Justeru kita saksi dan nantikan apa reaksi kerajaan dan tindakan mereka selepas NIEI menghantar mesej ini. nantikan realisasi cakap Najib kerana DUN Perak bakal terbubar sedikit masa lagi, bagaimana latah UMNO BN dan latah Najib. Apa pendekatan dan kaedah Najib BN yang akan diambil, selesaikah kemelut politik di Perak.
PETALING JAYA: Setelah tiga pilihan raya kecil diadakan serentak pada Selasa lalu, badan pemantau dari National Institute for Electoral Integrity (NIEI) mendapati wujudnya beberapa proses yang tidak telus hingga mencemarkan perjalanan pilihan raya yang demokratik.
Pengarah Eksekutif NIEI, Amin Iskandar berkata pihaknya menuntut agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.
"NIEI mempersoal tujuan hari mengundi dibuat pada hari kerja iaitu pada hari Selasa 7 April yang lalu.
"Keputusan SPR untuk meletakkan hari mengundi pada hari bekerja telah menyusahkan para pengundi terutamanya yang bekerja di luar daerah atau negeri untuk hadir pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu beliau berkata tindakan SPR itu dilihat sebagai tidak menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi.
Jelas beliau lagi kebiasaannya, badan penggendali pilihanraya seperti SPR akan berusaha keras untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi tetapi ini tidak berlaku untuk pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.
Dalam kenyataan itu juga NIEI mempersoalkan mengenai tindakan SPR yang tidak mengira undi di pusat pembuangan undi di beberapa kawasan Batang Ai terlebih dahulu sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi seperti yang dilakukan di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.
"Alasan untuk mempercepat proses pengiraan tidak dapat diterima akal kerana pilihanraya di dua bukit ini melibatkan jumlah undi yang besar dan keputusan masih dapat diumumkan tepat pada masanya.
"Keengganan SPR membenarkan wakil-wakil calon ikut serta menaiki helikopter menimbulkan keraguan tentang ketelusan dan keabsahan pilihanraya tersebut," katanya.
Selain itu juga NIEI turut mendakwa pihak polis yang ditugaskan mengawal keadaan keselamatan sepanjang proses pilihan raya diadakan mengamalkan sikap berat sebelah.
"Misalnya pihak polis lambat bertindak untuk menyelesaikan bantahan atau laporan pihak Pakatan Rakyat manakala dengan cepatnya bertindak menyelesaikan kes-kes yang berkaitan dengan kepentingan Barisan Nasional (BN).
"Biarpun Ketua Polis Negara mengeluarkan larangan berkonvoi motosikal, namun dalam kempen BN tetap berbuat demikian, malah diringi oleh pasukan polis," katanya.
Dalam pada itu NIEI turut menegur penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan kempen untuk calon BN.
Menurutnya BN dan Pakatan Rakyat perlu telus dan tidak boleh menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
"Kerajaan adalah milik awam yang digerakkan kakitangan awam untuk kepentingan awam atas biaya wang awam, bukannya kepentingan parti yang memerintah.
"Kementerian dan jabatan awam telah digunakan untuk berkempen, contohnya, dalam kempen bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad kemudahan, kakitangan dan jentera beberapa kementerian serta jabatan awam dikerahkan sepenuhnya untuk membantu kempen BN", katanya.
Selain itu NIEI turut mendakwa media arus perdana tidak memberikan laporan yang telus dan seimbang bagi semua parti-parti yang bertanding.
No comments:
Post a Comment