Thursday, March 13, 2008

Sorotan Berita Angkat Sumpah MB Perak Batal ?

DAP mohon maaf atas kenyataan lantikan MB Perak
13-03-2008 11:46:43 AM

KUALA LUMPUR: DAP memohon maaf atas kenyataannya Rabu lalu bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu membantah perlantikan setiausaha perhubungan PAS Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

"Kenyataan tiga perenggan saya pada jam 7 malam Rabu bahawa mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat DAP pada 9 Mac tidak memberi kelulusan bagi seorang Menteri Besar PAS mengetuai kerajaan campuran negeri Perak bukan dibuat kerana tidak menghormati Pemangku Raja Perak yang saya sentiasa beri sanjungan tertinggi, dan saya memohon maaf jika menyebabkan tersinggung perasaan," kata penasihat parti itu, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya, Khamis.

Beliau berkata kenyataan pada malam Rabu dibuat berdasarkan kedudukan DAP pada ketika itu.

"Terdapat rundingan dan perkembangan selanjutnya mengenai perkara itu beberapa jam selepas kenyataan tersebut.

"Kenyataan mengenai kedudukan terbaru akan dibuat," kata beliau.

Malam tadi, Lim, yang juga MP bagi Ipoh Timur berkata parti itu terkejut dengan keputusan itu (pelantikan MB).
Beliau berkata CEC DAP memberikan kelulusannya bagi pembentukan kerajaan campuran negeri Perak diketuai oleh DAP atau PKR tetapi bukan PAS.

Berikutan keputusan itu, Lim mengarahkan semua 18 anggota Dewan Undangan Negerinya memulaukan majlis angkat sumpah pada hari Khamis. BERNAMA

No comments: