Thursday, June 12, 2008

Bukan Eropah saja panik Malaysia juga !!!

Eropah panik kerana minyak

Mogok jejaskan bekalan makanan, pesawat kehabisan bahan bakar


POLIS ini mengawal pemandu-pemandu trak yang melancarkan mogok di lintasan Jonquera sempadan Sepanyol-Perancis semalam.


LONJAKAN harga petrol dan diesel di seluruh dunia mencetuskan mogok serta tunjuk perasaan sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk beberapa buah negara maju.

Kenaikan bahan bakar itu berlaku selepas harga minyak mentah melonjak ke paras tertinggi iaitu AS$139.12 (RM453.99) setong di pasaran Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Di Britain, pengguna kenderaan diminta tidak panik dengan bertindak untuk membeli petrol dan makanan daripada kebiasaan berikutan para pemandu lori tangki mahu melancarkan mogok selama empat hari bermula esok.

Jurucakap Perdana Menteri Gordon Brown menyatakan pelan kecemasan disediakan untuk mengurangkan gangguan akibat mogok itu.

Rayuan itu berlaku ketika harga diesel dijangka melonjak melepasi £6 (RM38.43) satu gelen.

Amaran mengenai kenaikan harga petrol turut berlaku berikutan ramalan syarikat tenaga Gazprom dari Rusia bahawa minyak mentah bakal melonjak kepada AS$250 (RM816) satu tong pada masa depan.

Berikutan kenaikan harga itu, terdapat petunjuk bahawa para pemandu di Britain mula kurang memandu di jalan raya.

Permintaan untuk petrol menjunam 20 peratus sejak 12 bulan lalu ketika harga minyak meningkat dua kali ganda.

"Secara jelasnya, para pemandu Britain kini kurang memandu.

"Mereka beralih dengan menggunakan pengangkutan awam," kata ketua penganalisis minyak Agensi Tenaga Antarabangsa, Eduardo Lopez.

Persatuan Peruncit Britain menyatakan jualan minyak turun dengan mendadak sejak tiga minggu lalu, terutamanya di utara England.

Amaran pembelian panik itu dikeluarkan selepas penduduk di Sepanyol membeli makanan dan petrol dalam jumlah yang banyak sekali gus menyebabkan pasar raya kehabisan barang makanan.

Di beberapa tempat, 90 peratus stesen petrol terpaksa ditutup ekoran kehabisan bekalan.

Keadaan itu berlaku berikutan mogok yang dilancarkan oleh para pemandu trak terhadap kenaikan harga minyak di pasaran.


SEORANG peniaga berdiri di gerainya yang kehabisan bekalan daging akibat mogok di Valencia, Sepanyol kelmarin.


Sementara itu, lapangan terbang utama di Lisbon, Portugal kehabisan bahan bakar berikutan mogok yang dilakukan oleh pemandu trak sehingga menyebabkan banyak penerbangan ditangguhkan.

"Tidak ada bekalan minyak untuk pesawat di Lapangan Terbang Portela, kecuali hanya untuk tujuan kecemasan, ketenteraan dan penerbangan negara," kata seorang jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang Portugal semalam.

Menurutnya, pesawat-pesawat mengisi minyak di beberapa lapangan terbang lain seperti di Porto.

Sejumlah stesen petrol di Lisbon kehabisan bekalan minyak manakala terdapat deretan kenderaan di beberapa stesen petrol lain di mana pemandu cuba memperoleh bekalan minyak.

Tindakan pemandu-pemandu trak di Portugal dan Sepanyol melancarkan mogok itu sejak Isnin lalu menyebabkan para peruncit serta pasar raya mula kehabisan bekalan makanan yang hendak dijual kepada pengguna.

Harga bahan bakar meningkat lebih tinggi di Britain berbanding di Eropah di mana petrol tanpa plumbum melonjak 14 peratus.

Menurut Pejabat Perkhidmatan Pengembara Pos, kenaikannya adalah kurang 10 peratus di Itali dan Jerman.

Industri kenderaan di Sepanyol lumpuh berikutan mogok para pemandu yang berang kerana kenaikan harga minyak.

Sebuah persatuan kereta iaitu Anfac menyatakan menjelang hari ini, 18 buah kilang kereta di Sepanyol yang mengeluarkan 13,000 kenderaan sehari mungkin ditutup kerana kekurangan peralatan dan minyak.

Di Thailand, ribuan pemandu trak melancarkan mogok setengah hari bagi menuntut kerajaan membantu mengatasi masalah kenaikan harga.


LORI tangki ini tiba untuk menghantar bekalan di sebuah stesen minyak di Liverpool, Britain semalam.


Kumpulan-kumpulan pengangkutan menyatakan kesediaan untuk menghalang laluan menuju ke Bangkok pada minggu depan sekali gus meningkatkan tekanan ke atas kerajaan yang sudah pun menghadapi bantahan jalanan dalam percubaan untuk meminda perlembagaan. - Agensi

No comments: