Dasar baru adil semua kaum.... Inilah Najib Razak. Seorang pemimpin yang bergelombang dengan pelbagai rona-rona hidup tetapi dengan rakyat dia 'sentiasa' menjanjikan dengan janji-janji yang lunak sehinggakan orang semua tergoda.
Tetapi jangan lupa dengan 'kelicikan Najib' walaupun dia baik kepada rakyat selagi duduk dalam 'kapal' bernama UMNO payahlah nak menjadi. Justeru kita kena membaca jauh bacaan politik kita, kekalnya kita dnegan UMNO sebagai pemerintah senior di Malaysia semakin membobrokkan negara.
|
|
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan segala dasar baru dan yang sedang dilaksanakan adalah adil dan saksama kepada semua kaum.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan terus berpegang kepada teras dasar berkenaan iaitu untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan permasalahan setiap kaum yang ada di negara ini.
‘‘Apa jua nama dasar yang kita perkenalkan sama ada Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara dan Misi Nasional yang kita sedang perjuangkan pada hari ini, ia mesti merupakan dasar yang adil dan saksama kepada setiap kaum dalam negara kita.
‘‘Untuk menjadikan kita kerajaan yang berteraskan kepada kepentingan rakyat dan berdiri di atas rakyat, maka kita mesti mengenal pasti permasalahan setiap kaum dan menyelesaikannya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2008 di Brickfields yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis yang bertemakan Perpaduan Melalui Perayaan ialah Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Menyedari setiap kaum mempunyai permasalahan tertentu yang unik, kata Najib, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khusus bagi menyelesaikan perkara itu termasuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Kaum India yang dipengerusikan oleh beliau.
‘‘Antara tumpuan jawatankuasa ini adalah untuk memperluaskan pegangan ekuiti kaum India dalam ekonomi, menukar secara berperingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil daripada bantuan modal kepada bantuan penuh, memberi latihan kemahiran kepada belia dan memperluaskan skim mikro kredit kepada peniaga kecil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, masa depan negara akan lebih terjamin dan terbela sekiranya struktur permuafakatan antara kaum yang wujud sejak merdeka dikekalkan.
Sejak awal-awal lagi, ujarnya, kerajaan percaya bahawa permuafakatan adalah formula terbaik untuk membina negara yang mendapat sokongan utuh daripada rakyat berbilang bangsa.
‘‘Kita boleh memilih jalan lain tetapi pemimpin yang merupakan pengasas kepada negara kita telah memilih jalan untuk bekerjasama di antara kaum. Inilah ramuan dan struktur yang perlu terus dipertahankan pemimpin pewaris yang ada pada masa ini,’’ katanya.
Tambah beliau, kebudayaan yang menjadi manifestasi kepercayaan dan nilai sesuatu kaum jika dipertahankan boleh menjadi wadah dan alat untuk perpaduan yang lebih utuh.
‘‘Kita boleh melihat orang India dengan tariannya, begitu juga orang Melayu dan Cina dengan tarian masing-masing.
‘‘Jika kita dapat menekankan nilai-nilai dan kepercayaan di sebaliknya persembahan kebudayaan ini maka kita boleh mewujudkan perpaduan nasional yang lebih jitu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment