Monday, November 10, 2008

Dr M kata bekas hakim-hakim dulu dipecat ?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa tiga hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 1988 telah dipecat, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz menyatakan mereka diminta meletak jawatan.

"Setahu saya, mereka dipecat," katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas isu itu, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Bernama melaporkan, Mahathir bagaimanapun berkata, bekas-bekas hakim itu tetap menerima pencen atas dasar ihsan, termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

"Sekalipun beliau dipecat, beliau telah memberikan khidmat kepada kerajaan dalam beberapa tahun beliau di situ. Untuk memisahkan beliau sepenuhnya dari pencen adalah amat zalim, jadi diputuskan beliau dan hakim-hakim lain diberikan pencen mereka," kata Mahathir.

Khamis lepas, pada sesi parlimen Nazri berkata tidak pernah keluar perintah daripada tribunal berkenaan supaya memecat hakim-hakim itu, dan pada sidang akhbar selepas itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa hakim-hakim itu telah diminta meletak jawatan.

Tun Salleh Abas, allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal berkenaan mendapati mereka bersalah atas salah laku dalam krisis kehakiman 1988, sementara tiga hakim lain Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh digantung tugas tetapi kemudian dikembalikan ke jawatan mereka.

Mahathir enggan mengulas bila ditanya sama ada jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim itu mencukupi, dan berkata itu harus ditanyakan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim.

Mahathir berkata kerajaan sepatutnya membayar pampasan kepada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dato' Dr Abdul Aziz Muhamad yang telah dibebaskan dari tuduhan bersubahat dalam kes jenayah pecah aman dan menipu melibatkan RM9 juta Selasa lepas.

Mahathir, yang merupakan Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana sebelum itu melancarkan triathlon amal oleh perenang termuda jarak jauh negara, Salman Ali Shariati Abdul Halim, serta menyampaikan ucaptama dalam forum "Nilai Belia dan Kepimpinan Masa Depan" selepas pelancaran itu. - mks. _

No comments: