Thursday, November 27, 2008

Kehidupan Rakyat Marhein ?

'Ikan rakyat biasa' mahal.... Ini adalah tajuk berita dalam Harian Kosmo. Sepatutnya hal ini kita 'jengak kemuka' Dato Tajuddin Rahman MP Pasir Salak. Ini kerana dalam persidangan Dewan yang lalu Tajuddin dengan megah 'memperlekehkan' Dr Zulkifli MP PAS yang cuba membawa isu rakyat dengan meminta menteri-menteri pergi sendiri turun dan makan sepinggan nasi atau isi minyak guna duit kocek sendiri bagi merrasai keperitan dan kejerihan kehidupan rakyat.


IKAN kembung yang dijual RM9 sekilogram di Pasar Pudu, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sudahlah kalangan peniaga begitu liat menururnkan harga barangan walaupun harga minyak telah lima kali turun, perangai yang sama juga 'dicontohi' peniaga ikan.

Malah tinjauan Kosmo! mendapati harga ikan-ikan tertentu terutama yang membabitkan 'ikan-ikan yang dimakan rakyat biasa'seperti cencaru, selar dan kembung melambung harganya.

Jika dahulu alasan yang diberikan kerana harga minyak naik, namun kini mereka mencari alasan lain pula termasuk faktor bulan mengambang menyebabkan tangkapan berkurangan.

Bukan mahu menakutkan mana-mana pihak, namun itu realitinya. Tinjauan di beberapa pasar utama di seluruh negara mendapati rata-rata ikan mengalami kenaikan harga dan sesetengahnya sehingga 50 peratus.

Malah jangan harap pelanggan akan membeli ikan kembung berharga RM6 sekilogram seperti yang dapat dinikmati setahun lalu sebaliknya kini telah melambung sehingga RM12 sekilogram.

Peniaga ikan menuding jari kepada pemborong kerana didakwa meletakkan harga yang tinggi manakala pemborong pula menyalahkan pembekal.

Pembekal pula menyalahkan nelayan dan nelayan mendakwa faktor bulan mengambang punca bekalan semakin susut sejak kebelakangan ini.

Apa pun, kenaikan harga ikan ini didakwa terburuk berlaku sepanjang 10 tahun kebelakangan ini dan akibatnya permintaan terhadapnya semakin menurun mendadak termasuk di kalangan peniaga kedai makan.




Di Lembah Klang, tinjauan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur mendapati, rata-rata peniaga mendakwa keengganan pemborong menurunkan harga menjadi punca dan mereka sendiri hairan dengan apa yang berlaku.

Antara jenis ikan yang menunjukkan kenaikan mendadak ialah seperti kembung, tenggiri dan kerisi sehingga memaksa peniaga menjualnya dalam kuantiti sedikit bagi mengelak kerugian.

Di Pasar Borong Selangor dekat Seri Kembangan pula, harga ikan didapati mula naik melambung sehingga 50 peratus sejak minggu lepas dan ia diakui sendiri oleh para peniaga.

Rata-rata peniaga mendakwa, kenaikan harga ikan tidak dapat dielakkan terutama bagi ikan kecil yang dahulu dijual rendah seperti selayang, selar dan cencaru.

Di Kuantan pula, harga ikan di negeri ini juga naik mendadak sehingga 20 peratus lebih tinggi bermula kelmarin berikutan kesan musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.

Antara jenis ikan yang mengalami peningkatan harga termasuklah kerisi, kembung, cencaru, selar, gelama, selayang dan tenggiri.

Rata-rata peniaga ditemui mendakwa, kenaikan harga tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan harga bahan api.

Malah tindakan peniaga yang terus memborong ikan dari negeri di Pantai Timur juga tidak dapat keuntungan besar kerana jumlah tangkapan yang semakin menurun dan dikaitkan dengan bulan mengambang dan air naik.

No comments: