Friday, October 10, 2008

Najib PM hebat kata

Najib bakal PM: "Impian Anwar tumbangkan BN makin sukar" kata Penganalisis

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam mengumumkan beliau tidak akan mempertahan jawatan presiden Umno dan akan melepaskan jawatan perdana menteri pada Mac tahun depan.

Beliau mengumumkan keputusan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Menurut Datuk Seri Abdullah, beliau akan melepaskan jawatan perdana menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas perhimpunan agung Umno pada Mac depan.

Secara tradisi, presiden Umno menjadi perdana menteri dan pengerusi BN, parti campuran yang memerintah Malaysia.

Ini bermakna peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib yang sebelum ini ditetapkan pada Jun 2010 akan berlangsung setahun lebih awal.

'Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu saya tidak akan mempertahan jawatan presiden Umno dalam perhimpunan agung akan datang,' kata Datuk Seri Abdullah dalam satu sidang akhbar.

Datuk Seri Abdullah, 68 tahun, berkata beliau memutuskan untuk meletak jawatan kerana tidak mahu melihat Umno berpecah belah.

'Saya tidak mahu melihat Umno dan Barisan Nasional berpecah belah.

'Umno dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara maju, yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua,' tambahnya.

Menjelang peletakan jawatannya, Datuk Seri Abdullah berikrar akan memperkukuh sistem kehakiman melalui penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, dan menangani masalah rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang bidang kuasanya lebih besar daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ada sekarang.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata beliau gembira kerana sangkaan beliau bahawa Datuk Seri Abdullah tidak akan melepas jawatan ternyata silap.

'Saya gembira kerana Umno sebagai sebuah parti dapat dibangun semula,' kata beliau kepada pemberita.

Sementara itu, para penganalisis berkata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menghadapi kesukaran menumbangkan kerajaan BN jika Datuk Seri Najib menjadi perdana menteri.

'Sebaik saja Najib mengambil alih, semakin tipis kemungkinan (anggota parlimen BN) akan melompat parti.

'Anwar tahu Najib orangnya tegas,' kata seorang penganalisis, Mohamad Mustafa Ishak.

'Anwar besar kemungkinan tidak dapat menumbangkan kerajaan BN melalui lompat parti tetapi ancaman pembangkang masih wujud,' kata seorang pensyarah sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Lim Hong Hai. / Agensi


Anwar tahu Najib orangnya tegas

No comments: