Tuesday, January 08, 2008

KJ Oh KJ ?

Tiba-tiba Khairy Jamaluddin (KJ) berbunyi dengan katanya ......Tiada siapa berhak cakap pasal tarikh pilihan raya’..... Hanya ayahku yang layak bercakap pasal pilihanraya dan raya pemilihan negara Malaysia. Begitulah agak kata KJ kot.


Reaksi 'panas' , angkuh sombong KJ ini, menempelak semua orang termasuklah pengerusi SPR yang menjadi perkakas BN tu. Patut atau tidak patut KJ bercakap bukanlah soalnya. Apa pun beliau sudah bercakap. Nampak tegas menantu lebih tegaslah sikit daripada ayah mentua.

Orang lemas menunggu dan tertunggu-tunggu 'hantau raya' yang nak raya entah bila-bila , masing-masing nak tahu dan berminat menyifir dan meneka itu ini.


KEPALA BATAS 7 Jan. – Semua pihak termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman tidak berhak untuk mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan berhubung tarikh sebenar pilihan raya umum.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya boleh ditentukan dan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru, katanya, tindakan Ab. Rashid baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan berbentuk spekulasi mendakwa sudah mengetahui tarikh sebenar pilihan raya adalah tidak wajar.

“Soalan (bila tarikh pilihan raya) tiada siapa yang boleh keluarkan kenyataan termasuk pemimpin-pemimpin politik kerana itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Jadi, saya pun tidak faham kenapa Pengerusi SPR (Ab. Rashid) boleh keluarkan kenyataan seperti itu, ia bukan kuasa dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria di sini hari ini.

Khairy ditanya mengenai ‘demam pilihan raya’ yang dilihat mula melanda negara berikutan timbulnya banyak spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.

Spekulasi itu antara lain timbul berikutan kenyataan Ab. Rashid pada November lalu yang mendakwa beliau tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

Sambil menjelaskan bahawa bahang pilihan raya umum semakin hampir, Ab. Rashdi meminta semua pihak bersedia kerana SPR tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum.

Khairy berkata, tindakan mencetuskan spekulasi tarikh pilihan raya hanya akan menimbulkan kesan negatif apabila timbul kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk mempolitikkan isu-isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Ini perkembangan tidak baik, apa sahaja masalah yang berlaku dijadikan modal politik. Jadi, tidak perlulah kita bercakap pasal bila tarikh pilihan raya, biarlah Perdana Menteri yang tentukan nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy berkata, keprihatinan kerajaan dalam menangani pelbagai isu semasa termasuk bebanan yuran tambahan sekolah dan kenaikan harga barang tidak seharusnya dilihat sebagai taktik kerajaan untuk memancing undi semata-mata.

Katanya, sudah menjadi komitmen kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu-isu berkenaan dan ia dilakukan atas dasar tanggungjawab kerajaan sebagai pemerintah di negara ini.

Justeru, jelasnya, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang menuduh kononnya kerajaan sengaja memenangi hati rakyat dalam menangani isu-isu berkenaan semata-mata untuk meraih perhatian rakyat menjelang pilihan raya umum.

“Bila ada tanggapan bahawa pilihan raya sudah dekat, isu-isu semasa akan menjadi isu-isu politik sehinggalah ada yang kata kerajaan buat itu ini untuk pancing undi, (tuduhan) ini memang biasa berlaku.

“Hakikatnya, kerajaan akan mengambil tindakan penyelesaian yang paling wajar dalam apa juga keadaan sama ada dekat pilihan raya atau tidak sebab itu memang komitmen kerajaan dan ia diamalkan sejak dulu lagi,” jelasnya.

No comments: