Cekik leher, humban cikgu
Hari Metro laporkan, belum reda isu guru dera pelajar, hari ini tindakan sebaliknya berlaku, jika benarlah bagai yang dilaporkan, maka wajarlah kerajaan kena buat sesuatu dalam menangani masalah ini. Ini bukan lagi masalah kecil tetapi sudah serius, janganlah kita anggap kes ini sebagai terpencil, sebelum ramai lagi guru-guru akan menjadi mangsa elajar pula..
Gara-gara menegur sekumpulan sembilan pelajar lelaki tingkatan lima kerana membuat bising, seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, mengalami trauma paling dahsyat sepanjang karier perguruannya apabila lehernya dicekik seorang daripada pelajar terbabit, kelmarin.Harian Metro difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kumpulan pelajar terbabit membuat bising dalam tandas sekolah ketika guru berusia lingkungan 20-an itu sedang mengajar di kelas tingkatan tiga berdekatan.
Tindakan pelajar terbabit mengganggu pengajaran dan pembelajaran di kelas berkenaan menyebabkan guru itu menegur perbuatan mereka, namun sebaliknya mereka mengejek dan mempermainkan guru terbabit.Ini menyebabkan guru itu berasa dirinya tidak dihormati dan mengarahkan kumpulan pelajar terbabit keluar dari tandas sebelum didenda ketuk ketampi.Bagaimanapun, enam daripada sembilan pelajar terbabit melarikan diri kecuali tiga yang pada mulanya berdiri sebelum berjalan dan tidak mengendahkan arahan guru itu.Berang dengan sikap kurang ajar pelajar terbabit, guru itu sempat menarik baju seorang daripada pelajar terbabit, sebelum pelajar itu mencekik, mengangkat dan menolak guru itu ke dinding.Tindakan pelajar terbabit membahayakan keselamatan guru itu kerana mereka berada di tingkat paling atas bangunan sekolah berkenaan dan memungkinkan kejadian tidak diingini berlaku.Kejadian itu turut dilihat seorang guru wanita lain yang menjerit mengarahkan pelajar terbabit menghentikan perbuatannya, namun tidak diendahkan hingga dimarahi seorang guru lelaki sejurus kemudian.
Akibat kejadian itu, guru yang menerima Anugerah Guru Cemerlang tahun lalu dan berkhidmat sejak tiga tahun lalu, terpaksa dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis dan Pejabat Pelajaran Daerah.Difahamkan, guru berkenaan juga terpaksa mendapat rawatan lanjutan di Hospital Kota Tinggi malam tadi, kerana lebam di leher hingga menghadapi kesukaran menggerakkan lehernya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.Menurutnya, pihaknya sudah memanggil ibu bapa dan pelajar terbabit serta bersemuka dengan guru berkenaan, malam tadi.
Namun, katanya, kertas siasatan masih dibuka bagi menjalankan siasatan atas permintaan guru itu.Sehingga kini, katanya, pihaknya tidak tahu sama ada pelajar terbabit mempunyai masalah disiplin atau tidak, namun akan menjalankan siasatan terperinci.“Kami memandang serius kejadian ini kerana akibat dicekik dan ditolak ke dinding, guru berkenaan kini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerana bengkak leher.“Bagaimanapun, semuanya bergantung pada guru berkenaan sama ada ingin meneruskan atau menarik balik laporan. Buat masa ini, kami tetap jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, malam tadi.Sementara itu, guru berkenaan enggan ditemubual kerana khuatir masa depan kariernya, selain tidak mahu menjejaskan siasatan polis.
Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon gagal dihubungi kerana mengikuti Kembara Mahkota Johor Jelajah Pulau 2007 di Pulau Pemanggil dan Pulau Aur, malam tadi.
No comments:
Post a Comment