Kasino terbakar di Vegas
LAS VEGAS - Sejumlah besar penjudi melarikan diri selepas anggota-anggota bomba bergegas memadamkan kebakaran tetapi tidak ada seorang pun cedera parah dalam kebakaran di tingkat atas hotel-kasino, Monte Carlo, Las Vegas kelmarin.
Hotel setinggi 32 tingkat dan mempunyai 3,002 bilik tetamu dan 211 suite itu hampir dipenuhi pengunjung apabila kebakaran berlaku pada waktu pagi tetapi ia dapat dikawal dalam tempoh sejam.
Seorang jurucakap perkhidmatan ambulans berkata, sebanyak 17 orang menerima rawatan di hospital kerana cedera ringan, sebahagian besarnya terhidu asap.
Kebakaran itu mencetuskan ingatan semula terhadap kejadian yang berlaku pada 1980 di mana 87 orang terbunuh selepas bangunan lama hotel tersebut terbakar di kawasan berhampiran.
Ketua Jabatan Bomba, Steve Smith memuji anggota-anggota bomba kerana kejayaan mereka mengawal kebakaran dalam tempoh singkat dan menyatakan punca kebakaran masih belum diketahui.
Menurutnya, anggota-anggota bomba itu memecahkan tingkap dan menyandar ketika mengendalikan hos untuk memancutkan air ke arah api.
Ketua Jabatan Bangunan Las Vegas, Ron Lynn menyatakan sebanyak lima tingkat terjejas akibat kebakaran itu manakala jurucakap hotel-kasino Monte-Carlo, Gordon Absher menjelaskan, para pegawainya memeriksa dari pintu ke pintu untuk memindahkan para penghuni ketika kebakaran.
Seorang tetamu hotel itu, Larry Wappel berkata, dia dan adiknya berada dalam sebuah bilik di tingkat 30 ketika mereka mendengar pengemas bilik mengetuk pintu dan menjerit 'Api, tolong keluar.'
"Terdapat beberapa wanita menangis tetapi keadaan ketika itu adalah terkawal," katanya yang memberitahu dia mengambil masa 10 minit untuk berjalan menuruni tangga.
Seorang lagi pengunjung hotel itu, Renza Badilla berkata, dia menyelamatkan diri dengan keluar menerusi dapur hotel dan mendapati serpihan kebakaran dan bara api gugur dari bumbung.
"Saya berpendapat, orang ramai terkejut ketika mereka melihat asap," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment