Friday, September 07, 2007

Perlembagaan negara berpaksi kehendak tempatan

Oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari

SETIAP Perlembagaan bagi mana-mana negara di dunia ini adalah unik dan tersendiri dengan cara masing-masing. Ia tidak dapat disangkal kerana sebagai dokumen asas, Perlembagaan bukan saja menjadi undang-undang dasar, malah merangkumi nilai dan ideal yang menjadi sejarah serta cita-cita bangsa dan negara. Disebabkan itu setengah negara memanggil dokumen asas itu sebagai undang-undang dasar. Perlembagaan Malaysia juga mempunyai ciri yang unik dan tersendiri. Dalam rangka melaksanakan demokrasi, kesaksamaan dan keadilan Perlembagaan turut menyediakan peruntukan yang menandakan sejarah dan budaya kita.

Inilah yang harus sentiasa diberi perhatian dalam rangka memahami dan mentafsir setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang semuanya membentuk apa yang umumnya dikatakan sebagai Perlembagaan Malaysia. Adalah kurang tepat untuk mengatakan bahawa Perlembagaan Malaysia sebagai warisan atau peninggalan British. Jika melihat sejarah kehidupan negara berperlembagaan di negara ini, ia sebenarnya bermula lama sebelum British meletakkan asas pentadbiran mereka dengan pendudukan Pulau Pinang pada 1786.
Sistem dan kehidupan bernegara jelas kelihatan dalam Kanun Undang-Undang Melaka yang menjadi tiang seri pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Apabila kesultanan itu runtuh di tangan Portugis pada 1511, pengaruh kanun berpaksikan ajaran dan semangat Islam itu kelihatan dalam kanun pemerintahan kesultanan Melayu yang muncul selepas itu. British sendiri menerima kedudukan berkenaan, khususnya dalam konteks kedudukan raja dan Islam, apabila mereka membuat perjanjian yang meletakkan negeri-negeri Melayu di bawah perlindungan mereka bermula dengan Perjanjian Pangkor pada 1874.
Meskipun pihak British pada umumnya menjadi pemerintah sebenar di negeri-negeri Melayu, mereka tidak mengetepikan kedudukan Raja, agama dan bahasa orang Melayu. Malah, mengakui perlunya orang Melayu diberi kedudukan istimewa menerusi pengwujudan pelbagai dasar dan undang-undang tertentu mulai awal kurun ke-20. Ini semua menjadi asas yang tidak pernah diketepikan dalam perkembangan yang terjadi selepas itu. Sebab itu Malayan Union 1946 yang cuba membawa reformasi radikal tidak dapat dilaksanakan. Ia membawa kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengembalikan status quo asal.
Semua ini menjadi batu asas dan peruntukan utama apabila rundingan kemerdekaan bermula selepas pilihan raya 1955. Itu semua menjelaskan mengapa Perlembagaan yang berwajah ‘Westminster’ ini pada hakikatnya masih berakar dan berinspirasikan semangat dan kehendak tempatan. Kita tidak harus lupa bahawa kita tidak memilih untuk menjadi negara unitari seperti diamalkan di United Kingdom apabila negara merdeka pada 1957. Sebaliknya, kita memilih menegakkan negara Persekutuan dengan Raja-Raja dan kedudukan agama dapat beroperasi seperti sebelumnya. Hari ini, antara prinsip demokrasi yang utama ialah prinsip Raja berperlembagaan pada peringkat Persekutuan dan negeri dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan memerintah. Bagaimanapun, ini tidak terpakai dalam hal tertentu seperti agama yang mana Raja-Raja dan pihak berkuasa negeri masih kekal dengan kedudukan dan kuasa selepas merdeka. Dalam pada itu, hanya orang Melayu yang boleh dilantik sebagai menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri.
Dalam pada itu, seperti Perlembagaan demokratik yang lain, Perlembagaan Persekutuan memberi hak sama rata kepada semua orang. Namun, Perlembagaan itu dengan jelas mengecualikan prinsip ini daripada menyentuh soal agama dan kedudukan istimewa Melayu. Begitu juga, sesuai dengan konsep kedaulatan rakyat, Perlembagaan memberi Dewan Rakyat kuasa pemutus, tetapi ini tidak terpakai di dalam soal pindaan Perlembagaan. Selain Dewan Negara – yang turut mengandungi wakil negeri – Majlis Raja-Raja juga diberi kuasa dan peranan tertentu di dalam proses pindaan Perlembagaan. Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak juga diberikan peranan dalam hal menyentuh kepentingan kedua-dua negeri Borneo itu. Apa yang boleh dikatakan di sini ialah bahawa dalam rangka melaksanakan demokrasi, Perlembagaan cuba membuat perseimbangan iaitu dengan mengekalkan elemen pribumi yang terbukti penting dalam menjamin kestabilan selama ini.
Dalam tempoh 50 tahun yang lalu, kita sudah melalui beberapa tahap kritikal dan genting. Ia termasuk pengisytiharan darurat pada Mei 1969. Di sisi undang-undang, sebenarnya Perlembagaan masih wujud dan beroperasi ketika itu. Segala kuasa dilaksanakan Majlis Gerakan Negara ketika itu adalah kuasa yang memang sudah sedia wujud dalam kerangka Perlembagaan itu sendiri, khususnya Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu adalah tidak benar untuk dikatakan bahawa pemerintahan atau sistem berperlembagaan sudah digantung ekoran peristiwa berdarah itu. Selain itu, kita juga menyaksikan beberapa krisis perlembagaan membabitkan beberapa institusi perlembagaan. Apa yang dapat dikatakan di sini ialah krisis itu sebenarnya sesuatu yang lumrah dan tidak dapat dielakkan dalam proses kematangan. Boleh dikatakan semua negara di dunia melalui tahap kritikal itu.
Setengah negara, malah terpaksa membuat Perlembagaan baru ekoran krisis atau pergolakan dilalui. Krisis utama yang membabitkan Raja-Raja dengan Kerajaan Persekutuan terjadi pada 1983. Ia membabitkan soal perkenan diraja untuk rang undang-undang yang diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat.Seterusnya pada 1993, kita menyaksikan krisis perlembagaan yang terjadi ekoran hak imuniti Raja-Raja.
Kerajaan Persekutuan juga mengalami krisis dengan badan kehakiman pada 1988. Semua masalah ini terjadi ketika kerajaan dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Walau apa pun kelemahan dan kekurangan Perlembagaan kita, adalah jelas bahawa ia perlu terus kekal dan dipertahankan. Sebagai dokumen buatan manusia, Perlembagaan tidak sunyi daripada kelemahan. Bagaimanapun, pengalaman selama 50 tahun ini menunjukkan bahawa ia mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai kehendak dan perubahan. Ini memang sudah diduga oleh Perlembagaan yang awal-awal lagi menyediakan prosedur menangani keperluan itu. Tidak ada siapa pun yang berpuas hati dengan kedudukan dan hak mereka di bawah Perlembagaan. Baik golongan istana, orang Melayu dan bukan Melayu, pihak berkuasa negeri atau pusat, Sabah dan Sarawak; semuanya mempunyai alasan untuk tidak berpuas hati dengan apa yang mereka peroleh.
Bagaimanapun, tidak ada siapa yang boleh mendakwa bahawa mereka tidak mendapat apa-apa di bawah Perlembagaan. Inilah sebenarnya yang harus sentiasa diingati dalam rangka kita meneliti kekuatan dan kelemahan Perlembagaan kita sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 ini.
Penulis adalah profesor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak

No comments: