Wednesday, June 18, 2008

Pendapat yang tidak praktikal

Kerap baca blog tidak semestinya undi pembangkang.... Inilah ulasan Prof UITM, tentang kesan internet yang memberi impak ke atas politik negara. Walaupun dapatan ini sebagai satu hujah asasi yang kukuh, dengan menafikan 'terus' peranan internet dalam membahanakan BN .

Penafian ini adalah sebagai satu usaha sulit 'mahu memadamkan' teruja rakyat dengan manipulasi penulis blog mengatasi media arus perdana. Edaran media cetak yang semakin menguncup. Peningkatan mendadak penggunaan internet. Urusniaga LowYatt di Bukit Bintang adalah hasil pememerhatian dan kajian rambang penulis tentang.


KUALA LUMPUR: Laman web dan blog di internet hanya media pilihan keempat pengundi sebagai sumber maklumat pada pilihan raya 2008 selepas televisyen, akhbar dan ceramah politik.

Dapatan daripada kajian bertajuk "Peranan dan Pengaruh Internet dan Kewartawanan Blogger Terhadap Pengundi Semasa Pilihan Raya Umum Malaysia 2008" turut menunjukkan meskipun 80 peratus responden tahu mengenai blog, ia lebih digemari dan diterima oleh golongan kelas pertengahan dan bawah.

Kajian yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz, Dr. Rahmat Ghazali dan Dr. Abd Rasid Abd Rahman dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM itu turut mendapati tiada data kukuh yang dapat menjuruskan bahawa kekerapan melayari blog menentukan kecenderungan mengundi pembangkang.

"Setelah dibuat silang perbandingan, kami mendapati tiada bukti statistik yang kukuh yang dapat menyokong bahawa kandungan internet telah mempengaruhi pengundi untuk mengundi pembangkang.

"Ramai responden yang hanya memilih televisyen dan akhbar arus perdana sebagai sumber maklumat turut memilih pembangkang begitu juga pembaca blog yang mengundi parti pemerintah," kata Dr. Baharuddin.

Kajian sebulan itu turut mendapati banner, poster, bendera dan risalah telah memainkan peranan dan pengaruh yang berkesan terhadap pengundi memilih pembangkang.

Klip video V.K Lingam pencetus utama

Kajian yang dilakukan ke atas 1,100 pengundi dari empat zon iaitu zon utara (28 peratus), Selatan (22 peratus), Pantai Timur (19 peratus) dan Tengah (31 peratus) ini menggunakan kaedah persampelan kelompok berlapis.

Ia mendapati isu dan komen yang timbul dalam blog mulai September 2007 telah mampu membentuk dan mengacuankan minda pengundi kepada pembangkang.

"Isu yang dibangkitkan blogger mulai September 2007, bermula dengan kes klip video V.K Lingam yang memaparkan perbualan antara peguam terkemuka dengan seorang yang dikatakan Hakim Kanan mengenai urusan pelantikan hakim adalah titik perubahan yang menyebabkan pengundi menjauhi parti pemerintah dan mula cenderung kepada pembangkang," kata Dr. Baharuddin.

Internet dan blog telah muncul sebagai jendela kepada kelainan iaitu wadah kepada kandungan yang berbeza daripada apa yang disajikan oleh media arus perdana, katanya.

Pembaca memilih blog kerana mereka inginkan kelainan serta mengukuhkan persepsi mereka. Tiga puluh lapan peratus responden berpuas hati membaca blog kerana isu yang dikupas berbeza dengan media aliran perdana.

"Bila menteri dan ahli politik turut sama dalam fenomena ini bererti mereka mengakui pengaruh blog dan kewartawanan online, justeru mendedahkan pembaca dengan pandangan yang seimbang.

"Pihak berkuasa tidak perlu over react. Tambahan pula, kebanyakan penulisan yang diterbitkan dalam blog tidak perlu dilihat dengan begitu serius tetapi komen yang diberikan perlu dilihat sebagai maklum balas yang positif," kata Dr. Baharuddin.

Hampir separuh responden baca blog di pejabat

Kerja lapangan untuk kajian dijalankan pada hari pembuangan undi dengan taburan responden sebanyak 57 peratus lelaki dan 43 peratus wanita. Enam puluh enam peratus responden berusia bawah 40 tahun.

Antara dapatan menarik ialah blog adalah corak yang memusat kepada kawasan bandar dan berpengaruh kepada golongan muda berusia bawah 35 tahun serta hampir separuh responden iaitu 41.3 peratus melayari blog di pejabat dan 31.7 peratus di rumah.

Empat puluh empat peratus menjawab mereka melayari laman blog sebanyak dua atau tiga kali sehari dan 33 peratus responden langsung tidak pernah melayari laman blog.

Apabila ditanya adakah isu yang diketengahkan blog mempengaruhi pemilihan calon, 55.2 peratus responden menjawab "ya" dan 41.8 peratus "tidak".

Antara isu dalam laman blog yang menjadi pilihan responden ialah kenaikan harga petrol dan barang keperluan, video klip V.K Lingam, isu badan kehakiman, isu Bersih dan rasuah.

Manakala taburan peratusan parti yang diundi oleh responden ialah 48.6 peratus mengundi pembangkang dan 41.1 peratus responden mengundi Barisan Nasional.

Hampir 36 peratus pembaca blog percaya sikit-sikit kepada kandungan laman blog, 16.4 peratus percaya hampir semua, 2.8 peratus percaya semua dan 4.9 peratus tidak percaya langsung.

Antara laman blog dan web yang menjadi pilihan responden ialah Malaysiakini.com, Suara Keadilan, Suruhanjaya Pilihan raya, Harakah Online, Berita Harian online, Youtube, Utusan Malaysia online, Malaysia Today, The Star online dan agensiagensi berita.

Cabaran pilihan raya akan datang

Ketika ditanya cabaran pilihan raya akan datang, Dr. Baharuddin berkata perangsaraf media digital dan kecederungan golongan muda perlu diberi perhatian serius, apatah lagi dengan 1.8 juta pengundi baru layak mengundi pada tahun 2012/2013.

TV Mudah alih (Mobile TV) dan rangkaian telefon bimbit akan turut memainkan peranan besar.

"Kita tidak dapat menidakkan jurang digital masih lagi wujud di negara kita namun pengaruh media baru tidak dapat kita sanggah. Semasa pilihan raya kecil di Ijok (Selangor) dan Machap (Melaka), bloggers sudah ada, tetapi kenapa impaknya tidak begitu kelihatan tetapi keadaan sebaliknya pula berlaku ketika pilihan raya 2008", katanya.

Parti pemerintah kali ini dikejutkan ketika pilihan raya kerana terdapat pelbagai isu yang ditangani dengan lemah.

"Contohnya, pada 13 Februari lepas bukan sahaja berita mengenai pembubaran parlimen malah pada hari yang sama juga muka surat depan kebanyakan akhbar memaparkan berita mengenai krisis badan kehakiman," katanya.

Pengurusan isu sangat penting kerana pendekatan yang lemah inilah yang membuatkan pengundi bercelaru dan beralih kepada blog untuk penjelasan lanjut.

Dan memetik katakata salah seorang pembentang kajian ini, Dr Rahmat Ghazali, yang menekankan apabila terdapat terlalu banyak blog yang mendorong sifat anarki tidak mustahil jika kita melahirkan masyarakat yang anarkis. Fikirkan !. BERNAMA

No comments: