Saturday, July 28, 2007

Isyarat kebangkitan Taliban... kita terlalu takutkan , dan jangan kita menjadi talibarut dalam memberi agenda Islam itu ganas dan memperlekehkan islam yang cuba diperjuangkan oleh kumpulan Taliban, kerana mereka lebih memahami dengan bumi dan tanah air mereka. Kita pun jika pihak lain mengatakan itu dan ini terhadap negara kita , kita akan melenting, tambahan gamabaran yang kita papar kan itu berdasarkan pengamatan dan pembacaan daripada bacaan bahan dan maklumat daripada pihak-pihak yang 'lemah' nilai beritanya. Jsuteru kita patut berhati-hati , janaglah kita memparahkan gambaran umat seagama kerana Islam yang kita bawa ini , kita anggap baik.... fikir-fikirkanlah ..

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

INSIDEN penculikan yang membabitkan 22 rakyat Korea Selatan oleh kumpulan Taliban memberi rasa gusar yang cukup hebat buat kerajaan di Seoul.

Tekanan semakin meningkat apa lagi selepas diberitakan kelmarin bahawa sekumpulan Taliban berkenaan yang menjadikan mereka sebagai tebusan, telah mencabut nyawa seorang rakyat Korea Selatan itu.

Laporan menyebut, seorang rakyat Korea Selatan ditembak mati dengan banyak kesan peluru dilihat di badan mangsa.

Dapat difahami mengapa utusan khas daripada kalangan diplomat kanan Korea Selatan terpaksa dihantar ke Afghanistan bagi rundingan menyelamatkan nyawa baki tebusan-tebusan terbabit. Jelas sekali, Seoul mahu menamatkan segera ‘penderaan’ itu dan menyelamatkan nyawa warga mereka.
Sebelum ini bukan tiada peristiwa sebegitu, maksudnya, penculikan di kalangan warga asing oleh Taliban. Cumanya, sebelum ini ia tidak dilaporkan sedemikian besar seperti yang terjadi pada 22 warga Korea Selatan itu.
Laporan BBC News menyebut, sebelum ini terdapat juga warga asing diculik kumpulan Taliban termasuk rakyat Itali dan Denmark. Mereka dilepaskan dengan selamat selepas permintaan Taliban untuk membebaskan rakan-rakan mereka dalam tahanan ditunaikan.

The Associated Press (AP) pula menyebut bahawa penculikan warga asing merupakan satu dasar yang dirasakan berkesan oleh Taliban untuk menjadi tukaran kepada matlamat mereka - membebaskan saki-baki anggota Taliban yang ditahan di penjara baik di Afghanistan atau Pakistan.

Tetapi peristiwa yang menimpa warga Korea Selatan yang terjadi awal minggu ini cukup menyerlah satu perkara iaitu Taliban bangkit semula, kalaupun tidak menggila, di Afghanistan.
‘‘Tepat istilah itu, kebangkitan semula Taliban. Kumpulan ini tidak lenyap walaupun sudah dikalahkan dalam perang dikepalai Amerika Syarikat (AS) pada penghujung tahun 2001. Mereka cuma berundur untuk bersembunyi sementara. Tiba masanya mereka keluar semula,’’ kata penganalisis pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Raja Datuk Abdul Rashid Raja Badiozaman semasa diminta mengulas mengenai peristiwa yang terkini berlaku di Afghanistan.
Beliau yang juga bekas Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu memberitahu, ada beberapa sebab mereka (kumpulan Taliban) muncul atau bangkit semula.
Pertamanya, kerajaan pimpinan Presiden Hamid Karzai pada masa ini lemah dan terbukti tidak boleh atau ada upaya membela nasib rakyat bagi membangunkan ekonomi dan negara.

Sebagai contoh, tahun lepas sahaja lebih seribu rakyat Afghanistan maut. Nyawa sepertiga daripadanya melayang dalam serangan ke atas Taliban. Sasarannya terhadap Taliban, tetapi mangsa korban kebanyakannya ialah orang awam. Kira-kira 230 rakyat Afghanistan tidak berdosa maut dalam serangan udara oleh pasukan tentera AS dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sejak Mac lepas, sekurang-kurangnya enam insiden di mana askar-askar Barat di bawah pemerintah Amerika didakwa membunuh orang awam Afghanistan. Enam insiden itu melibatkan lebih 135 kematian dan kecederaan teruk serta ringan berpuluh-puluh yang lain.
Menurut Palang Merah, pengeboman pasukan AS di barat Afghanistan bulan lepas memusnahkan kira-kira 170 buah rumah sekali gus mengakibatkan hampir 2,000 orang penduduk di empat kampung kehilangan tempat tinggal.
Siapa yang menjadi sasaran kemarahan di atas kematian-kematian tidak sepatutnya itu? Tidak lain dan tidak bukan Hamid yang wajar memikul tanggungjawab itu.
‘‘Kemalangan jiwa di kalangan orang awam yang semakin bertambah, bukan berkurangan telah membangkitkan sejumlah besar rakyat Afghanistan menentang kira-kira 45,000 pasukan AS dan NATO di negara itu. Demonstrasi demi demonstrasi diadakan selain mendesak satu usul di Parlimen diluluskan bagi menetapkan satu tarikh untuk pengunduran,’’ kata Raja Abdul Rashid.
Keadaan yang masih tidak selamat itu menyebabkan cabang ekonomi tidak boleh tumbuh atau diperluaskan. Ini membawa pula kepada gambaran kelemahan kerajaan Hamid.
‘‘Dengan itu ia membuka ruang untuk Taliban bertapak dan menguasai hati rakyat Taliban yang kesabaran mereka semakin menipis.’’

Kegagalan pihak tentera asing untuk mengawal keadaan dan keselamatan menyeluruh serta pasukan tempatan yang tidak dibentuk dengan taraf kebolehan yang sepatutnya memainkan peranan utama dalam operasi kebangkitan Taliban.

Ini bererti pasukan tempatan sepatutnya dibekalkan dengan kelengkapan atau kemudahan yang canggih bukannya senjata-senjata kuno tidak setanding lagi. Perlu diingatkan, kumpulan Taliban ada memiliki senjata dan berkeupayaan untuk bertindak balas kerana pengalaman mereka dalam menentang Soviet sebelum ini.

Ketiganya Taliban dibangunkan semula dengan bantuan senjata dan kelengkapan oleh Osama bin Laden, yang bersembunyi di Pakistan tetapi masih kuat rangkaian hubungannya di Afghanistan.
Ini dikuatkan pula dengan sumber keanggotaan daripada madrasah di Pakistan yang tersedia pada bila-bila masa. Kita masih belum lupa berita mengenai tindakan menggempur secara besar-besaran di Masjid Lal, Islamabad di Pakistan pada minggu lepas di mana ia ada kaitan dengan Al-Qaeda dan Taliban.

Di masjid berkenaan sebelum ini pun telah digunakan sebagai markas untuk melatih atau mencari rekrut-rekrut bagi peperangan menentang Soviet.

Kehidupan yang menghimpit rakyat Afghanistan dan menjadikannya semakin terpencil daripada dunia memberi kelebihan dan memihak kepada Taliban. Jangan tidak faham, Taliban tidak akan bangkit jika tiada sokongan. Itu adalah hukumnya.

‘‘Rakyat yang kecewa dan putus asa dengan kerajaan sedia ada mudah untuk termakan simpati lalu memberi sokongan pada Taliban. Masa keemasan itu direbut segera dan digunakan sebolehnya oleh Taliban.’’

Sementara itu, kalaupun Taliban itu bangkit semula, bolehkah momentum itu kekal dan memberi tamparan hebat buat pemerintah di Afghanistan atau dunia amnya?

Dalam hal ini, terbukti sekali insiden yang menimpa warga Korea Selatan tentunya menjadi tekanan buat kerajaan Afghanistan dan pimpinan Hamid. Tetapi di peringkat dunia, mereka cuma mahu menyampaikan pesan bahawa Taliban masih hidup lagi.

Falsafah mereka ialah mahu supaya kewujudan mereka itu dirasai, bukan dilupai.
Dengan perkataan lain, mereka mahu dunia tahu mereka masih ada dan berkeupayaan mencetuskan sesuatu. Lalu, ertinya ialah Taliban tidak boleh diperlekehkan sama sekali dan mereka bukan dilumpuhkan terus sejak tahun 2001.

Oleh itu, ia pula membawa makna perang ke atas Taliban perlu diteruskan, jika dibiarkan tidak mustahil mereka boleh menggugat kerajaan yang ada. Ini tidak direstui oleh Hamid dan Barat, khususnya AS, selain Pakistan.
Namun, cerdiknya Taliban ialah kerana masa yang mereka pilih untuk ‘bangkit semula’ sangat sesuai, iaitu ketika ingatan dunia semakin tumpul pada Afghanistan sebaliknya tajam di Iraq, Iran dan sebagainya.
‘‘Tetapi sayangnya, sasaran mereka iaitu warga asing Korea Selatan tidak begitu tepat untuk menjadi tekanan kuat sebagai tukaran kehendak mereka.’’
Keadaannya mungkin berbeza jika warga Barat dijadikan tebusan oleh kumpulan Taliban itu.

No comments: