Tuesday, April 08, 2008

Karpal Nafi Perkecil-kecilkan Usaha Kelantan Promosi Islam
Berita
 KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini menafikan beliau memperkecil-kecilkan usaha kerajaan Kelantan untuk mempromosikan Islam seperti yang didakwa oleh Menteri Besarnya, dengan mengatakan apa yang beliau bantah adalah pengakuan PAS yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Dalam satu kenyataan di sini, Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata pada minggu lepas, PAS sepatutnya menjadi tunjang Pakatan Rakyat sekiranya parti itu mahu merealisasikan hasratnya untuk mewujudkan sebuah negara Islam. "Kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa saya memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam, adalah mengelirukan. Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam. Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud," kata Karpal.

Semalam, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan mengkritik Karpal kerana mengatakan PAS tidak seharusnya bermimpi untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dan mewujudkan sebuah negara Islam.

Nik Aziz turut menyifatkan kenyataan Karpal itu sebagai memperkecil-kecilkan usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempromosikan Islam.

Bagaimanapun, Karpal berkata DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti yang termaktub mengikut Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata PAS mesti menerima dan menghadapi kenyataan serta tidak menyimpang daripada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Karpal berkata tidak syak lagi bahawa kaum Cina dan India di Kelantan yang diterajui PAS berasa gembira "tetapi itu tidak bermakna mereka bersetuju dengan pewujudan sebuah negara Islam atau pengenalan kepada undang-undang hudud".

"Masanya sudah tiba untuk PAS menghentikan usahanya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan berusaha ke arah kepentingan semua rakyat negara ini tanpa mengira warna kulit, bangsa atau keturunan," kata Karpal.

No comments: