Tuesday, November 20, 2007

PAC Mahu Kerajaan Kaji Pemberian VOA


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pemberian visa sewaktu tiba (VOA) kepada pelancong asing bagi memastikan ia tidak disalahguna untuk bekerja secara haram di negara ini.

Pengerusi PAC Datuk Shahrir Abdul Samad berkata ini kerana ia telah menimbulkan banyak tanda tanya terutamanya apabila rekod Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan daripada 145,000 VOA yang diluluskan, 52,000 pelancong asing didapati tidak pulang ke negara masing-masing.

"VOA diperkenalkan untuk memudahkan kemasukan pelancong asing tetapi mereka pula menyalahgunakan kemudahan itu. Jadi kita (PAC) harap kerajaan akan kaji semula pemberian VOA ini bagi memastikan jumlah pekerja asing tanpa izin tidak bertambah di negara kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen di Parlimen, di sini, hari ini.

Shahrir berkata beliau yakin sekiranya VOA dihentikan, ia tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

"Kita perlu melihat kepada kualiti bukannya kuantiti. Jika VOA disalah gunakan ia akan membawa pelbagai masalah kepada negara," katanya dalam pertemuan singkat dengan pihak media.

Kerajaan telah memperkenalkan VOA pada September tahun lalu sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 bagi menggalakkan dan memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.

-- BERNAMA

No comments: