Monday, May 25, 2009

Najib: Isu perak ikut landasan dan tidak berlandas undang2 ?

Antara landasan Lord Ester dengan landasan Aziz Bari serta lain-lain pakar perundangan perlembagaan negara adalah berbeda. Najib selaku PM yang cuba mengelirukan fahaman rakyat dan jangan 'disesatkan' mereka dengan istilah-istilah. Dari segi logiknya jika kaedah tidak betul itu namanya tipu, umpama anak-anak yang berlari mestilah dimulakan digaris permulaan yang sama dan hendaklah mengikut lorong masing-masing, ini kaedah memintas separuh jalan, walaupun pemenang dah orang nampak, semua orang kampung dah tahu, siapa yang ikut landasan dan siapa yang tidak ikut landasan.

Tidak usahlah memetik kata pujangga sini sana, mencari rujuk pandangan orang sana dan sini. Mana dia minda kelas pertama yang beliau sendiri bawa. Mana dia glokal yang diuja-ujakan kepada rakyat, ke mana cemerlang, gemilang, terbilang, mana dia Islam Hadhari, bertamadunkah berhukum dengan hukum mahkamah rayuan. Adilkah semua orang dah melihat macam tidak adil.

Tidakkah satu ketika dulu, kita berbangga kita merdeka mahu mengikut acuan negara kita, sekarang dalam berhukum ikut acuan siapa ? Maknanya cakap mestilah sama dengan apa yang dilakukan. Jika bersikap terbuka bubar sahaja DUN, itu adalah terbaik pilihan paling wajar, setidak-tidak persaan puashati dapat dipuaskan walaupun tidak mencapai 100% puashatinya.

Keputusan Mahkamah Rayuan diakui tepat

KUALA LUMPUR 24 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak diterima sebagai berada di landasan yang betul oleh pihak Queen's Counsel dari United Kingdom.

Kata Perdana Menteri, salah seorang ahli Queen's Counsel, Lord Lester yang diminta pandangan perundangan berhubung krisis di negeri itu berpendapat bahawa sistem kehakiman Malaysia berada di landasan yang betul.

"Pendapat oleh Mahkamah Rayuan itu dikongsi oleh pakar undang-undang peringkat antarabangsa seperti seorang Queen's Counsel bernama Lord Lester yang kita telah terima pendapat perundangannya.

"Kalau Queen's Counsel seperti Lord Lester boleh keluarkan pendapat kita berada di atas landasan yang betul seperti mana keputusan Mahkamah Rayuan, janganlah disalah-ertikan atau diberi pandangan negatif terhadap badan kehakiman negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di Puchong dekat sini hari ini.

Beliau mengulas reaksi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sesuatu yang mengecewakan dan memperlihatkan badan kehakiman negara hancur dan perlu diperbetulkan.

Malah Anwar menyifatkan penghakiman kemelut di Perak dibuat mengikut selera politik dan arahan.

Dalam pada itu, Najib menempelak sikap pembangkang di negara ini terutama dalam isu Perak yang menetapkan label kebebasan terhadap mahkamah di negara ini mengikut faedah yang diperoleh mereka.

"Kita tidak boleh mengambil sikap kalau keputusan itu memihak kepada kita, maka kita kata sistem kehakiman itu bebas.

"Tetapi kalau sistem kehakiman itu atau mahkamah mengambil keputusan yang sama dengan kehendak kerajaan, maka badan kehakiman itu pula dituduh sebagai mengikut telunjuk kerajaan, ini tidak adil," jelasnya.

Perdana Menteri juga mengkritik Anwar yang cuba memburukkan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan dengan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak sedangkan beliau sendiri pernah berusaha memujuk 31 Ahli Parlimen membentuk kerajaan pusat dalam kaedah sama.

Mengulas isu sama, Najib turut berharap krisis di Perak dimuktamadkan segera agar kerajaan dapat memulakan usaha yang lebih fokus untuk membantu membangunkan rakyat Perak.

Malah, beliau bersifat positif dengan berkata, pihak pembangkang masih berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan tetapi berharap ia dilakukan dengan pantas demi memastikan krisis di Perak diselesaikan segera.

"Kita harap ada penamat dari segi proses ini, saya difahamkan kemungkinan besar mereka (pembangkang) akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan, mereka ada hak buat rayuan.

"Kita terimalah apa keputusan mahkamah yang tertinggi sekali, dari segi kerajaan kita berharap ada penyudahnya atau 'finality' dalam proses ini agar kerajaan dapat berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.

Ditanya keperluan mengadakan sidang DUN di negeri itu bagi mencari penyelesaian lain, beliau berkata itu satu pilihan tetapi tidak semestinya kerajaan majoriti perlu mengambil tindakan demikian saja.

Mengenai cadangan DAP mahu mengadakan mogok lapar selama tiga hari di Perak bermula Selasa ini, Perdana Menteri berharap tiada pihak yang perlu berbuat demikian sedangkan langkah perundangan masih terbuka.

"Sepatutnya tidak berlaku perkara seperti itu, kita patut serah kepada proses Perlembagaan dan undang- undang negara, kita tengok proses undang-undang belum selesai," katanya.



No comments: