Pembersihan imej Najib adalah agenda utama media sekarang. Dan perjuangan Najib membela rakyat menjadi agenda utama kedua. Maknanya serampang dua mata sedang disusun oleh para penasihat PM bagi menjernihkan rakyat Malaysia. Tempoh masa 6 bulan adalah masa yang sesuai untuk melenyapkan kesangsian orang ramai terhadap nya.
Ini pula berita, yang dapat menjernihkan Najib. Pandangan orang lama atau veteran UMNO terhadap harapan kepimpinan dn masa depan negara.
Ku Li harap Kabinet baru berkesan
GUA MUSANG 10 April - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata hari ini, barisan Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, perubahan adalah perlu bagi memastikan kemerosotan sokongan rakyat tidak berterusan.
Ini, katanya, dibuktikan dengan keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, BN hanya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air (Sarawak), manakala kerusi DUN Bukit Selambau (Kedah) dan Parlimen Bukit Gantang (Perak) dimenangi pembangkang.
"Sebelum ini rakyat lihat barisan kepimpinan negara tidak begitu kemas dan teratur, menyebabkan timbul kekeliruan terhadap rakyat terutama dalam bidang politik dan ekonomi negara kita.
"Kita akan tengok perkembangan kemajuan dalam Kabinet baru kerajaan yang dibentuk itu dan saya benar-benar mengharapkan barisan kepimpinan baru mampu memberi nafas lega kepada rakyat untuk menikmati kemajuan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 2 (SMKTIP 2), di sini hari ini.
Katanya, barisan Kabinet ini perlu mampu mengembalikan kekuatan ekonomi negara supaya rakyat tidak dibebani dengan masalah perbelanjaan walaupun negara turut berdepan kegawatan ekonomi global.
Katanya, pimpinan baru kerajaan perlu diberi peluang untuk melakukan pembaharuan untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada BN.
Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan pernah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti yang lalu, namun beliau hanya menerima satu pencalonan dari kawasan Gua Musang dan tidak melayakkan diri untuk bertanding. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment