Stail ugut dan gertak Najib adakah serupa dengan stail dan ugut mentornya. Jika zaman Dr M mentor PM Najib memang berkesan dan memberi kesan sehinggakan media tidak berani melaporkan secara terbuka apa yang terbuku di dalam hati-hati pimpinan UMNo dan kerabat BN. Tetapi era itu kini sudah berakhir.
Selepas isu MCA tuntutan kerusi TPM II, kini giliran MIC yang dilaporkan tidak berpuashati dengan agihan dan penyusunan kabinet terbaru Najib yang tidak menggambarkan komposisi kaum etnik yang diwakili. Setidak-tidaknya dari segi bandingan Kabinet Pak Lah terdahulu itu, tidak dipertikaikan oleh kalangan anggota kerabat BN,setidak-tidaknya Pak Lah lebih berjaya daripada Najib. Walaupun kebanyakan orang kata Najib hebat, tetapi lemah berbanding dengan Pak Lah dalam hal ini.
................................................
Usah pertikai Kabinet: TPM
MUHYIDDIN pertama kali secara rasmi memasuki pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, semalam. |
Parti komponen BN diminta tidak buat kenyataan terbuka
KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak membuat kenyataan terbuka berhubung isu pelantikan wakil masing-masing dalam barisan Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemimpin komponen BN seharusnya menghormati hak Perdana Menteri dalam menentukan barisan Kabinet dan memberi peluang kepada jemaah menteri baru menjalankan tugas.
"Kalau ada apa-apa perkara yang tidak disenangi, eloklah berjumpa dengan Perdana Menteri sendiri, tak perlu buat kenyataan di luar dan tak perlu tunggu sehingga mesyuarat BN.
"Kalau pembangkang yang kata tidak apa. Ini dalam BN sedangkan atas semangat BN kita berpegang kepada dasar prerogatif Perdana Menteri. Jadi kita harus terima (barisan Kabinet), malah sudah angkat sumpah pun," katanya selepas majlis serah tugas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru, Datuk Mustapa Mohamed.
Jumaat lalu, berapa laporan menyebut MIC mungkin keluar daripada BN kerana tidak puas hati selepas parti itu tidak diberikan portfolio Kerjaraya dalam Kabinet baru yang diumumkan Najib, sehari sebelum itu.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, dalam kenyataannya semalam pula berkata, isu berhubung pelantikan wakil parti itu dalam Kabinet dan dakwaan kononnya MIC akan meninggalkan BN akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Khamis ini.
"Kita akan mendengar pandangan semua pemimpin sebelum membuat keputusan. Saya juga akan cuba mendapatkan temu janji bersama Perdana Menteri. Tidak timbul soal sedih kerana pelantikan Kabinet adalah keputusan Perdana Menteri.
"Saya fikir pada masa depan Perdana Menteri akan mempertimbangkan untuk mengkhususkan satu portfolio kanan dalam Kabinet kepada MIC," katanya.
Samy Vellu menafikan kononnya MIC cuba melobi jawatan Senator untuk beliau supaya boleh dilantik ke dalam Kabinet.
"Laporan ini sungguh tidak wajar dan mengarut," katanya sambil merujuk portal berita yang mendakwa MIC hendak menarik keluar wakil parti itu daripada Kabinet kerana beliau tidak dilantik sebagai menteri.
Katanya, beliau juga akan mendapatkan nasihat peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis dan portal berita terbabit.
Di ALOR GAJAH, Melaka, Setiausaha Agung MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengakui parti itu kecewa kerana tidak diberi sebarang tambahan jawatan dalam Kabinet, sedangkan Gerakan mendapat tambahan satu menteri, manakala MCA satu timbalan menteri.
MCA kini mempunyai empat menteri dan tujuh timbalan menteri, manakala Gerakan satu menteri dan dua timbalan menteri.
MIC pula kekal dengan satu menteri, iaitu menerusi Subramaniam (Sumber Manusia) dan dua timbalan menteri � Datuk SK Devamany (Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk M Saravanan (Wilayah Persekutuan).
Subramaniam berharap lebih ramai wakil MIC diberi peluang menyandang jawatan dalam kerajaan supaya parti itu terus relevan dan menjadi suara masyarakat India.
Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas mengenai perkembangan proses pengukuhan BN, berkata semua parti komponen diberi peluang untuk mengukuhkan struktur masing-masing.
"Masing-masing kena ada perancangan bagaimana parti akan dikuatkan dengan mengambil kira pandangan masyarakat dan pimpinan dalam parti.
"Keadaan kini masih pada peringkat awal, kita baru selesai pilihan raya umum dan baru bentuk kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri baru, jadi mungkin beliau memerlukan masa kerana hal sebegini biasanya tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat.
"Saya sudah katakan sebelum ini bagi Umno dan BN, tahun ini dan tahun depan adalah tempoh amat mencabar, kita mulakan segala proses penambahbaikan, pembaharuan serta transformasi yang hendak kita jalankan dan saya kira sudah pun dimulakan tetapi momentumnya belum lagi dilihat," katanya.
Mengenai kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, bahawa Menteri Besar lebih sesuai dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Muhyiddin berkata:
"Kalau ikut sejarah kadang-kadang begitu, kadang-kadang tidak. Ini akan diputuskan Presiden Umno sendiri, mungkin beliau akan umumkan bila mesyuarat Majlis Tertinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment