Friday, April 11, 2008

Pakatan Rakyat tidak buat undi tidak percaya terhadap PM
10-04-2008 08:39:02 PM
Mohd Raslan Md Shariff

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat tidak akan membentang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen akan datang.

Penasihat Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu mStar Online Khamis bahawa tidak ada keperluan untuk Pakatan Rakyat berbuat demikian.

"Buat masa ini, ia bukan sesuatu yang mesti dilakukan atau perkara yang kritikal," kata beliau, sambil menambah bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat akan memantau keadaan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai hal tersebut.

Spekulasi usul undi tidak percaya terhadap Abdullah mula muncul setelah beberapa pemimpin PKR mendakwa terdapat ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk "melompat" ke pihak pembangkang.

Gabungan parti di dalam Pakatan Rakyat -- DAP, PAS dan PKR -- mempunyai sejumlah 82 kerusi Parlimen manakala Barisan Nasional 140 kerusi.

Sidang Parlimen yang pertama selepas pilihan raya umum baru-baru ini akan bermula pada 28 April.

Anwar juga berkata beliau tidak bercadang untuk merebut kerusi Parlimen dalam masa terdekat, walaupun beliau akan layak bertanding selepas April 14.

Ditanya samada "ketiadaannya" di dalam Parlimen akan berterusan sehingga penghujung tahun, Anwar berkata perkara tersebut tidak akan menjadi suatu prioriti "buat beberapa bulan yang akan datang".

Anwar dilarang memegang sebarang jawatan di dalam parti politik serta bertanding di dalam pilihan raya setelah dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan salahguna kuasa dalam tahun 1999.

Tempoh larangan itu berakhir 14 April.

Ahli Parlimen Pakatan Raykat juga mungkin akan diberi kelonggaran untuk mengundi berdasarkan pendirian masing-masing dalam isu yang tiada kaitan dengan dasar-dasar tunjang Pakatan Rakyat, menurut Anwar.

"Secara peribadi , saya berpendapat sekiranya ia berkaitan dengan perkara dasar, ahli Parlimen Pakatan Rakyat seharusnya patuh pada arahan parti. Tetapi hal yang tidak berkaitan dengan dasar, mereka boleh diberi kelonggaran. Dengan cara ini, kita memberi pengiktirafan kepada mereka," beliau berkata.

Anwar juga berkata buat masa ini, Pakatan Rakyat telah mencapai kata sepakat bahawa sekiranya gabungan tersebut dapat membentuk kerajaan persekutuan, Perdana Menteri akan dipilih dari kalangan Melayu.

Namun, Pakatan Rakyat tidak ada masalah sekiranya masyarakat mahukan Perdana Menteri bukan Melayu di masa hadapan.

"Terserah kepada kebijaksanaan rakyat, kerana rakyat mempunyai hak dalam perkara ini," kata Anwar.




No comments: