Hanya permainan politik
KLANG 17 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sehingga menyebabkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan sebagai permainan politik.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu satu keputusan politik yang tidak wajar dilakukan di saat semua pihak sepatutnya memberi tumpuan ke arah membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.
"Sekarang ini terlalu banyak sangat politiking dalam negara. Sedangkan pada masa sekarang ini, kita perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara di samping membela kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya yang tidak perlu sebenarnya, melainkan seseorang itu meninggal dunia maka ia perlu diganti tetapi peletakan jawatan ini merupakan keputusan politik.
"Rakyat umumnya tidak suka pilihan raya kecil yang sengaja diada-adakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-63 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng.
Najib diminta mengulas mengenai tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meletakkan jawatan ADUN Penanti berkuat kuasa semalam.
Mohammad Fairus memberi alasan, tindakan itu dilakukan bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan sekali gus memberi masa untuk bersama keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugas.
Ditanya sama ada tindakan itu bermakna wakil rakyat telah mengkhianati pengundi mereka, Najib berkata, terpulang kepada rakyat kerana mereka kini sudah cerdik dalam membuat keputusan.
Beliau juga menjelaskan, dalam isu itu bukan soal peluang Barisan Nasional (BN) boleh memenangi pilihan raya kecil tersebut atau sebaliknya, tetapi lebih penting lagi melihat prinsip pilihan raya mengikut Perlembagaan negara.
Katanya, peruntukan dalam Perlembagaan menyebut pilihan raya kecil diadakan apabila ADUN atau Ahli Parlimen meninggal dunia, diisytiharkan muflis dan terpaksa berhenti kerana tidak berkemampuan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.
"Tetapi sengaja berhenti adalah bercanggah dengan konsep demokrasi berparlimen atau seumpamanya kerana apabila menawarkan diri, anda patut komited bekerja sepanjang tempoh menjadi ADUN atau Ahli Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat," jelasnya.
Dalam pada itu, Najib enggan mengulas pertemuan beliau dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said selama sejam di Putrajaya semalam yang dipercayai berhubung kemelut politik di negeri tersebut.
Selasa lalu, 10 wakil rakyat BN Terengganu tidak menghadiri sidang DUN negeri itu setelah tiga daripadanya mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan mengancam nyawa mereka.
No comments:
Post a Comment