Semalam melalui seorang surat pembaca marah-marah kerana pelajar terlalu kejar A. Kaitan marahnya pembaca itu bilamana seorang pelajar berketurunan India dalam peperiksaan UPSR lepas bertindak nekad menggantungkan diri dek kerana gagal mendapat A sebagaimana yang diimpikan.
Jika ditanya menteri berkaitan tentulah jawapannya, ini adalah kes terpencil, kita tidak perlu merombak sistem yang ada kerana bunuh diri dek seorang gadis sunti India yang berkenaan. Bagi mengimbangkan minda para ibubapa dan masyarakat ikutilah tulisan di bawah ini.
Adalah menjadi satu kedukaan apabila kita mendengar ada seorang murid yang kecewa dengan keputusan peperiksaan lantas membunuh diri. Agak mengejutkan murid yang seawal usia begitu mengambil keputusan yang di luar jangkaan.
Timbul persoalan adakah anak-anak ini tidak melihat bahawa ukuran kejayaan itu bukan terhad kepada keputusan ujian.
Didapati sebilangan orang yang berjaya di dunia ini tidak berpaksi kepada kecemerlangan keputusan peperiksaan. Lebih menakjubkan bahawa ramai usahawan yang berjaya bukan kerana pencapaian akademiknya tetapi lebih kepada kecemerlangan kemahiran.
Negara perlukan tenaga pakar yang berasas kepada kekuatan akademik; negara juga perlukan pakar-pakar yang berasaskan kemahiran.
Daripada psikologi pula, ramai ahli psikologi yang menumpukan kepada soal kecerdikan manusia mula membuka mata bahawa kecerdikan manusia bukan hanya terhad kepada tindak balas di atas kertas peperiksaan.
Ahli psikologi ini melihat kecerdikan manusia lebih daripada itu. Misalnya, kemahiran untuk bersukan, melukis, mencipta lagu, mencipta rekaan, memasak, kemahiran lagak ngeri, dan pelbagai lagi. Malahan didapati tugasan profesional juga memerlukan kemahiran.
Mungkin seseorang itu dari segi akademiknya tidak seberapa tetapi kelebihan kemahirannya menentukan kecemerlangan di kemudian hari.
Dalam masyarakat Cina di Malaysia ini, penulis dapati jika anaknya minat melukis lantas dibelikan oleh ibu bapanya segala alatan melukis yang terbaik. Jadi ini akan menjadikan bakat yang ada pada anak tersebut akan lebih digilap lagi agar boleh bersaing di kemudian hari.
Lebih menakjubkan anak-anak ini tidak dikesampingkan. Malah diletak ke depan jika ada pertandingan melukis. Ini satu contoh sahaja.
Lihat sahaja di luar negara orang yang ada kemahiran yang menjadi usahawan akhirnya menggaji jurutera, arkitek, akauntan, peguam, dan pegawai pemasaran. Mereka ini berjaya mewujudkan sejumlah besar peluang pekerjaan.
Tidak menghairankan jika satu hari kelak, seorang petani biasa boleh menggaji sejumlah profesional. Tidak menghairankan pula jika seorang nelayan menggaji seorang malim profesional yang gajinya setanding peguam.
Walau apa pun, ini semua boleh dilaksanakan dengan sekurang-kurangnya lulus peperiksaan asas iaitu Sijil Peperiksaan Malaysia. Namun, artikel ini ditulis bukannya untuk tujuan malu alah; tetapi lebih kepada supaya kita jangan mudah putus asa.
Lebih-lebih lagi jika ada anak-anak kita yang telah rasa begitu kecewa seawal usia lagi.
* KHAIROL ANUAR MASUAN ialah Perunding Psikologi di KAPC.
No comments:
Post a Comment