Daripada Salbiah Said
MADRID, 13 Jan (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Sepanyol Selasa ini bakal mencetuskan era baru dalam hubungan dua hala dengan Sepanyol, satu daripada ekonomi terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU) selepas Jerman.Lawatan Abdullah ke Sepanyol, lawatan pertama ke luar negara oleh beliau pada tahun ini, dilihat sebagai pembuka jalan bagi peningkatan hubungan dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pelancongan dengan Sepanyol, ekonomi kelapan terbesar di dunia.
Perdana Menteri yang tiba di sini hari ini bagi lawatan sehari bermula Selasa, akan menghadiri Forum Tahunan Pertama Alliance of Civilisations, dengan beliau merupakan seorang daripada anggota panel mengenai pengurusan kepelbagaian dalam era globalisasi.Abdullah dijangka berkongsi pengalaman Malaysia dalam menguruskan rakyat berbilang kaum dan menganut pelbagai agama dan pandangan beliau mengenai cara-cara untuk mengubah perseptif negatif yang memisahkan dunia Islam dan Barat, pada forum itu yang akan membincangkan cara untuk merapatkan jurang antara negara-negara."Kerajaan Sepanyol melihat kita sebagai sebuah negara Islam demokratik," kata Duta Besar Malaysia ke Sepanyol Datuk Naimun Ashakli Mohammad kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia.Pada acara sampingan di luar forum itu, Abdullah akan mengunjungi Presiden Sepanyol Jose Luis Rodriguez Zapatero pada tengah hari (waktu tempatan) Selasa di pusat konvensyen, Palacio de Congreso.
Pada pertemuan itu, Abdullah akan diberikan taklimat oleh Presiden Sepanyol itu mengenai insentif yang akan diumumkan pada persidangan itu.Abdullah pula akan memaklumkan perkembangan terkini situasi di Asia Tenggara, terutama mengenai Myanmar dan semenanjung Korea. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terbaru di Timur Tengah.
Sebelum menghadiri forum itu, Abdullah akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin esok, termasuk Algeria dan Wakil Tertinggi Dasar Asing dan Keselamatan Bersama (CFSP) EU, Javier Solana.Perdana Menteri Malaysia itu juga akan menyampaikan kad undangan kepada Presiden Sepanyol untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai "Dunia Islam dan Barat: Merapatkan Jurang" yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Jun tahun ini, kata Naimun Ashakli.
Mengenai hubungan dua hala, katanya lebih banyak usaha patut dilakukan bagi menggalakkan syarikat Malaysia memanfaatkan peluang pelaburan di Sepanyol, terutamanya dalam sektor pembinaan.Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Sepanyol sebanyak RM3.59 bilion dari Januari hingga Jun 2007, dengan imbangan perdagangan sebanyak RM1.27 bilion yang memihak kepada Malaysia.
Setakat ini tiada syarikat Malaysia di Sepanyol, katanya dengan menyatakan halangan bahasa sebagai antara sebab utama kerana bahasa Sepanyol merupakan bahasa rasmi dan satu-satunya bahasa komunikasi di negara itu.Kurangnya lawatan antara kedua-dua negara juga antara puncanya, katanya.Eeksport Malaysia kebanyakannya terdiri daripada peralatan komunikasi, transistor, suis injap elektrik, litar bersepadu, peralatan pemanas dan penyejuk, kain dan yan, produk atap datar, produk sayuran dan produk getah.Beliau berkata terdapat peningkatan dalam eksport produk elektrikal dan elektronik, tekstil dan pakaian, produk getah dan kimia.
Malaysia mengimport produk besi dan keluli, produk kimia, peralatan jentera dan alat ganti, produk elektrikal dan elektronik dan logam dari Sepanyol.Naimun Ashakli, yang baru memegang jawatan itu pada 19 Dis tahun lepas selepas bertugas di Bahrain, berkata usaha lebih agresif juga diperlukan untuk mempromosikan Malaysia ke destinasi pelancongan lain di Sepanyol, daripada menumpukan pada beberapa bandaraya utama.T
ourism Malaysia mensasarkan pertumbuhan 15 peratus kepada 23,000 ketibaan dari Sepanyol tahun ini. Dari Januari hingga Jun 2007, sebanyak 10,649 pelancong dicatatkan dari Sepanyol.Kini, pejabat perwakilan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Tourism Malaysia terletak di Paris dan bukannya di Sepanyol.Naimun Ashakli berkata juga terdapat keperluan bagi Malaysia Airlines (MAS) mengadakan semula penerbangan terus antara KL-Madrid dan Madrid-KL.MAS menghentikan perkhidmatan bagi sektor itu pada 1998 tetapi rundingan sedang dijalankan bagi mengaktifkan semula laluan itu, katanya.Mengenai pendidikan, hanya 10 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Sepanyol, majoriti mereka mengikuti jurusan kejuruteraan, katanya.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment