan fahaman politiknya.

Golongan ini bergerak secara berselindung melalui ceramah-ceramah dan majlis-majlis di masjid-masjid terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang.

Persoalannya ialah mengapa perlu berpolitik di masjid? Mengapa perlu umat Islam terutamanya orang Melayu memperkatakan tentang politik di masjid? Mengapa perlu berparti di masjid? Mengapa masjid dijadikan medan untuk menjalankan 'dakwah' yang bersifat politik? Mengapa tidak masjid sebagai sebuah institusi yang suci dikecualikan dan 'dibebaskan' dari unsur-unsur politik seperti ini?

Penulis bukanlah cenderung kepada pihak pemerintah mahu pun pembangkang, cuma tidak mahu sikap 'politik tidak bertempat' ini ada di masjid. Kita mahu umat Islam tanpa mengira latar belakang fahaman politik dapat menjalankan ibadah dengan selesa dan aman.

Lupakan persengketaan politik bila bersama di masjid. Bila perkara ini berlaku barulah perpaduan kita sesama Islam dan bangsa Melayu khususnya dapat menjadi realiti, seterusnya dapat menandingi kemajuan bangsa-bangsa lain di negara ini dan juga di peringkat global.

Sebagai ingatan, kesucian institusi masjid hendaklah dipelihara oleh umat Islam sendiri. Adalah amat menyedihkan jika sikap dan ketaksuban kita kepada sesuatu fahaman politik akhirnya akan menjadikan institusi masjid tidak dihormati, juga tidak dapat berfungsi dengan sebenar-benarnya.

No comments: