Monday, July 21, 2008

Memegang saham dalam meruntuhkan “Kepimpinan Ulamak”

Memegang saham dalam meruntuhkan “Kepimpinan Ulamak”

Malam tadi saya terpaksa melayani seorang kawan dan ahli PAS (arwah bapanya bekas pimpinan PAS zaman Asri) yang bertanyakan berkenaan isu muzakarah Umno-PAS. Perbincangan kami tertumpu pada suatu artikel yang beliau pungut kononnya sebagai sumber sohih. Maklumlah penulis artikel itu menggelar dirinya “Ahli PAS dalaman”.

Saya dapati artikel itu: “Pendedahan dalang-dalang yang hendak membawa PAS masuk BN” bertenggek pada blog “Malaysia Waves” kepunyaan “Tulang Besi”.

Dulu kalau kita berkunjung ke laman blog ini pemiliknya menempelkan gambarnya untuk dikenali oleh pengunjung tetapi hari ini atas sebab yang hanya beliau sahaja tahu tiada lagi gambar atau identitinya dalam blog berkenaan. Tak mengapalah saya pun bukan berapa berminat untuk mendedahkannya cuma tertarik juga membaca artikel Sinar Harian hari ini yang kebetulan menyerang sikap Dewan Ulamak PAS Pusat yang saya kira bagi yang berminat bolehlah mengenali identiti pemilik blog ini yang menulis artikel itu.

Saya membariskan beliau setaraf dengan seorang lagi blogger yang memang tersohor dan licik dengan kisah “half truth” dan fitnahnya mungkin setanding dengan “spin doctors” pra PRU12 dahulu.

Tapi tak mengapalah, apa sahaja yang kita tulis Allah sahaja yang tahu niat dan kebenarannya.

Seorang pencuri kalau ditangkap pun tidak akan mengaku dia mencuri. Kecualilah pencuri angsa raja di zaman Abu Nawas yang meraba-raba kepalanya apabila berhimpun di hadapan raja dengan rakyat jelata negara itu. Kata Abu Nawas dalam ramai-ramai yang berhimpun ini aku tahu siapa yang mencuri angsa raja, kata beliau lagi, yang mencuri angsa raja pada kepalanya tersangkut bulu dari angsa itu.

Lalu pencuri yang terpedaya dengan muslihat Abu Nawas itu telah meraba-raba kepalanya menyangkakan ada bulu angsa tersangkut di situ, beliaulah seorang sahaja yang meraba-raba kepala sedangkan orang lain tidak.

Sesungguhnya penulisan-penulisan ini menyerang pimpinan kanan PAS yang kebanyakkannya bertaraf ulamak, malah kalau tak ulamak sekalipun, adakah kita diberi lesen untuk menghina dan mengaibkan mereka walaupun kita panggil diri kita “Ahli dalaman PAS” atau Ahlul Bait atau apa sahaja.

Sedarkah kita maklumat yang kita bawa itu benar atau fitnah? Sedarkah kita bahawa pimpinan yang kita serang itu adalah pimpinan yang ratusan ribu ahli Pas kenal dan faham budi dan akhlak mereka. Kita yang tidur malam bertemankan air liur basi dan dengkoran hodoh boleh mengadu-domba pemimpin yang menghabiskan tengah malamnya bertahajud dan beribadat malam!

Sedarkah kita pemimpin yang kita serang bukan sekadar menjelajah pelusuk negara berceramah politik tetapi mereka mengangkut al Quran, Hadis dan kita-kitab besar, mengajar dan memberikan ilmu dari masjid ke masjid, surau ke surau dan pusat tarbiyah ke pusat tarbiyah, sedangkan kaki kita terhenjut-henjut asyik mendengar lagu-lagu “underground” yang kita dakwa baik dan comel lirik-liriknya!

Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa tetapi saya tidak akan mendiamkan diri jika dengan sewenang-wenangnya pemimpin-pemimpin yang “tested” dalam jemaah diserang dan dihina seolah penulis-penulis yang menyerangnya itu jauh lebih mursyid, maksum, baik dan sempurna.

Kebetulan semasa saya menulis posting ini sebuah kitab karangan Dr al Syed Muhammad Noh bertajuk “afat ala Tariq” atau “Wabak Sepanjang Jalan” terbitan Dewan Ulamak PAS Kedah (yang pengerusi panel penterjemahnya dahulu adalah kini YAB Ustaz Azizan Abd Razak) berada di sisi saya, sebuah kitab yang sering menjadi bahan bacaan dan teks usrah PAS (bagi mereka yang melalui terbiyah PAS).

Janganlah kita jadi al Isti’jal, al I’jab bil Nafsi, al Ghurur dan al Takabbur sehingga memegang saham dalam menimbulkan syak-wasangka, adu-domba sehingga meruntuhkan “Kepimpinan Ulamak” yang dibina dan diberi penegasan oleh jemaah sejak lebih 26 tahun lalu

No comments: