Friday, July 06, 2007

Kerajaan gubal undang-undang yang tidak berfaedah

Kita bersetuju dengan pandangan ketua Pemuda PAS, jika dipelajari dari segi fiqh alawwiyyat apa yang perlu kerajaan fokuskan dulu.
Ikuti laporan MKS ini...Kerajaan dianggap sebagai menggubal undang-undang yang tidak berfaedah kepada rakyat jika masalah-masalah seperti gejala rasuah yang tidak terkawal, pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak cekap serta sistem penyampaian yang tidak berkesan tidak ditangani dengan segera.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika membahaskan rang undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam semalam berkata tidak guna kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar untuk mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal ini jika masalah-masalah tadi tidak ditangani terlebih dahulu.

"Ia seolah-olah akan mengulangi situasi yang sama dan sampai bilakah kita akan terpaksa menghadapi masalah ini?" ujarnya.

Dalam pada itu, Salahudin yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan ini sedangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menyatakan punca yang sebenar.

Salahudin ketika membahaskan rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat menyentuh fasal ketiga dalam perlembagaan persekutuan, mengenai penggubalan rang undang-undang pengurusan sisa pepejal, mempertikaikan tindakan kerajaan yang akan membelanjakan kira-kira RM3.3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dalam usaha membantu pihak (PBT) seluruh semenanjung Malaysia serta Wilayah-wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.
Beliau membangkitkan sama ada kerajaan telah mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan rang undang-undang tersebut dibawa parlimen

Di samping itu, hal ini turut membuktikan bahawa PBT ini tidak berupaya untuk mengurus sisa pepejal dan pembersihan awam.

"Menurut rekod, daripada tahun 1998 sehingga 2005 kementerian telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM50 juta kepada PBT tetapi sehingga 31 Disember 2006, kita melihat kerajaan masih gagal untuk menguruskan pinjaman ini dengan baik apatah lagi untuk membayar pinjaman serta syarikat konsesi yang diberikan hak untuk mengurus sisa pepejal ini," jelasnya.

"Berdasarkan maklumat, contoh kegagalan dua syarikat yang menguruskan sisa pepejal ini, Alam Flora dan Southern Waste Management Sendirian Berhad setakat ini mencatatkan sejumlah RM163 juta hutang yang tertunggak dengan kerajaan persekutuan," katanya panjang lebar.

Ujarnya lagi, jika masalah-masalah tidak diperbaiki, walaupun pengurusan ini diberikan hak kepada kerajaan pusat akhirnya ia akan menjadi bebanan kepada rakyat. - mks.

No comments: