Sunday, November 18, 2007

Filem dedah kebangkitan menentang Yahudi di Lubnan

Kebangkitan masyarakat Islam di Lubnan semasa negara itu diserang oleh tentera Yahudi pada Julai 2006 kini boleh diikuti dalam dokumentari 33 Days karya pengarah filem kontroversi Mai Masri.

Mai, yang telah menghasilkan pelbagai dokumentari untuk rangkaian TV antarabangsa seperti BBC, France 24, Al-Jazeera dan Al-Arabiya itu berkata 33 Days adalah satu peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari erti toleransi antara agama.

Katanya, beliau menghasilkan filem berkenaan untuk memberi peluang kepada anak-anak muda, khususnya di negaranya sendiri, supaya mengetahui kesan buruk akibat peperangan yang dicetuskan daripada diskriminasi agama.

"Generasi sekarang sudah lupa apa yang berlaku di negara mereka 10 tahun dahulu," katanya kepada kira-kira 15 orang karyawan filem muda tempatan dan juga wartawan selepas mempertontonkan dokumentari itu di Institut Kajian Sosial Malaysia (MSRI), dekat sini semalam.

"Orang-orang yang mengalami keadaan perang itu mempunyai memori yang singkat, ini sesutu yang baik kerana ia akan membolehkan mereka terus berharap, tetapi buruk kerana mereka tidak akan belajar keburukannya," katanya lagi.

Mai sebelum ini mencetus kontroversi selepas filem dokumentarinya Beirut Diaries: Truth, Lies and Videos (2006) menerima banyak kritikan kerana memaparkan krisis politik di antara masyarakat Lubnan selepas Perdana Menterinya Rafik al-Hariri terbunuh pada 2005.

"Filem ini penting untuk mengembalikan semangat hidup masyarakat Lubnan, untuk membuktikan bahawa kami sebenarnya menang dalam peperangan ini kerana mampu terus hidup," tambahnya.

Satu babak filem ini memaparkan seorang wanita yang ditemuramah berkata "kami tidak perlukan makanan atau tilam, tapi maruah dan semangat untuk terus hidup".

Mai menggunakan kaedah penceritaan yang mudah dengan memaparkan kehidupan empat orang pekerja media, yang merupakan teman-teman terdekatnya, ketika serangan itu dilangsungkan.

"Kebanyakan daripada video itu dirakam di sekeliling kawasan penempatan saya," kata Mai lagi.

Tambahnya, beliau telah merakamkan video lebih 100 jam tetapi kebanyakannya tidak dapat digunakan kerana terlalu banyak paparan keganasan.

"Contohnya, ada rakaman menunjukkan badan manusia terputus dua," katanya lagi.

Beliau menjelaskan, Lubnan adalah negara yang istimewa kerana mempunyai komuniti penganut Islam, Kristian dan Yahudi yang mampu hidup bersama sebagai satu masyarakat.

"Kita tidak ada masalah antara satu sama lain. Tetapi memandangkan kami berjiran dengan Israel, kebencian mula timbul ke atas tentera dan penaklukan apabila tentera Yahudi mula menceroboh kawasan kami," kata anak kelahiran Palestin itu.

"Apa yang saya mahu capai melalui filem ini adalah membuat hubungan dengan masyarakat dunia dan membina kesefahaman tentang keburukan perang," katanya.

Filem berkenaan kini ditayangkan di Help Institute Film Festival, Damansara hingga 18 Nov, anjuran MSRI.

33 Days juga akan ditayangkan di Theatre of Medina di Beirut pada 21 Dis depan dan juga akan disiarkan melalui saluran dokumentari Al-Jazeera pada Januari depan.

MSRI sebuah pertubuhan yang turut aktif menjalankan kegiatan kebajikan di Palestin dan telah menjalankan Program Pembiayaan Kanak-kanak Palestin sejak 1989.

Pertubuhan itu kini membiayai anak-anak Palestin yang tinggal di 10 buah kem pelarian.

No comments: