Saturday, September 08, 2007


Bila peternak babi bertindak, yang mentadbir gagal gugurkan apa yang ditadbirnya. Ini adalah gambaran penguasa itu 'gagal' dalam menjalankan kuasanya serta tanggungjawabnya. Jika dibahaskan pertimbangan perkataan keramat 'majmuk' itu tidaklah diguna pakai oleh mereka yang terlibat. Selalunya jika dalam menjalankan hukum-hakam 'gagal' diterima oleh kerana faktor kemajmukkan kaum itulah sebagai penghalang. Maka kenapakah tidak terpakai kemajmukan dalam kes babi ini. Bayangkan kawasan Alor Gajah yang satu kawasan majoriti berpendudukan majoriti Melayu, maka dihuni juga oleh kaum Cina dan India. boleh ada kandang babi terbesar di dunia. Bab pencemaran atau apa yang sewaktu dengannya usahlah dibincangkanlah .. tak terbincang, yang kita perlukan sekarang adalah tindakan... tindakan....


Penternak babi di Paya Mengkuang, Bukit Beruang, Man Lok dan Londang dekat sini masih gagal memenuhi janji mereka untuk membawa keluar sekurang-kurangnya 2,500 ekor sehari dari kawasan itu.

Mereka juga masih gagal menyerahkan jadual harian pengeluaran babi kepada jawatankuasa khas yang ditubuh bagi memantau pengurangan babi dari kawasan berkenaan.

Pengerusi jawatankuasa khas itu yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata kerajaan negeri Melaka membenarkan hanya 48,000 ekor diternak manakala baki kira-kira 97,000 ekor mesti dihapuskan sehingga 21 Sept ini.

"Sejak Selasa lepas (4 Sept) hingga semalam, penternak hanya mengeluarkan sebanyak 6,526 ekor, ini tidak sampai sasaran yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program perarakan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara peringkat parlimen Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Selasa lepas, kerajaan negeri Melaka menangguhkan operasi memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan itu setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri ternakan kepada 48,000 ekor dan mereka diberi tempoh sehingga 21 Sept ini untuk berbuat demikian.

Terdapat 76 penternak menternak lebih 140,000 ekor babi dalam 288 kandang di 89 ladang di kawasan berkenaan.

Abu Seman yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata jika penternak gagal memenuhi janji mereka selepas 21 Sept, kerajaan tidak akan bertolak ansur lagi kerana mereka sudah tahu syarat dan tindakan yang bakal dikenakan.

Beliau berkata kerajaan negeri Melaka memutuskan untuk mengurangkan jumlah ternakan itu berikutan pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk najis haiwan itu.

Pencemaran akibat daripada ternakan babi itu turut menjejaskan mata pencarian terutama peniaga kedai makan dan pengusaha resort dan chalet di sekitarnya, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri hanya membenarkan ternakan di kawasan Paya Mengkuang manakala kawasan lain yang akan ditutup dirancang dibangunkan dengan projek perindustrian. BERNAMA

No comments: