Wednesday, October 10, 2007

Migrasi ke Pantai Timur ?


Pertama perhatikan analisis rencana wartawan Utusan ini, berhubung dengan sosialisasi di kawasan pantai timur. Kejujuran terserlah namun masih ada kesangsian,perbalahan nilai dan bentuk penilaian miskin atau tidak, apa guna kaya ,bangunan banyak seperti di negeri-negeri pantai barat, jika rakyat terhimpit dengan harga barangan dan tampungan kos sara hidup yang tinggi. Apa guna berbangga dengan bangunan fizikal yang banyak,dalam masa yang sama sipiritual rakyat berbuak-buak dan bergelut dengan kehidupan, seharian. Hidup penuh dengan kerja dan pekerjaan yang terus melupakan ada kehidupan lain selepas ini. Tenteramkah jiwa kita?


Dabiklah dada, katalah kita maju, adakah kita 'kenyang' sedap, selesa dan berbangga dengan pujian tentang kemajuan itu. Kemajuan hakiki adalah milik mereka, mereka sahaja golongan yang menjadi qarun boleh maju dan mundurkan.



Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)



Hari Raya Aidilfitri semakin hampir dan seperti tahun-tahun sebelumnya, ribuan anak Kelantan, Terengganu dan Pahang yang merantau mencari rezeki di negeri orang, akan kembali ke kampung halaman bagi menyambut hari mulia itu bersama ibu bapa dan sanak-saudara.

Walaupun kepulangan mereka sekadar menyambut 1 Syawal, namun ia seharusnya dijadikan titik mula untuk memikir apa yang dapat mereka sumbangkan atau lakukan apabila Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan oleh Perdana Menteri pada hujung bulan ini.

Walaupun berulang kali pulang ke Pantai Timur tetapi kepulangan kali ini patut dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengetahui dan menilai apa yang patut mereka lakukan demi memajukan kampung halaman masing-masing.

Negeri-negeri di Pantai Timur begitu lama mengalami masalah meningkatkan ekonomi wilayah itu. Walaupun wilayah ini penuh dengan kekayaan yang belum digunakan sebaik-baiknya, tetapi peluang pekerjaan gagal diwujudkan.

Antara faktornya kerana tiada perancangan yang betul-betul memberi tumpuan terhadap perancangan ekonomi jangka panjang.

Berbanding dengan Pahang dan Terengganu, rakyat Kelantan dilihat masih berada dalam kemiskinan.

Melalui ECER yang pelan induknya dirangka oleh Petronas perlu mengambil pendekatan proaktif bagi menarik kemasukan lebih banyak pelabur luar untuk menggerakkan ekonomi kawasan kurang maju di Semenanjung ini.

“Apa yang Perdana Menteri rancang sekarang adalah untuk membangunkan negara secara menyeluruh dan bukan tertumpu di Lembah Klang atau bandar-bandar besar sahaja.

“Beliau sudah melancarkan Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan kali ini ECER.

“Semua ini untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan yang ada di negeri berkenaan atau dari luar untuk mendapat pekerjaan, peluang perniagaan dan peluang-peluang baru untuk penduduk yang majoritinya Melayu,” kata Naib Presiden, Management and Science University (MSU) atau dahulu dikenali Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia, Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman.

Dalam pelan ECER, lebih banyak peluang dan galakan diberikan kepada para penduduk tempatan supaya terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) dan sektor pertanian.

Bidang yang boleh diceburi telah disusun agar setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan. Jika projek terbengkalai, ia akan hanya merugikan kerajaan dan rakyat amnya.

Untuk itu, kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang perlu menggerakkan usaha bersepadu melibatkan pelbagai pihak bagi mengelakkan rakyat Pantai Timur menjadi rakyat kelas kedua, miskin dan berada dalam keadaan mundur.

Sebab itu ECER akan mendekatkan negeri-negeri di Pantai Timur itu untuk mengecapi erti kemakmuran dan pembangunan sebenar.

Masalah pengangguran, ketidakhadiran pelabur asing dan kemiskinan bakal ditukar menjadi sebaliknya.

Menikmati

Oleh itu anak-anak Kelantan, Terengganu dan Pahang yang selama ini menjadi perantau perlu menjadikan kepulangan mereka kali ini dengan menanam tekad dan azam dalam memastikan negeri yang mereka sayangi itu menikmati keadaan lebih baik apabila ECER dilancarkan.

Perantau yang bermastautin di Lembah Klang misalnya setiap tahun mengirimkan berjuta-juta ringgit ke kampung di Pantai Timur sememangnya mempunyai peranan besar bagi memastikan ECER diurus dan diberi sokongan. Apatah lagi 90 peratus penduduk di wilayah itu adalah Melayu dan bumiputera.

Golongan tersebut yang terdiri daripada golongan profesional, usahawan, peniaga, pemimpin, dan sebagainya sudah melihat keadaan negeri masing-masing yang sekian lama kurang pembangunan, dan hanya mendengar dari jauh pelbagai masalah berlaku di negeri itu.

Semua ini seharusnya memberi keinsafan kepada mereka untuk berfikir. Mereka harus memikirkan nasib jutaan rakyat yang tidak mampu merantau dan hanya mengharapkan rezeki pada tahap kemajuan negeri masing-masing.

Jika sebuah ‘Kuala Lumpur’ dapat diwujudkan di Kelantan, sebuah ‘Johor Bahru’ di Terengganu dan sebuah ‘Pelabuhan Klang’ di Pahang misalnya maka anak-anak Pantai Timur tidak perlu lagi merantau jauh untuk mencari rezeki.

“Ini peluang untuk mereka kembali untuk melibatkan diri secara langsung dalam pembangunan ekonomi di kawasan masing-masing.

“Dengan ini juga ia dapat mengurangkan migrasi dari Pantai Timur ke Lembah Klang. Kita harap ECER akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk menarik perantau kembali ke Pantai Timur. Malah mereka yang berhasrat untuk merantau juga boleh membatalkannya apabila ECER dibangunkan,” kata Dr. Mohd. Zainul Fithri yang juga Timbalan Naib Canselor MSU.

Beliau mencadangkan tokoh-tokoh perniagaan yang berasal dari Pantai Timur perlu dilibatkan dalam jawatankuasa pelaburan kerana mereka mampu membantu memajukan negeri asal masing-masing.

“Pantai Timur adalah majoritinya penduduk Melayu, jadi kita perlu pastikan jaminan masa depan mereka. Pelabur asing juga perlu diselidiki latar belakangnya agar mereka datang dengan satu pelan perancangan yang menguntungkan rakyat tempatan,’’ katanya.

No comments: