Saturday, April 05, 2008

Apa agenda Utusan ?

UMNO dalam darurat – Ku Li


TENGKU Razaleigh Hamzah bersama pemimpin UMNO Bahagian Gua Musang menyanyikan lagu UMNO pada majlis Mesyuarat Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang Tahun 2008 di Balai Rakyat Bukit Cekati, Gua Musang, semalam. – GAMBAR HAFIZ JOHARI


GUA MUSANG 4 April – UMNO kini disifatkan berada dalam keadaan ‘darurat’ dan perlukan perubahan besar terutama bagi mengatasi masalah yang dialami selepas mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggariskan tiga perubahan besar yang harus berlaku dalam parti itu bagi mengatasi darurat tersebut.

Tiga perubahan tersebut, katanya, ialah memulihkan semula demokrasi dalam UMNO; dasar dan visi hendaklah merentas sempadan kaum serta tidak dilihat sebagai parti untuk orang Melayu sahaja dan ketiga perangai serta kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan.

Katanya, kesemua itu perlu dilakukan secepat mungkin kerana sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami malapetaka politik yang dahsyat, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti yang menunjangi kerajaan.

“Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan UMNO, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan UMNO dan BN nyaris-nyaris terlungkup dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Pertama ialah musnahnya demokrasi dalam UMNO, ia bermula apabila perlembagaan parti dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30 peratus daripada bahagian UMNO.

“Konon tujuannya ialah mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hati dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain. Saya tidak fikir anggota UMNO yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati saja akan mencabar presiden UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang di Dewan Balai Rakyat Bukit Cekati di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri kira-kira 2,000 pemerhati selain 432 perwakilan dari 119 cawangan.

Tengku Razaleigh berkata, untuk menyelamatkan UMNO dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu itu terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam parti.

“Perubahan yang kedua adalah dasar dan visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

“Dasar dan visi UMNO yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif (agama), Ba (bahasa) dan Ta (tanah air) tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat.

Imej

“Imej UMNO selama beberapa tahun kebelakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis, pertama, imej kepada orang Melayu ialah, UMNO tidak lagi memperjuangkan hak yang menjadi warisan bangsa, bahasa, budaya dan ekonomi Melayu,” katanya.

Katanya, imej kedua ialah di mata orang bukan Melayu iaitu mereka menganggap parti untuk kepentingan orang Melayu dan bukannya kepentingan kaum lain.

“Ketiga ialah imejnya sebagai parti orang kaya di atas dan parti orang miskin di bawah , parti yang korup, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek serta kontrak kerajaan, imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.

“Pemimpin parti, walau tidak semua, cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan, kritikan dan teguran.

“Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi ahli tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh parti sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani sebaik-baiknya,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, perubahan ketiga ialah perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan.

“Kita perhatikan dalam kempen pilihan raya lalu, kelakuan beberapa calon UMNO tidak beradab, mereka sombong, bercakap besar, riak dan suka mendabik dada,” katanya.

Tambahnya, jiwa dan roh Melayu orang UMNO mula digantikan dengan ‘roh perut’, wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam UMNO.

No comments: