Saturday, April 05, 2008

Umno serang PAS umpama perang salib di Kelantan

GUA MUSANG, 4 April: Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan cara serangan yang dibuat Umno terhadap PAS di Kelantan semacam 'perang salib' terhadap PAS.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Agung Luar Biasa Umno Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati dekat sini.


"Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di Kuala Lumpur memaki-hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan.


"Bahkan seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam," kata Ku Li.



Menurut Ku Li, dalam pilihan raya baru-baru ini, pengundi melihat PAS sebagai parti yang adil kepada semua kaum dan pemimpinnya tidak mengamalkan rasuah - berbeza dengan imej Umno yang dilihat mementingkan Melayu sahaja dan korup.

"Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan," katanya.


Tentang PKR pula, menurut tafsiran Ku Li, pengundi semua kaum melihat parti itu – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.


Ku Li juga berkata, Umno umpama kapal yang sudah rosak dan hendak karam sekarang ini.


Nakhodanya pula, kata beliau, sering meninggalkan kapalnya dan menyerahkan kepada anak-anak kapal untuk mengendalikannya.
5 comments

No comments: