Saturday, May 31, 2008

Keluhan dan kesan kenaikan harga barang mulai dirasai. Duit RM negara kita semakin kecil berbanding dengan nilai wang negara-negara jiran. Justru atas itu, kerajaan perlu membuat sesuatu dalam merangka pelan jangka pendek dan jangkapanjang.
Pertamanya, walaupun kenaikan harga minyak adalah bukan segala-galanya punca tersebut, tetapi segala-galanya berpunca daripada minyak. Tindakan kerajaan menyuntik puluhan billion Rm ke dalam industri minyak bagi dinikamati rakyat teramai juga kurang berkesan, malahan peruntukan perbelanjaan kerajaan juga makin bertambah.
Kita amat bersetuju, jika kerajaan memberikan wang terus kepada rakyat miskin secara terus samada melalui kupon atau wang tunai terus. Inilah pelan jangkapendek yang dikira dapat menghilangkan beban sengsara rakyat termiskin.
Bagi rancangan jangkapanjang kerajaan wajar membuka cadangan penasihat ekonomi negara dengan memberi kuasa kepada lain-lain penguasaha mengimport barangan kawalan seperti beras dan lain-lain, tiada lagi monopoli oleh pihak-pihak tertentu. Kita yakin lama-kelamaan keadaan akan kembali normal.
Rakyat makin tertekan jika harga barang terus melambung

KUALA LUMPUR 30 Mei - Beberapa bulan lalu, Rafidah Salleh hanya perlu berbelanja kira-kira RM100 untuk membeli barang-barang runcit bagi keperluan seminggu bagi keluarga enam orang, tetapi sejak itu perbelanjaan sentiasa meningkat kepada RM120 dan ini dijangka meningkat lagi.

"Saya pergi ke kedai yang sama sejak beberapa tahun untuk membeli barang keperluan asas seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran, gula, tepung, susu, roti dan telur, tetapi kebelakangan ini harganya kian bertambah mahal.

"Tetapi apa yang saya boleh buat? Saya terpaksa beli barang-barang runcit ini untuk dimasak bagi keluarga saya," kata seorang ibu berusia 43 tahun dari Ampang di sini.

Keadaan ini turut dikongsi bersama oleh ramai yang lain dan menurut pakar Ekonomi dan Persatuan Pengguna, rakyat Malaysia mungkin berbelanja lebih banyak pada bulan akan datang jika harga bahan api di pasaran dunia terus meningkat.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, sungguhpun harga bahan api diberikan subsidi, rakyat Malaysia masih merasakan kesan seperti yang ditunjukkan pada Indeks Harga pengguna (CPI) bulan lepas yang mencatatkan keseluruhan peningkatan pada kira-kira tiga peratus.
"Tiga peratus ialah untuk semua barang, tetapi bagi barang makanan sahaja, kadar peningkatan ialah 5.8 peratus dan ia akan terus meningkat jika harga bahan api melonjak," katanya.

Beliau berkata, sungguhpun sesetengah barang keperluan diberikan subsidi oleh kerajaan, pengguna masih lagi merasakan kesan kenaikan terutamanya bagi mereka yang dalam kumpulan berpendapatan rendah.
"Dianggarkan pengguna daripada kumpulan berpendapatan rendah membelanjakan 40 hingga 50 peratus gaji bulanan mereka untuk membeli barang makanan. Jika seseorang itu berpendapatan kurang RM1,000 sebulan dan kira-kira RM500 daripadanya dibelanjakan untuk makanan, apa lagi dengan perbelanjaan lain," katanya.
Azrul menjelaskan, walaupun tidak ada perubahan pada harga bahan api di pasaran tempatan, tetapi pengimport, pengeluar, pembuat dan pembekal mengenakan rantaian kenaikan kos yang akhirnya akan pergi kepada pengguna.
Sehubungan itu, Azrul berkata, kerajaan hendaklah terus membayar subsidi, sama ada untuk bahan api atau barang keperluan buat masa ini kerana mekanisme itu telah mengurangkan bebanan kepada orang miskin.
"Walaupun ia membabitkan perbelanjaan besar dalam bajet kerajaan, sekurang-kurangnya orang ramai akan hanya mengalami kesan yang sedikit. Dengan keadaan ini, jika kerajaan mengurangkan subsidi itu, saya tidak ragu-ragu bahawa kita akan menghadapi krisis harga, melainkan kerajaan boleh mewujudkan satu strategi untuk mengelakkan ini," kata beliau.

Azrul mencadangkan, kerajaan mengkaji semula semua projek pembangunan dan keutamaan yang sepatutnya, dengan berjimat-jimat disebabkan peningkatan dalam subsidi.

"Buat kajian menyeluruh untuk setiap projek mega kerajaan yang telah dirancang, dilancar atau dilaksana dan nilai impaknya terhadap orang ramai, kemudian timbang semula sama ada ia boleh ditangguh pada suatu masa.

"Kemudian alih bajet untuk subsidi. Ia satu langkah yang radikal tetapi buat masa ini, ia adalah penyelesaian sementara," kata beliau.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kenyataan bahawa kerajaan akan mengkaji semua projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) disebabkan kenaikan kos, bagaimanapun beliau memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan mengorbankan infrastruktur dan pembangunan yang akan memanfaatkan orang ramai, terutamanya orang miskin.
Minggu lepas, harga minyak di pasaran mencecah AS$138 setong dan berdasarkan ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa kerajaan terpaksa mengkaji semula subsidi yang diberikan untuk bahan api dan barang keperluan.

Kerajaan sebelum ini menganggarkan sejumlah RM56 bilion akan dibelanjakan untuk subsidi pada tahun ini.
Berikutan dengan kenyataan Najib, sesetengah pihak bimbang bahawa harga bahan api akan naik yang akan memburukkan lagi keadaan inflasi.

Seorang lagi pakar ekonomi, Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh memberitahu, kerajaan tidak mungkin mengurangkan subsidi dan pada masa yang sama meringankan sesetengah kesan kepada orang ramai yang tidak berkemampuan.
"Kerajaan boleh memperkenalkan satu sistem atau mekanisme yang memanfaatkan hanya mereka yang memerlukannya, mungkin dengan memberikan kupon dan pelekat makanan. Sesetengah cara ini dilaksanakan di negara maju untuk membantu orang miskin," kata beliau.
Satu cara lagi, menurut Ismail ialah dengan memberikan kelonggaran pasaran bagi barang kawalan dan membolehkan lebih ramai mengimport serta mengeluarkan harga barang kawalan seperti gula, tepung, beras dan menjadikan pasaran mengawal harga.
- Bernama
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, persatuan itu percaya bahawa harga barang, terutamanya makanan boleh dikawal jika kerajaan memberikan subsidi terus kepada petani dan pengeluar makanan lain.
"Pertanian adalah perniagaan yang berharga, dan ini bertambah teruk lagi kerana kebanyakan petani mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan. Jadi, jika kerajaan memberikan subsidi, sebagai contoh untuk bahan api bagi jentera mereka akan membantu mengurangkan kos pengeluaran.
"Atau beri subsidi terhadap harga jentera itu dan menjadikannya dalam kemampuan petani ini untuk membelinya yang akan membantu meningkatkan produktiviti mereka," kata beliau.
Muhammad Sha'ani berkata, sungguhpun pengguna kini membelanjakan lebih banyak untuk barangan mereka, ia tidak memberikan manfaat kepada pengeluar makanan seperti petani dan penanam padi yang merupakan golongan berpendapatan rendah.


Beliau juga berpendapat, bahawa amalan sekarang dengan memberikan subsidi kepada pengguna akhirnya, tidak akan memberikan makna untuk membantu orang miskin, kerana ia hanya memberikan manfaat kepada semua, kaya dan miskin.

Katanya, walau apa pun langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengawal inflasi sekarang, pada akhirnya kepenggunaan bijak yang akan membantu rakyat Malaysia untuk mengatasi situasi ini.
"Kini tiba masanya untuk kita mengamalkan kepenggunaan bijak. Bezakan apa yang anda perlukan dan yang anda mahukan. Beli hanya yang perlu dan kurangkan perbelanjaan untuk apa yang anda mahu tetapi boleh tanpanya," nasihat Muhammad Sha'ani sambil menambah bahawa kerajaan hanya boleh campur tangan dengan ini.
- Bernama

No comments: